Perlembagaan Malaysia – Undang-undang Islam Tidak Berada Pada Kedudukan Yang Sebenarnya
Oleh: Syamsiyah Jamil
Pakar Perundangan Malaysia, Puan Ita Zulaikha mengatakan undang-undang Islam di Malaysia tidak berada pada kedudukan yang sebenarnya kerana ia berada di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau kita tengok dari segi kedudukan undang-undang Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, memang kita tak nampaklah yang Islam itu duduk pada kedudukan yang sebenarnya. Dia duduk di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil atau pun dia duduk di bawah Perlembagaan Persekutuan, menyebabkan dia jadi secondary,” katanya dalam Siri Cakna Umat bertajuk SIS vs Fatwa: Adakah Islam Boleh Menang? (Siri 2), Ahad (29/6/2025).
Beliau mengatakan bahawa Islam tidak ada jalan untuk menang dalam sistem perundangan hari ini kerana Islam berada dalam gelanggang yang salah. Pertama, pada awalnya perkataan Islam tidak wujud pun dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan hanya dimasukkan selepas melalui proses semakan semula.
“Bila dia go through balik, Lord Reid pun setujulah letak beberapa perkataan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka yang kita ada pada hari ini adalah sebagaimana yang telah dipinda berdasarkan saranan daripada Ketua Hakim di Pakistan pada masa itu”, katanya.
Kedua, beliau menjelaskan bahawa Artikel 160 Perlembagaan Malaysia memasukkan undang-undang adat, common law dan lain-lain dalam definisi undang-undang Malaysia tetapi undang-undang Islam tidak dimasukkan.
“Ironisnya adalah tidak ada perkataan undang-undang Islam. Jadi, itu adalah satu persoalan. Kenapa undang-undang Islam tidak termasuk ke dalam terjemahan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan?,” soalnya.
Ketiga, lanjutnya, pemakaian undang-undang Islam di Malaysia juga tertakluk kepada undang-undang sivil. British telah mengehadkan pemakaian undang-undang Islam untuk orang Islam supaya umat Islam menggunapakai undang-undang sivil.
“Undang-undang Mahkamah Syariah duduk di bawah undang-undang sivil. Kuasanya sangat terhad. Dia (Mahkamah Syariah) boleh membuat apa keputusan, apa-apa perkara yang melibatkan penghakiman, sebatas yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” terangnya.
Tambahnya, kedudukan Mahkamah Syariah ini telah memperparahkan lagi kedudukan undang-undang Islam di Malaysia. Walaupun British mengiktiraf undang-undang Islam telah wujud di Tanah Melayu tetapi mereka tetap terapkan undang-undang sivil sehingga wujud sistem dual perundangan.
“Yang pertamanya adalah memang ini kehendak British. Mereka nak acuannya begitu,” tuturnya.
Kedua, lanjutnya, British hanya memberi bidang kuasa yang sangat terhad kepada Mahkamah Syariah iaitu dalam urusan kekeluargaan, mu’alamat dan jenayah.
“Musuh Islam tak nak orang Islam mengamalkan undang-undang Islam secara sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau memandang, apa yang boleh menaikkan kedudukan Islam adalah political will (kehendak politik) para ahli politik yang mempunyai kuasa memerintah negara.
“Kehendak pemerintah negara yang memerintah negara pada masa itu. Kalau dia nak bawa negara itu ke arah negara Islam, maka by all means (dengan semua cara), dia yang memegang kuasa, dia ada kuasa untuk membuat keputusan tersebut,” tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa tugas umat Islam adalah untuk memuhasabah pemimpin supaya memerintah mengikut hukum Allah SWT bukannya menjadi boneka Barat dan mengikut kehendak Barat.
“Memang kita perlu perjuangkan Islam. Selama mana kita menjadi boneka kepada Barat, selama itulah Islam itu tak akan naik. Islam tak akan naik jika kita orang Islam tidak ada jati diri Islam,” akhirinya.
Perlembagaan Malaysia – Undang-undang Islam Tidak Berada Pada Kedudukan Yang Sebenarnya

