Site icon MuslimahHTM News

Prasyarat untuk Pemahaman Politik dan Pembentukan Dasar (Bahagian 1)

Prasyarat untuk Pemahaman Politik dan Pembentukan Dasar (Bahagian 1)

Oleh: Luqman Harzallah

 

Pengenalan

 

Politik dalam Islam adalah siyasah yang bermaksud mengurus urusan. Oleh itu, dalam erti kata lain, setiap individu adalah seorang ahli politik, kerana setiap orang mengurus urusan mereka sendiri atau urusan orang yang berada di bawah tanggungjawab mereka. Namun, pemikiran kita tidak tertumpu pada realiti ini apabila istilah “ahli politik” digunakan. Ini kerana seorang yang hanya mengurus urusan dirinya sendiri tidak mempunyai pengaruh di luar urusannya, dan pemikirannya tidak melangkaui keperluannya. Sebaliknya, apabila istilah “ahli politik” digunakan, pemikiran kita lebih tertumpu kepada mereka yang mengurus urusan bangsa, negara, atau lebih dari itu. Pengaruh ahli politik ini meluas meliputi bangsa, negara-negara, atau lebih.

 

Sekarang, politik telah didefinisikan oleh orang Barat sebagai “seni kemungkinan”. Definisi ini benar dalam satu aspek, tetapi salah dalam aspek yang lain. Jika maksud “kemungkinan” dianggap sebagai lawan kepada “mustahil”, atau ia bermaksud yang “perlu”, maka deskripsi ini adalah betul. Ahli politik tidak menangani yang mustahil. Namun, jika definisi itu bermaksud bahawa ahli politik berurusan dengan realiti sebagaimana adanya, dan bermula dengan realiti semasa sebagai asas kepada apa yang mungkin, yang bermaksud mereka adalah pragmatik dan realis, maka deskripsi ini adalah salah. Sebenarnya, ahli politik pragmatik sebegini adalah berbahaya kepada negara mereka jika mereka mengambil-alih pemerintahan. Dasar mereka hanya berasaskan realiti semata-mata, dan pandangan mereka tidak melangkaui realiti yang ada dan status quo. Jika realiti yang ada dalam negara-negara ini dibentuk oleh musuh mereka, maka mereka tidak akan mampu keluar dari sangkar yang telah dibina oleh musuh mereka. Jika realiti ini dibentuk oleh mereka, maka mereka tidak akan mampu memajukannya atau mengekalkan kebaikannya. Sebaliknya, mereka akan mundur ke belakang.

 

Ahli politik yang mengangkat negara mereka melangkaui sempadan realiti di mana negara mereka berada. Mereka merangka realiti untuk negara mereka yang akan memajukan mereka, menjadikannya sebagai tujuan, dan merumuskan dasar-dasar yang membawa mereka ke arah tersebut. Allah (swt) telah menentukan untuk kita visi ahli politik yang mengurus hal ehwal umatnya dan tidak kekal dalam lumpur realiti yang rosak. Dia (ahli politique) adalah pembawa dakwah Islam.

 

Allah (swt) berfirman,

[اَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَاَحْيَيْنٰهُ وَجَعَلْنَا لَهٗ نُوْرًا يَّمْشِيْ بِهٖ فِى النَّاسِ كَمَنْ مَّثَلُهٗ فِى الظُّلُمٰتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَاۗ كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكٰفِرِيْنَ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ]

 

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” [TMQ al-An`aam (6):122]

 

Rasulullah (saw) adalah contoh terbaik dalam hal ini. Apabila Baginda (saw) diutus, Baginda dihantar kepada satu kaum yang saling bermusuhan dan saling menumpahkan darah sesama sendiri, namun mereka dihina oleh Parsi dan Rom. Maka Rasulullah (saw) menyeru mereka untuk meninggalkan realiti semasa mereka, status quo mereka, yang penuh penghinaan dan kehinaan, dan berpindah kepada realiti di mana mereka akan duduk di atas takhta dunia. Antaranya adalah apa yang berlaku ketika pemimpin Quraisy datang kepada Abu Talib mengadu kepadanya mengenai Nabi Allah (saw). Maka Abu Talib bertanya kepadanya, dan Rasulullah (saw) menjawab,

 

«يا عمّ، أريدُهم على كلمةٍ واحدةٍ تدينُ لهم العربُ وتؤدِّي العجمُ إليهم الجزيةَ»

 

“Wahai bapa saudaraku, saya mahu mereka bersetuju dengan satu kalimah yang benar, kemudian orang Arab akan taat kepada mereka, sementara orang bukan Arab akan membayar jizyah sebagai tanda tunduk.” [Musnad Ahmad]

 

Seorang ahli politik yang ingin mengurus hal ehwal umat (rakyat) dan negara serta lebih daripada itu mesti mampu merumuskan dasar untuk bergerak dari asas pemahaman teoretikal kepada pengaruh praktikal. Agar mampu merumuskan dasar, ahli politik mesti mempunyai pemahaman politik terhadap peristiwa, dan pemahaman politik terhadap hubungan antarabangsa. Dia mesti mempunyai visi khas yang melaluinya dia melihat dunia, dan membina dasar berdasarkan asas tersebut.

 

Pemahaman politik adalah sama pentingnya bagi mereka berjuang untuk kebangkitan (nahdah), sebagaimana pentingnya udara bagi manusia. Sesiapa yang berusaha untuk kebangkitan dalam umat Islam mesti melihat dirinya berdasarkan apa yang akan datang. Dia ingin mendirikan sebuah negara untuk umatnya yang mendukung ideologi, di mana negara ini berusaha untuk menjadi kuasa besar, kemudian duduk di atas takhta dunia untuk menjadi negara yang terulung di dunia, dan kemudian pemerintahan umat ini akan mencapai apa yang telah Allah tetapkan untuk Rasul-Nya (saw) di muka bumi ini.

 

Untuk semua ini terjadi, seorang Muslim mesti berusaha bersuungguh-sungguh untuk mencapainya. Usaha-usaha ini mesti disertai dengan keterlibatannya berdasarkan thariqah atau metode syariat yang membawa kepada tertegaknya negaranya (Daulah Islam), serta penglibatannya dalam mempersiapkan dirinya dan masyarakatnya agar negara yang didirikan mampu bersaing dengan kuasa besar dunia ini, dan akhirnya `melipat’ mereka seperti halaman sejarah. Ini hanya boleh dicapai jika pemahaman politik individu yang berusaha untuk kebangkitan dibina atas asas yang kukuh, menghasilkan hasil yang benar. Jika tidak, hasilnya akan menjadi ilusi dan fantasi yang menghalangnya daripada keluar dari sudut rumahnya untuk memimpin dunia.

 

Peralihan individu dari bekerja dan berusaha untuk kebangkitan kepada memimpin dan memerintah dunia dengan Islam memerlukan penggubalan dasar yang baik. Ini hanya boleh dicapai melalui pemahaman politik yang sahih, pemilihan matlamat yang baik, tindakan yang baik yang membawa kepada matlamat ini, dan penghubung tindakan kepada matlamat tersebut, menghubungkan sebab dan akibat.

 

Oleh itu, menjadi keperluan untuk menubuhkan asas-asas penting yang membuka horizon, yakni memperluaskan pandangan, bagi sesiapa yang merasakan dalam diri mereka kemampuan untuk berkecimpung dalam bidang ini. Memahami asas-asas yang diperlukan untuk pemahaman politik sahaja tidak mencukupi untuk menguasai bidang ini, kerana pemerhatian dan amalan adalah penting untuk mencapai penguasaan.

 

Pembelajaran tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan latihan, kesabaran, tekad, dan kemahuan. Pembelajaran selepas keperluan lebih berkemungkinan untuk menyemai ilmu di dalam minda dan meneguhkannya dalam hati. Ia mengubah pelajar menjadi pekerja dan pelajar. Ini berbeza dengan pembelajaran tanpa tujuan atau keperluan, iaitu seperti seseorang yang memutar, dan melepaskan kembali apa yang telah diputarnya, atau menanam benih, tetapi tidak memperoleh manfaat daripada apa yang telah ditanamnya, sehingga hasilnya menjadi kekuningan dan dimusnahkan oleh serangga perosak.

 

Artikel-artikel ini memberikan penerangan tentang realiti pemahaman politik dan analisis politik, realiti kesedaran politik dan pembentukan dasar, serta maklumat politik yang diperlukan untuk mereka. Pembaca mesti menyedari bahawa mereka tidak akan menjadi ahli politik hanya dengan membaca maklumat. Sebaliknya, ia adalah dengan mengambil daripadanya apa yang memberi manfaat kepada mereka dan terlibat dalam pengejaran, pemahaman, kesedaran, dan pengaruh.

 

Saya dedikasikan karya ini kepada umat Islam, umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Saya dedikasikan ia khususnya kepada pembawa dakkwah Islam yang sedang berusaha gigih untuk kebangkitan, dan terutamanya kepada para syabab yang sedang mencari jalan untuk pemahaman politik yang benar. Saya tidak menggalakkan sesiapa yang membaca artikel ini daripada menggunakannya untuk menjadi penganalisis politik semata-mata, kerana ini tidak akan memberi kesan dalam kehidupan ini, dan orang yang bertanya hanya datang kepada mereka kerana rasa ingin tahu. Sebaliknya, saya meminta setiap orang yang membacanya untuk menggunakannya sebagai sarana untuk meningkatkan tahap pemikiran dalam umat ini dan menggunakannya sebagai alat panduan, yang melaluinya mana mereka dapat memahami realiti politik dengan betul, melihatnya dari perspektif akidah Islam, dan mengurus hal ehwal masyarakat. Dan Allah adalah pemberi petunjuk ke jalan yang benar.

 

Analisis Politik

 

Analisis politik adalah penting bagi sesiapa yang ingin memahami dan menangani realiti politik, dan kepada pembuat dasar. Oleh itu, analisis politik sangat penting untuk struktur yang berfungsi atau bekerja untuk membangun kemajuan ummah dan penting juga untuk negara. Analisis politik yang sahih melindungi struktur, negara, dan umat daripada risiko yang mengelilingi mereka, dan membolehkan mereka mengadopsi dasar yang menangkis kemudaratan, menggagalkan tipu daya musuh mereka, atau membantu mereka mencapai matlamat mereka.

 

Analisis politik adalah penghasilan pendapat politik mengenai peristiwa politik yang sedang muncul. Ia berasaskan maklumat politik dan hubungan yang dikontekstualisasi. Analisis politik dicapai melalui pemahaman realiti politik, bukan hanya memberi kebebasan kepada minda untuk melakar setiap kemungkinan visi yang berkaitan dengan sepotong berita atau peristiwa. Jika diberi kebebasan, ia akan beralih dari rangka analisis politik kepada imaginasi, spekulasi, dan penyiasatan logik. Pendekatan ini tidak membawa kepada hasil yang benar. Sebaliknya, jika pemahaman dikaitkan dengan konsep politik yang betul, ia membawa kepada hasil yang benar. Ini kerana politik adalah tindakan ahli politik, dan dibina atas visi dan orientasi negara mereka, serta sifat-sifat yang telah dicorakkan sepanjang sejarah mereka.

 

Sehubungan dengan itu, memahami realiti ahli politik, sifat visi dan orientasi yang dipegang negara mereka, sifat peristiwa semasa, dan menghubungkannya dengan betul, berdasarkan konsep politik yang betul, dianggap sebagai pemahaman, bukan spekulasi atau khayalan. Sebaliknya, ia melukis gambaran yang lengkap dengan mengumpulkan komponen-komponennya yang lebih kecil, dalam rangka yang jelas. Oleh itu, jika beberapa bahagian yang lebih kecil hilang, sifatnya boleh diterokai dengan meneliti bahagian yang bersebelahan dalam gambar itu, seterusnya melukis gambaran lengkap dalam minda. Inilah analisis politik.

 

 

(Bersambung…)

 

 

Majalah Al-Waie Isu 466

Tahun Ketiga Puluh Sembilan, Zulkaedah 1446 Hijrah, bersamaan dengan Mei 2025

 

Diterjemah daripada: hizb-uttahrir.info

 

 

#Politik #PolitikIslam #AnalisisPolitik #PemikiranPolitik

Exit mobile version