Site icon MuslimahHTM News

Perubahan Sebenar Kembali kepada Akar Masalah

Perubahan Sebenar Kembali kepada Akar Masalah

 

Oleh: Hidayah Muhammad

 

Jurucakap HTM Ustaz Abdul Hakim Othman menyatakan, perubahan yang sebenar memerlukan kita kembali kepada akar permasalahan, bukan sekadar menukar wajah yang berada di tampuk kuasa, tetapi menukar sistem yang digunakan.

 

“Menukar Perdana Menteri, tanpa menukar kerajaan dan sistem, tidak akan pernah dapat memperbaiki kerosakan. Buktinya terpampang jelas di depan mata yang mana Malaysia telah bertukar 10 kali Perdana Menteri. Kenapa masalah rakyat dan negara tidak pernah selesai, malah bertambah buruk? Kerana yang bertukar hanyalah orangnya, bukan sistemnya,” ujarnya dalam akaun Facebook Abdul Hakim Othman – Jurucakap HTM, bertajuk Tukar Perdana Menteri Tanpa Tukar Kerajaan dan Sistem, Sungguh Aneh, Jumaat (25/7/2025).

 

Beliau menjelaskan, Perdana Menteri datang dan pergi, parti yang memerintah juga bersilih berganti, tetapi nasib rakyat tetap sama.

 

“Kos sara hidup sentiasa meningkat, harga barang terus naik, pendidikan makin membebankan, gejala sosial semakin menakutkan, kedaulatan negara semakin longgar dan bermacam masalah lagi. Manakala kes rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, ketirisan, kronisme dan nepotisme tidak pernah berkurang,” jelasnya.

 

Beliau melanjutkan, di atas semua itu, hukum Allah SWT tidak pernah diterapkan dalam pemerintahan negara.

 

“Malapetaka ini bukan hanya angkara seorang individu yang bergelar Perdana Menteri, tetapi keseluruhan kerajaan dan sistem yang diterapkan, yang telah rosak dari akarnya,” tegasnya.

 

Beliau menyatakan, perjuangan umat Islam hendaklah mengubah apa sahaja yang tidak betul, baik pemimpin, kerajaan mahu pun sistem.

 

“Perjuangan kita perlu berjalan atas landasan yang benar iaitu dengan mengikuti manhaj kenabian, bukannya dengan mengikuti manhaj penjajah, dan bukan juga berjuang semata-mata atas dasar semangat atau sentimen atau ketaksuban kepada mana-mana individu,” jelasnya.

 

Beliau menyimpulkan, sungguh malang apabila yang ingin ditukar hanyalah Perdana Menteri semata-mata, tetapi yang perlu dilakukan adalah menukar sistem ini kepada sistem Islam.

 

“Bukan sekadar untuk menukar pemimpin, tetapi untuk menukar keseluruhan sistem dan undang-undang sekular warisan penjajah ini, kepada sistem Khilafah warisan Rasulullah SAW,” simpulnya. []

 

Sumber:

https://www.facebook.com/share/p/1C1YqneswD/

 

#turunnaikpemimpin #demokrasi #politik #malaysia

Exit mobile version