Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Serangan terhadap Islam (Bahagian 4/4)

[Mafahim Islamiyyah] Serangan terhadap Islam (Bahagian 4/4)

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Akidah Islam benar-benar telah ditetapkan pemeliharaannya oleh Allah SWT sampai Hari Kiamat sehingga tidak ada manusia yang sanggup melenyapkannya. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” [TMQ Al-Hijr (15): 9].

 

Termasuk Adz-Dzikr adalah akidah Islamiah yang telah mendarah daging pada jiwa-jiwa dan telah diterima oleh akal dengan tenang. Sesungguhnya memelihara akidah itu bukan bererti hanya menjadikannya tertulis pada Al-Quran. Akidah para Firaun dan Hamurabi selalu tertulis, tetapi tidak akan kembali menjadi akidah dan sistem bagi kehidupan masyarakat.

 

Adapun akidah Islam, umat Islam wajib terus-menerus memeluknya sehingga kembalinya kepada pentas kehidupan sangatlah pasti sebagai negara dan sistem yang sangat kuat.

 

Allah SWT berfirman, “Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan serta mengembangkan agama mereka yang telah diredhai-Nya untuk mereka..” [TMQ An-Nur (24): 55].

 

Menjadikan berkuasa dan meneguhkan agama bagi orang yang beriman dan beramal soleh itu tidaklah akan terlaksana, kecuali dengan adanya negara, iaitu negara Khilafah. Negara Khilafah akan menerapkan Islam atas rakyatnya dan mengembannya keluar kepada seluruh manusia.

 

Allah SWT berfirman, “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan dusta) mereka. Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah dan agama yang benar (agama Islam) supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, meskipun orang-orang musyrik membencinya.” [TMQ Ash-Shaff: 8—9).

 

Lafaz agama itu umum mencakup setiap agama, sebagaimana Allah telah memenangkannya dan mendominasinya pada masa dahulu atas orang-orang jahiliah, Yahudi, Nasrani, dan Majusi. Begitu juga Allah akan memenangkan dan mendominasinya–insyaallah dalam waktu terdekat—atas kapitalisme, komunisme, dan lain-lain.

 

Akidah Islam—meskipun para pemeluknya telah tertimpa bahaya melalui tangan-tangan orang komunis, seperti dibunuh, diusir, dicabul kehormatannya, dirobohkan masjid-masjidnya, diubah nama-namanya, dilarang berbicara dengan bahasa Al-Quran, tetapi akidah ini telah menjadi percikan yang tersimpan dalam jiwa-jiwa mereka. Percikan itu tidak pernah padam dan akan menyala dengan terang hanya dengan diangkatnya kegelapan—walaupun hanya sedikit—daripada mereka.

 

Lalu bagaimana dengan kaum muslim yang telah hidup dengan kehidupan yang lebih baik berbanding kehidupan saudara-saudara mereka? Sesungguhnya akidah mereka telah mendorongnya kepada kebangkitan. Mereka meniti jalan yang benar untuk kebangkitannya melalui aktiviti menegakkan Khilafah dan melangsungkan kehidupan Islam.

 

Sesungguhnya akidah Islam adalah akidah politik yang mendorong para pemeluknya untuk berfikir dalam mengatur urusan mereka dengan sistem yang memancar daripada akidah itu, sama saja, sama ada zaman itu panjang atau pendek. Ia adalah akidah yang telah menjadikan orang Arab menjadi umat moden berkekuatan luar biasa. Mereka kemudian berangkat dengan membawa akidahnya ke penjuru dunia dengan mengemban panji-panjinya.

 

Mereka menyebarkan petunjuk dan keadilan kepada manusia. Mereka juga merobohkan berhala-berhala kekufuran dan menyekat tindakan yang bertentangan dengan Islam. Apabila akidah itu telah mendarah daging dalam jiwa mereka, sebagaimana telah mendarah daging dalam jiwa nenek moyang mereka, sesungguhnya mereka tidak akan mengenal erti kekalahan dan kehinaan. Mereka akan berjalan laksana petir menyambar dan guruh yang menggegarkan dalam mengemban dan menyebarkan akidah tersebut.

 

Mereka tidak pernah takut, selain kepada Allah. Sesungguhnya Amerika dan negara-negara kafir lainnya akan gagal dalam serangannya atas kaum muslim dan akidah mereka. Mereka akan kembali dengan membawa kerugian kerana kaum muslim yang ikhlas, serta sentiasa sedar dan konsisten dengan akidahnya, mereka faham dan sedar bahawa sesungguhnya mereka lebih kuat daripada kekufuran dan orang-orang kafir.

 

Bukan dari segi kekuatan fizikal mereka, tetapi hanya dengan kekuatan spiritual mereka. Mereka membuktikan keimanan terhadap Allah sebagai Al-Khaliq yang mempunyai kemampuan tanpa batas. Allah telah berjanji kepada mereka dengan kemenangan dan pertolongan, apabila mereka telah menolong agama Allah dan berjalan di atas jalan yang lurus sebagaimana Allah telah menetapkannya untuk mereka.

 

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [TMQ Al-Hajj (22): 40].

 

Mereka faham dan sedar bahawa apabila mereka ikhlas beraktiviti kerana Allah, sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama mereka dalam membatalkan pemikiran dan tipu daya musuh-musuh mereka.

 

Allah SWT berfirman, “Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat mereka. Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat.” [TMQ Al-Anfal (8): 30].

 

Juga firman-Nya, “Sesungguhnya orang yang kafir itu merancang tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya. Dan Allah pula tetap bertindak membalas rancangan jahat dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, janganlah engkau mahukan segera kebinasaan orang kafir itu, berilah tempoh sedikit masa kepada mereka.” [TMQ Ath-Thariq (86): 15—17].

 

Oleh kerana itu, tiadalah sikap kaum muslim selain mengambil syarat-syarat syarak untuk pertolongan itu. Dengan demikian, mereka akan mendapat kemenangan atas musuh-musuhnya dengan izin Allah.

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #SeranganBarat #DakwahIslam #KebangkitanUmat

Exit mobile version