BENARKAH ISTERI TIDAK WAJIB MELAKUKAN KERJA RUMAH?
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Baru-baru ini saya terpegun dengan kisah rumah tangga sebahagian sahabat yang sekaligus adalah para aktivis dakwah. Ada keresahan di kalangan mereka mengenai hak dan kewajipan suami isteri. Para suami merasa bimbang melanggar syariat, manakala para isteri merasa selama ini mereka ‘dikerjakan’ oleh para suami dalam urusan rumah tangga.
Perkara yang membuat mereka resah adalah; siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam urusan rumah tangga seperti memasak, menyediakan makanan dan minuman, mencuci pakaian dan lain-lain tugas di dalam rumah? Suami atau isteri?
Bertitik tolak daripada beberapa kajian mengenai isu ini, juga beredar beberapa artikel di alam maya – yang seperti biasa menjadi kesan viral di mana-mana – beberapa muslimah beranggapan jika selama ini suami salah faham tentang memahami kewajipan mengurus rumah tangga. Bahawa membasuh, seterika baju, memasak, dan lain-lain tugas sesungguhnya bukan kewajipan isteri, tetapi kewajipan suami. Dalil yang dijadikan rujukan adalah firman Allah SWT:
“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233].
Di alam maya juga tersebar beberapa artikel — sebahagiannya ditulis oleh para ustaz rahimakumullah – yang merangkum hak dan kewajipan perempuan dalam perkahwinan. Ringkasnya, tulisan tersebut menyatakan bahawa para ulama salaf ash-soleh memahami bahawa isteri tidak diwajibkan sama sekali untuk memasak, mencuci, menyeterika dan beberapa pekerjaan domestik yang lain.
Dalam beberapa penulisan dinyatakan bahawa kewajipan seorang isteri adalah hanyalah istimta’, iaitu memberikan pemenuhan keperluan biologi kepada suaminya. Bukan yang lain. Hal ini sememangnya masyhur dalam beberapa kitab Mazhab Fikih.
Pengikut Mazhab Hanbali misalnya berpendapat bahawa tidak ada kewajipan bagi seorang isteri untuk melakukan pekerjaan domestik seperti menguli doh, membuat roti, atau memasak. Pendapat yang sama juga datang dari pengikut Mazhab Imam Syafie seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Majmu’ (juz 16 halaman 427, edisi Maktabah Syamilah).
Menurut mereka, jika isteri berkhidmat kepada suaminya dalam pekerjaan-pekerjaan di atas itu adalah amalan terpuji (al-akhlaq al-mardliyyah), bukan sebagai kewajipan.
Namun, tidak semua ulama mempunyai pendapat yang sama. Abu Tsaur[i] berpendapat sebaliknya. Beliau menyatakan bahawa wajib bagi seorang isteri membantu atau berkhidmat kepada suaminya dalam semua perkara (yang makruf – penulis). Beliau memetik sebuah hadis yang dimuatkan oleh Imam Ibnu Habib[ii] dalam kitab al-Wadhihah, iaitu:
إنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَكَمَ عَلَى فَاطِمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِخِدْمَةِ الْبَيْتِ كُلِّهَا
“Sesungguhnya Nabi SAW memutuskan bahawa Fatimah – semoga Allah meredhainya – membantu dalam urusan rumah seluruhnya.”
Ulama lain yang berpendapat serupa ialah ‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah. Beliau berpendapat bahawa seorang isteri memang wajib mengerjakan tugas-tugas domestik. Beliau menyandarkan pendapatnya kepada keputusan Nabi SAW terhadap rumah tangga Fatimah az-Zahra dan Ali bin Abi Thalib RA:
فَإِنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَضَى عَلَى ابْنَتِهِ فَاطِمَةَ بِخِدْمَةِ الْبَيْتِ ، وَعَلِيٍّ مَا كَانَ خَارِجًا مِنْ الْبَيْتِ مِنْ عَمَلٍ
“Sesungguhnya Nabi SAW menetapkan terhadap anak perempuannya, Fatimah, mengerjakan pekerjaan di rumah, sedangkan Ali bin Abi Thalib kepada pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan di luar rumah.” (Musnad Ibnu Abi Syaibah).
Hadis di atas diperkuat dengan hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa suatu ketika Ali bin Abi Thalib dan Fatimah az-Zahra sama-sama mengadukan pekerjaan mereka masing-masing kepada Rasulullah SAW. Ali berkata, pekerjaannya mengambil air (dari luar rumah) menyebabkan dadanya terasa sakit. Manakala, Fatimah mengadu tentang keletihannya mengisar tepung yang menyebabkan tangannya melepuh. Namun Rasulullah SAW membiarkan hal itu dan sebaliknya mengajarkan kepada mereka berdua wirid dan zikir yang akan membuat mereka dicintai dan dimuliakan Allah SWT.
Sikap Rasulullah SAW yang membiarkan pekerjaan Ali di luar rumah dan Fatimah di dalam rumah, menunjukkan penetapan beliau bahawa inilah aktiviti suami dan isteri dalam Islam. Seorang suami memang wajib bekerja membawa apa yang diperlukan oleh isteri dari luar rumah seperti membawa air dan bahan makanan, sedangkan isteri bekerja dalam sektor domestik/dalam rumah seperti mengisar tepung, memasak, dsb.
Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari [iii] menyatakan, “Melaksanakan pekerjaan di rumah adalah wajib bagi seorang wanita walaupun isteri memiliki kedudukan yang terkemuka dan mulia jika suami mengalami kesulitan (mendapatkan pembantu rumah).” Ibnu Hajar berkata, “Demikianlah Nabi SAW menetapkan Fatimah melakukan pekerjaan di dalam rumah, sedangkan Ali melaksanakan pekerjaan di luar rumah.”
Selain itu, Rasulullah SAW juga sering meminta kepada isteri-isteri beliau mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di sektor domestik alias di dalam rumah tangga, seperti meminta air minuman, makanan, dsb.
يَا عَائِشَةُ اسْقِينَا ، يَا عَائِشَةُ أَطْعِمِينَا ، يَا عَائِشَةُ هَلُمِّي الشَّفْرَةَ ، وَاشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ
“Wahai Aisyah, tolong ambilkan minuman, wahai Aisyah tolong ambilkan kami makanan, wahai Aisyah ambilkan kami pisau dan asahlah dengan batu!” (HR. Abu Daud, Ahmad, Ibnu Hibban).
‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah juga berpendapat bahawa bagi seorang isteri, adalah wajib melayani suami di rumah dan mengurus rumah mengikut kemampuannya. Jika pekerjaan rumah tangga mendatangkan kesusahan kepada isteri, maka suami wajib membantu untuk meringankan bebannya. Contohnya, menyediakan mesin basuh atau mengupah pembantu rumah untuk meringankan tugas isteri di rumah.
Sebaliknya, jika pekerjaan di dalam rumah ringan dan mampu dikerjakan oleh isteri maka tidak ada kewajipan bagi suami untuk membawa pembantu. Malah isteri wajib untuk melaksanakan perkara itu. Hal ini berdasarkan apa yang diputuskan oleh Nabi SAW untuk Fatimah, puterinya.
Syeikh Taqiyuddin juga menyatakan bahawa seorang isteri wajib melayani suami seperti membuat doh roti, memasak, membersihkan rumah, menyediakan minuman jika suami meminta. Sebaliknya suami wajib menyediakan apa sahaja yang perlu dilakukan di luar rumah seperti membuang sampah, menyediakan kayu api atau tong gas, bahan makanan dari pasar, dsb.
Rasulullah SAW juga mengingatkan para wanita agar mereka berdikari dalam melakukan kerja rumah dan jangan sesekali menyusahkan suami jika mampu melakukannya sendiri hal itu. Sabda Nabi SAW:
لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى امْرَأَةٍ لاَ تَشْكُرُ لِزَوْجِهَا وَهِىَ لاَ تَسْتَغْنِى عَنْهُ
“Allah SWT tidak akan memandang kepada perempuan yang tidak berterima kasih kepada suaminya dan dia tidak berusaha melakukan sesuatu sendiri tanpa menyusahkan suaminya.” (HR. Baihaqi)
Pada pendapat kami, inilah pendapat yang rajih (kuat), kerana nas-nas syarak di atas telah menunjukkan pembahagian tugas antara suami dan isteri dalam perkahwinan. Begitu juga dengan kehidupan rumah tangga para sahabat pada zaman Rasulullah SAW juga berlaku seperti itu. Para sahabiyyah berkhidmat kepada suami mereka dan menyediakan pelbagai keperluan rumah tangga untuk mereka. Mereka mengisar tepung, membakar roti dan membasuh pakaian suami mereka. Dan Rasulullah SAW membiarkan dan mengakui hal itu. Sekiranya pekerjaan tersebut bukanlah kewajipan kaum wanita nescaya Rasullah akan membatalkan aktiviti-aktiviti tersebut.
Selain itu, jika suami menyuruh isterinya untuk mengerjakan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, menyapu, dll., maka wajib bagi isteri untuk melakukannya. Kerana ketaatan kepada suami dan mengakui serta melaksanakan hak-hak suami adalah amalan yang agung bagi seorang perempuan dalam rumah tangga. Sabda Nabi SAW:
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا لِمَا عَظَّمَ اللَّهُ مِنْ حَقِّهِ عَلَيْهَا
“Seandainya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan wanita untuk bersujud kepada suaminya, kerana Allah telah melebihkan hak suami terhadap isterinya.” (HR. Abu Daud).
Kesimpulannya, walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan pelbagai mazhab, namun kami melihat pendapat yang rajih, yang lebih kuat, adalah menetapkan pembahagian tugas lelaki dan wanita sebagaimana ketetapan Nabi SAW kepada Ali dan Fatimah. Lelaki bertanggungjawab untuk bekerja di luar rumah, manakala kaum wanita bertanggungjawab dalam kerja domestic (di dalam rumah).
Inilah ladang amal soleh yang wajib mereka kerjakan. Hal ini bukanlah ‘urf atau adat, melainkan ketetapan yang datang dari nas syarak. Oleh itu, tidak ada alasan bagi seorang perempuan enggan melakukan tugas-tugas domestik, dengan alasan hal itu adalah ‘urf, apatah lagi berdalih tidak termasuk dalam tugas seorang isteri. Jika itu benar, nescaya Rasulullah SAW akan membela keluhan puterinya sendiri. Tetapi ternyata beliau sebenarnya membenarkan aktiviti itu tetap diteruskan malah mengajarnya wirid dan zikir.
Mengabaikan tugas-tugas kerja rumah adalah kemaksiatan di sisi Allah SWT kerana termasuk melalaikan kewajipan. Maka seorang isteri hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melakukan kerja rumah dengan sebaik mungkin, agar rumah tangganya menjadi tempat berkumpul yang menyenangkan bagi suami dan anak-anaknya. Lebih –lebih lagi, amal soleh dalam rumah tangga adalah amal agung yang dapat menyamai jihad fii sabilillah yang dilakukan oleh lelaki. Wallahualam
Sumber: iwanjanuar.com
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#KerjaRumah #housechores #rumahtangga

