Site icon MuslimahHTM News

Rumah Tangga Sejahtera dan Bahagia dengan Akhlak Islami

[Apa Kata Anda] Rumah Tangga Sejahtera dan Bahagia dengan Akhlak Islami

Masalah sosial dan akhlak antara yang telah dilaporkan menjadi punca tertinggi dalam kes penceraian. Ini menunjukkan bahawa isu ini bukan isu kecil. Apabila individu yang bermasalah dari segi sosial dan akhlak mendirikan rumah tangga, ia bukan sahaja menjejaskan dirinya, tetapi turut memberi kesan kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Bila keluarga rosak, masyarakat juga akan menjadi rosak.

Selain itu, campur tangan pihak ketiga seperti mertua, rakan, atau pihak luar turut menyumbang kepada penceraian. Bahkan pengaruh budaya luar dan normalisasi LGBT kini semakin membimbangkan kerana ia turut mengancam institusi keluarga muslim. Manakala banyaknya kes pengabaian nafkah dan suami yang tidak bertanggungjawab (diumpamakan sebagai ‘biawak hidup’), semua ini juga sebenarnya impak keruntuhan akhlak dan nilai moral, yang sebenarnya akan turut memberi kesan pada institusi kekeluargaan.

Sebagai seorang Muslim, seharusnya Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi contoh utama kita. Akhlak baginda adalah cerminan al-Quran. Segala perbuatan dan tingkah lakunya berpandukan hukum dalam al-Quran. Seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a., Rasulullah bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku.” (HR Tirmizi). Ini membuktikan bahawa Rasulullah sebagai manusia biasa juga berkeluarga, bermasyarakat dan menghadapi pelbagai perasaan, namun tetap menunjukkan contoh akhlak yang terbaik.

Sebenarnya, semua orang yang berkahwin mengimpikan keluarga yang bahagia, harmoni, anak-anak yang baik. Oleh itu, untuk mencapai kebahagiaan, kita perlu melalui proses berfikir yang betul. Rasulullah dan para sahabat telah menunjukkan cara fikir yang berpaksikan al-Quran. Dalam al-Quran terkandung banyak hukum, dan keteladanan yang boleh dijadikan panduan dalam pendidikan keluarga, ibadah, dan hubungan sesama manusia. Apabila kita hidup mengikut acuan Islam, kita tidak akan mudah terjatuh ketika berdepan badai ujian. Sebaliknya, apabila individu dan masyarakat mengetepikan cara hidup Islam yang sebenar, hanya berpandukan logik dan hawa nafsu semata-mata, tanpa merujuk hukum syarak, kehidupan sudah pasti menjadi porak peranda.

Misalnya, tanpa ilmu agama yang betul, seseorang mungkin tidak faham konsep ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram). Inilah antara perkara yang membawa kepada masalah pergaulan bebas dikalangan orang yang sudah berkahwin, terutama di tempat kerja. Sekaligus, boleh menyebabkan salah faham, fitnah dan perpecahan rumah tangga. Jika ada kefahaman agama, pasti akan dapat menghindari situasi sedemikian.

Setiap keluarga Muslim tidak boleh tidak, mesti menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam membentuk sahsiah diri dan keluarga, serta menjadikan keimanan serta ketakwaan sebagai asas kepada rumah tangga yang kukuh. Jangan sesekali meninggalkan al-Quran sebab ia adalah manual hidup. Surah at-Tahrim ayat 6 menyebut: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.” Ini menunjukkan bahawa kita bukan hanya mahu masuk syurga seorang diri, tetapi juga mahu membawa keluarga bersama.

Suami isteri juga perlu saling menyokong dan bekerjasama. Tak boleh sebelah pihak sahaja yang berusaha. Contohnya, pergi ke majlis ilmu bersama-sama, saling menjaga anak, dan berkongsi matlamat mendidik anak menjadi soleh dan solehah. Ibu bapa yang bertakwa akan menjadi contoh kepada anak-anak. Sebab itu mendidik anak bukan hanya tugas ibu, tetapi juga ayah. Keduanya saling membantu dan memahami. Begitu juga bila seorang marah, seorang lagi perlu reda. Bila seorang ego, seorang lagi perlu merendah diri.

Sebagai seorang ibu muda, saya juga masih belajar. Tetapi kita semua bertanggungjawab untuk saling mengingatkan. Institusi keluarga adalah unit kecil dalam masyarakat. Jika keluarga baik, masyarakat juga akan menjadi baik. Maka, setiap individu dalam keluarga memainkan peranan penting dengan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai pegangan hidup. Kebahagiaan kita bukan diukur dengan kekayaan, rumah besar atau kereta mewah, tetapi dengan sejauh mana sesebuah keluarga itu hidup dengan mengamalkan syariat Islam.

(Zuraidah Razali)




#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version