Site icon MuslimahHTM News

Halal Haram Poligami

Halal Haram Poligami

 

Oleh :Ustaz M Taufik NT

 

Hukum asal nikah adalah sunnah, tapi jika sudah mempunyai isteri, dan ingin menambah isteri lagi (poligami) hukumnya mubah/boleh, bukan sunnah. Allah SWT berfirman:

 

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

 

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. [TMQ An Nisa’ (4):3]

 

Walaupun pada asasnya boleh, hukum poligami boleh berubah kepada sunnah atau makruh bahkan haram, bergantung kepada keadaan lelaki yang akan berpoligami.

 

Poligami menjadi sunnah/mandub bagi seorang lelaki sekiranya dia benar-benar memerlukan isteri lain, contohnya kerana dia tidak dapat menjaga kehormatannya jika dia hanya mempunyai seorang isteri, atau isteri itu sakit, atau isterinya mandul walaupun lelaki itu ingin mempunyai anak dan dia merasa mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, maka poligami adalah sunnah baginya. Inilah yang dilakukan oleh ramai para sahabat dan tabi’in dan golongan selepas mereka.

 

Namun, poligami menjadi makruh (tidak disukai) jika lelaki itu sebenarnya tidak memerlukan isteri lain, tetapi hanya bertujuan untuk bersuka ria, dan dia masih tidak pasti sama ada dia boleh berlaku adil atau tidak dari segi nafkah dan bergilir-gilir bermalam antara isteri-isterinya.

 

Kerana itulah, al Khatib as Syarbini (w. 977 H) menyatakan:

وَيُسَنُّ أَنْ لَا يَزِيدَ عَلَى امْرَأَةٍ وَاحِدَةٍ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ ظَاهِرَةٍ

Dan disunnahkan tidak menambah isteri kepada seorang isteri tanpa keperluan yang jelas” [Mughniy al Muhtaj, 4/207]

 

Poligami bahkan boleh diharamkan bagi seorang lelaki jika dia merasakan bahawa dia tidak akan dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya kerana kelemahan lelaki itu, atau kerana kemiskinannya, kerana dalam keadaan seperti ini, poligami hanya akan memudaratkan orang lain.

 

Keadilan yang dituntut dari seorang suami terhadap isteri-isterinya bukanlah keadilan yang mutlak. Yang dimaksudkan hanyalah sikap adil seorang suami terhadap isteri-isterinya setakat yang masih dalam lingkungan kemampuan manusia untuk merealisasikannya, iaitu dalam soal nafkah, tempat tinggal, bermalam, dan pergaulan yang baik dengan isteri-isterinya.

 

Adapun soal kecenderungan hati (tahap cinta) terhadap isteri-isterinya, tidaklah disyaratkan berlaku adil, kerana itu di luar kemampuan manusia. Allah SWT berfirman:

 

وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan);” [TMQ An-Nisa’ (4) : 129]

 

Ya, memang adil itu bukan syarat sahnya poligami, tetapi jika berpoligami tanpa dapat berlaku adil kepada isteri-isteri, poligami hanya akan menambahkan dosa dan kezaliman. Wallahu a’lam.

 

Bacaan: Al Mu’tamad fil Fiqh as Syafi’i, 4/24-26.

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

 

Exit mobile version