Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Siapakah Kaum Muslim Itu? (Bahagian 3/4)

[Mafahim Islamiyyah] Siapakah Kaum Muslim Itu? (Bahagian 3/4)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Ikatan patriotisme atau ikatan kaum, seperti hubungan anak-cucu, tidaklah terpakai menurut syarak sekiranya dijadikan asas dalam mengatur interaksi sesama manusia. Antara dalil yang menunjukkan hal ini adalah kisah Nabi Nuh AS ketika baginda memohon kepada Allah SWT agar menyelamatkan anak lelakinya daripada taufan yang membinasakan kaum kafir.

 

Allah SWT berfirman, “Dan Nabi Nuh berseru kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya’. Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu (yang terselamat), sesungguhnya amalan (permohonan Nabi Nuh supaya diselamatkan anaknya) itu tidaklah baik, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak ada pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku memperingatkanmu jangan menjadi orang yang jahil.” [TMQ Hud (11): 45-46]

 

Allah SWT juga berfirman tentang Ibrahim AS, “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Allah SWT berfirman, ‘Sesungguhnya Aku menjadikan engkau bagi manusia sebagai imam (pemimpin). Nabi Ibrahim memohon dengan berkata, ‘(Ya Tuhanku) Jadikanlah juga daripada keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan).’ Allah berfirman: “Janji-Ku ini tidak menjangkau orang-orang yang zalim’.” [TMQ Al-Baqarah (2): 124]

 

Jadi, ikatan kekeluargaan yang mengikat Nabi Nuh dengan anaknya serta Nabi Ibrahim dengan keturunannya, sama sekali tidak bernilai di hadapan ikatan akidah dan ideologi. Anak lelaki Nuh, menurut ukuran ikatan ini, tidak dianggap sebahagian daripada keluarganya kerana dia tidak beriman kepada agama yang telah diturunkan oleh Allah kepada ayahnya.

 

Begitu juga dengan orang-orang zalim daripada keturunan Nabi Ibrahim, iaitu mereka yang tidak mengikuti agama yang telah diturunkan oleh Allah kepada ayah mereka, Nabi Ibrahim AS. Kesemua mereka dikecualikan daripada janji Allah untuk menjadikan mereka imam bagi seluruh manusia kerana mereka termasuk dalam golongan yang zalim.

 

Oleh sebab itu, propaganda “anak-cucu Ibrahim” merupakan propaganda fanatisme jahiliah yang diselindungkan. Allah SWT telah melarang propaganda tersebut dengan larangan yang tegas, maka menyeru kepada propaganda itu dan berdakwah ke arahnya adalah haram. Begitu juga dengan setiap dakwah kepada selain Islam, seperti kesatuan agama, peradaban universal, dan perdamaian dunia; semuanya merupakan seruan yang batil dan tertolak menurut syarak.

 

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap perkara yang tidak terdapat perintah daripada kami padanya, maka ia tertolak.” Maksudnya, haram untuk berdakwah kepada perkara tersebut dan wajib menentangnya kerana ia bukan ajaran daripada Islam. Ini juga kerana seruan-seruan sedemikian bertujuan untuk memesongkan umat Islam daripada agama mereka serta menjauhkan mereka daripada memikul dakwah yang benar bagi menegakkan kehidupan Islam, iaitu dengan mendirikan Negara Khilafah yang akan melaksanakan Islam secara adil ke atas rakyat dan menyebarkan Islam sebagai cahaya petunjuk ke seluruh dunia.

 

Dengan Islam, Negara Khilafah akan menghancurkan segala bentuk ikatan jahiliah yang berasaskan kepentingan dan manfaat yang telah dipegang oleh golongan kafir serta para pengikut mereka, kerana mereka sentiasa menyeru kepada ikatan-ikatan tersebut. Negara Khilafah akan memusnahkan pengaruh dan kepentingan mereka, serta menghancurkan cita-cita dan harapan mereka sehingga semuanya lenyap.

 

Allah SWT berfirman, “Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya mengatasi segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [TMQ At-Taubah (9): 33]

 

Maka, Islam adalah agama yang benar. Allah SWT telah berjanji untuk mengukuhkan dan memenangkannya ke atas semua agama kufur kerana agama-agama yang plural—selain Islam—hakikatnya adalah satu agama, iaitu agama kufur. Islam akan menang mengatasi agama-agama tersebut. Dengan izin Allah, umat Islam tidak lama lagi akan memperoleh pertolongan atas kekuasaan mereka melalui usaha orang-orang yang berjuang dan ikhlas. Golongan kafir, para ejen mereka, dan orang-orang munafik akan dipermalukan dan dihinakan.

 

Allah SWT berfirman, “Sebenarnya mereka memandang azab itu masih jauh (daripada berlaku). Sedangkan Kami memandangnya dekat, (tetap akan berlaku).” [TMQ Al-Ma’arij (70): 6-7]

 

Adapun pemikiran “Dialog antara agama”, ia adalah pemikiran yang berasal daripada ideologi kapitalisme. Pemikiran ini sama sekali tidak berasal daripada Islam, bahkan merupakan salah satu strategi musuh untuk memerangi Islam dan umat Islam. Ia bertujuan memesongkan umat Islam daripada agamanya serta menyebarkan fahaman bahawa Islam—sebagaimana agama Nasrani dan Yahudi—adalah agama yang tidak mempunyai hubungan dengan (pengurusan) kehidupan.

 

Selain itu, pemikiran ini juga bertujuan untuk menelanjangkan Islam daripada aspek pentingnya, iaitu politik dalam erti yang sebenar. Politik menurut pandangan Islam adalah mengurus urusan manusia dengan hukum-hukum Islam, namun mereka ingin membatasi Islam hanya kepada soal-soal ibadah dan akhlak semata-mata.

 

Mereka—para musuh Islam—berhasrat untuk melepaskan umat Islam daripada pemikiran menegakkan Negara Islam yang akan menyatukan umat Islam dan melaksanakan seluruh aspek ajaran Islam ke atas mereka. Ini kerana menurut anggapan mereka, sistem ini mengandungi perkara-perkara yang dianggap tidak moden seperti jihad, hukuman hudud, serta pengharaman riba dan zina.

 

Kesemua perkara tersebut—sebagaimana propaganda mereka—dilabelkan sebagai pemikiran ekstremis yang tidak sesuai untuk era masa kini. Mereka mendakwa perkara tersebut bertentangan dengan prinsip demokrasi, ideologi-ideologi barat, hak asasi manusia, dan hak menentukan masa depan manusia.

 

Maka, alangkah peliknya apabila terdapat para ulama umat Islam yang terlibat dalam dialog tersebut. Alangkah hairannya apabila umat Islam hanya berdiam diri terhadap para ulama yang berdialog atas nama mereka. Adakah para ulama tersebut tidak mengetahui kaedah menyeru golongan bukan Islam kepada Islam? Sesungguhnya, umat Islam telah melaksanakan usaha dakwah ini selama lebih tiga belas abad.

 

Dalam tempoh tiga belas abad itu, telah berlaku perdebatan dan pertarungan hujah yang sengit antara umat Islam dengan golongan bukan Islam. Namun, perdebatan itu bukanlah atas dasar mencari titik sama di antara mereka, sebaliknya atas dasar keyakinan bahawa Islam adalah agama yang benar dan bahawa agama selain Islam adalah batil.

 

Sumber: Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #umatislam #kaummuslim

 

Exit mobile version