Site icon MuslimahHTM News

Isteri Menuntut Cerai daripada Suaminya

Isteri Menuntut Cerai daripada Suaminya

 

Oleh: Ustaz M Taufik NT

 

Talak atau cerai ialah usaha untuk melepaskan ikatan dalam perkahwinan. Kebolehan talak bukanlah kerana ada alasan syarak tertentu (illah syar‘îe), maka talak tetap dianggap halal meskipun dilakukan tanpa sebab apa pun. Namun begitu, ia dihukumkan makruh jika dilakukan tanpa sebab yang wajar atau keperluan mendesak.

 

Hak untuk menjatuhkan talak berada di tangan suami, bukan di tangan isteri. Isteri tidak diberikan kuasa untuk menceraikan suaminya. Malah, isteri juga diharamkan untuk menuntut cerai sekiranya tiada alasan yang dibenarkan oleh syarak.

 

Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ، فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

“Mana-mana wanita yang meminta cerai kepada suaminya bukan kerana kesulitan, maka haram baginya bau surga.” [HR Abu Dawud dan At Tirmidzi].

 

Yang dimaksudkan dengan ‘fî ghairi mâ ba’sin’ (bukan kerana kesulitan) diterangkan dalam kitab ‘Aunul Ma’bud:

أي لِغَيْرِ شِدَّةٍ تُلْجِئُهَا إِلَى سُؤَالِ الْمُفَارَقَةِ

“Iaitu tanpa ada kesulitan atau penderitaan yang memaksanya untuk meminta perceraian…” [‘Aunul Ma’bud, 6/220]

 

Namun begitu, ini tidak bermaksud seorang wanita wajib kekal bersama suaminya seumur hidup tanpa sebarang pilihan. Isteri tetap berhak untuk berpisah jika ada sebab yang sah, tetapi ia tidak dinamakan sebagai talak.

 

Fasakh & Khulu’

 

Fasakh bermaksud pembubaran akad nikah disebabkan cacat yang membatalkan akad tersebut, sama ada cacat itu wujud sebelum atau selepas akad yang menghalang perkahwinan itu diteruskan.

 

Antara cacat sebelum akad ialah berkahwin dengan mahram, berkahwin dengan wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah, atau salah seorang pasangan murtad sebelum akad. Manakala cacat selepas akad seperti salah seorang pasangan murtad selepas berkahwin. Dalam kes seperti ini, perkahwinan wajib dibubarkan.

 

Selain itu, perkahwinan yang sah juga boleh difasakh oleh hakim atas tuntutan isteri jika ada sebab, antaranya:

 

  1. Suaminya mengalami kecacatan sehingga tidak mampu melakukan hubungan suami isteri, seperti mengalami masalah mati pucuk atau telah dikembiri, manakala si isteri pula tidak menghidap penyakit seumpama itu. Jika kecacatan itu masih boleh dirawat, maka hakim boleh memberikan tempoh kepada suami untuk berusaha memulihkan keadaannya. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar RA pernah memberikan tempoh selama satu tahun kepada seorang suami yang mengalami masalah mati pucuk. Namun, jika kecacatan itu tidak boleh dirawat, seperti kemaluan suami telah terputus, maka pada ketika itu juga isteri berhak untuk memilih (khiyar) sama ada untuk terus bersama atau berpisah, tanpa perlu diberikan tempoh.

 

  1. Suaminya menghidap penyakit yang menyebabkan si isteri tidak lagi mampu tinggal bersama tanpa menanggung risiko atau bahaya terhadap dirinya, seperti penyakit kusta, sifilis, batuk kering (Tibi), AIDS atau penyakit berjangkit yang lain. Dalam keadaan seperti ini, isteri berhak membawa perkara ini kepada hakim dan menuntut perceraian daripada suaminya. Tuntutan si isteri boleh diterima sekiranya terbukti bahawa suaminya benar-benar menghidap penyakit tersebut dan tiada harapan untuk sembuh dalam tempoh tertentu. Sa‘îd ibn al-Musayyab berkata:

 

أَيُّمَا رَجُلٍ تَزَوَّجَ امْرَأَةً، وَبِهِ جُنُونٌ، أَوْ ضَرَرٌ، فَإِنَّهَا تُخَيَّرُ، فَإِنْ شَاءَتْ قَرَّتْ، وَإِنْ شَاءَتْ فَارَقَتْ

“Mana-mana lelaki yang telah berkahwin dengan seorang wanita, sedangkan lelaki tersebut didapati gila atau berbahaya, maka isterinya berhak untuk membuat pilihan (khiyar); jika dia mahu, dia boleh terus tinggal bersama suaminya, dan jika dia mahu, dia juga boleh memilih untuk bercerai dengan suaminya.”[Al-Muwaththa’, 4/808. Maktabah Syamilah]

 

  1. Jika seorang suami, selepas berlangsungnya akad nikah, tiba-tiba menjadi gila, dalam keadaan seperti ini isterinya boleh membawa perkara tersebut kepada qadhi (hakim) dan memohon untuk bercerai daripada suaminya. Qadhi, dalam hal ini, boleh menangguhkan keputusan perceraian itu sehingga satu tahun. Jika penyakit gila suaminya tidak sembuh dalam tempoh tersebut, sedangkan isterinya tetap berpegang pada tuntutan perceraian, maka qadhi boleh segera menjatuhkan keputusan untuk memisahkan mereka. Demikianlah sebagaimana yang disebutkan dalam Kitab al-Muwaththa’ tersebut di atas.

 

  1. Jika seorang suami melakukan perjalanan (safar) ke suatu tempat, sama ada dekat atau jauh, kemudian dia menghilang dan tidak ada sebarang berita daripadanya, sedangkan isterinya terhalang daripada menerima nafkah, dalam keadaan seperti ini si isteri berhak untuk menuntut cerai daripada suaminya. Tuntutan ini boleh dilakukan setelah adanya usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencari dan menjejaki suaminya. Ketetapan ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW berkaitan dengan seorang isteri yang berkata kepada suaminya demikian:

 

 

أَطْعِمْنِي وَإِلَّا فَارِقْنِي

“Berilah aku makan. Jika tidak, maka ceraikanlah aku.” [HR Ahmad dan ad-Daraquthni]. Tidak diberikan makan (nafkah) merupakan ‘illat (alasan yang membolehkan) untuk berpisah.”

 

  1. Jika suami tidak memberikan nafkah kepada isterinya, sedangkan dia mampu, dan tiada kemungkinan bagi si isteri untuk mendapatkan harta daripada suaminya dengan apa jua cara sekalipun, maka dalam keadaan seperti ini, isteri boleh menuntut perceraian, dan qadhi boleh memutuskan untuk menceraikan mereka pada waktu itu juga tanpa sebarang penangguhan. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda:

 

امْرَأَتُكَ مِمَّنْ تَعُولُ، تَقُولُ: أَطْعِمْنِي وَإِلَّا فَارِقْنِي

“Isterimu adalah sebahagian daripada orang yang berada di bawah tanggunganmu. Dia berkata: ‘Berilah aku makan. Jika tidak, maka ceraikanlah aku!’” [HR Ahmad]

 

  1. Jika terdapat pertentangan dan perselisihan antara suami dan isteri, dalam keadaan seperti ini, si isteri boleh mengemukakan tuntutan untuk berpisah daripada suaminya. Qadhi, dalam hal ini, boleh melantik seorang juru damai daripada pihak isteri dan seorang juru damai daripada pihak suami. Dewan keluarga ini akan mendengar keluhan atau aduan daripada kedua-dua belah pihak, kemudian berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendamaikan mereka. Jika tidak mungkin dicapai kata sepakat antara keduanya, maka dewan keluarga boleh memisahkan mereka mengikut pandangannya dan sekiranya hal itu mudah untuk dilaksanakan. Allah SWT berfirman:

 

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُواْ حَكَماً مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَماً مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلاَحاً يُوَفِّقِ اللّهُ بَيْنَهُمَا

“Dan jika kamu khuatirkan berlaku persengketaan antara keduanya, maka hantarlah seorang hakam (juru damai) daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang hakam itu bermaksud untuk mengadakan perdamaian, nescaya Allah akan memberi taufik kepada suami isteri itu.” [TMQ an-Nisâ’ [4]: 35]

 

Dalam kelima-lima keadaan tersebut, fasakh (pembubaran perkahwinan) memerlukan keputusan daripada seorang hakim, dan ia tidak boleh berlaku begitu sahaja tanpa melalui proses pengadilan.

 

Berbeza dengan cerai, ia boleh berlaku tanpa melalui pengadilan, apabila suami berkata kepada isterinya: “Engkau aku ceraikan”, maka pada saat itu juga perceraian tersebut terus berlaku.

 

Begitu juga jika suami menyerahkan kuasa talak ini ke tangan isteri, maka dalam keadaan seperti ini, si isteri berhak untuk menceraikan dirinya sendiri sesuai dengan kuasa yang telah diberikan oleh suaminya. Jika isteri berkata, “Aku telah menceraikan diriku sendiri daripada suamiku”, atau dia terus berkata kepada suaminya, “Aku telah menceraikan diriku daripadamu”, maka talak itu berlaku pada saat itu juga tanpa perlu kepada keputusan hakim.

 

Akan tetapi, isteri tidak boleh berkata, ‘Aku telah menceraikan kamu’, atau, ‘Engkau aku ceraikan’, kerana talak itu berlaku ke atas isteri, bukan ke atas suami, walaupun dalam hal ini talak tersebut diucapkan oleh pihak isteri.

 

Selain daripada fasakh, seorang isteri juga boleh meminta cerai daripada suaminya tanpa melibatkan hakim, dan tanpa syarat-syarat yang tersebut di atas, iaitu melalui khulu’, yang insya Allah akan dibincangkan pada kesempatan yang lain.

 

Namun begitu, sebelum melangkah lebih jauh, jika berlaku masalah dalam rumah tangga, perceraian bukanlah sentiasa menjadi jalan penyelesaian yang terbaik, apatah lagi jika telah dikurniakan anak-anak. Bersabar dalam menghadapi tingkah laku pasangan yang tidak menyenangkan, sekiranya dilakukan kerana mengharapkan keredhaan Allah, nescaya Allah akan memberikan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut, atau Allah akan menggantikan kesabaran itu dengan sesuatu yang lebih baik. Wallāhu a’lam.

 

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

#cerai #talak

Exit mobile version