Khulu’ (Tebus Talak)
Oleh: Ustaz M Taufik NT
Disamping isteri boleh menuntut cerai daripada suaminya (menuntut fasakh), dan hakim boleh memutuskan ikatan pernikahan jika terpenuhi syarat-syaratnya walaupun suami bersikap keras tidak mahu menceraikan, seorang isteri juga boleh melepaskan ikatan pernikahan dari suaminya dengan melakukan khulu’ (tebus talak).
Khulu’ sebenarnya adalah salah satu jenis perceraian, namun memiliki hukum-hukum khusus yang membezakannya dengan perceraian biasa.
Khulu’ adalah berpisahnya suami isteri, permintaan berpisah dari sang isteri, dengan adanya kompensasi atau pengganti dari pihak isteri. Hukumnya adalah boleh sebagaimana firman Allah SWT:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ
“Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).” [TMQ Al-Baqarah(2): 229].
Maknanya “khiftum” (khuatir) adalah “dzann” (dugaan), makna “allaa yuqiima huduudallaah” (kedua-duanya tidak boleh menjalankan hukum-hukum Allah SWT.) maknanya adalah adanya ketidakserasian salah satu pasangan dengan pasangannya, atau isteri meyakini akan tidak sanggup mentaatinya, atau suami meyakini tidak akan sanggup menunaikan hak-hak isterinya, maka tidak mengapa suami mengambil tebusan dari sang isteri.
Khulu’ juga boleh dilakukan walaupun alasan awalnya adalah kekurangan pasangan secara fizikal yang dikhuatirkan si isteri tidak mampu bersabar dan tidak bersyukur terhadap suaminya, sebagaimana Jamilah binti Ubay bin Salul pernah mengadu kepada Rasulullah SAW:
مَا أَعْتِبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلاَ دِينٍ، وَلَكِنِّي أَكْرَهُ الكُفْرَ فِي الإِسْلاَمِ
“Tidaklah aku mencelanya (iaitu Tsabit bin Qais, suaminya) dalam hal akhlak dan agamanya, namun aku khuatir berlaku kufur nikmat dalam Islam (kerana suaminya buruk rupanya)”.
Maka Rasulullah SAW bersabda:
أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ
“Adakah engkau bersedia mengembalikan kebunnya (yang telah diberikan kepadamu)?”
Maka Jamilah menjawab: “ya”, lalu Rasulullah SAW berkata kepada Tsabit :
اقْبَلِ الحَدِيقَةَ وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً
“Terimalah kebun tersebut dan ceraikanlah dia” [HR. Al Bukhari].
Hukum asal khulu’ adalah makruh, namun kemakruhan itu hilang jika dipenuhi syarat-syarat berikut:
1. Kedua-dua suami isteri atau salah satunya khuatir tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah SWT dalam berumah tangga.
2. Si isteri tidak menyukai perilaku suaminya, baik kerana buruknya akhlak, perangai, kurang agamanya mahupun kerana tidak elok penampilannya dalam pandangan si isteri.
3. Si suami akhlak dan perangainya baik, namun lemah dalam hal ‘bersenang-senang’, atau lemah dalam hal memberikan nafkah harta.
4. Suami bersumpah mahu mentalak tiga jika dia (suami) melakukan hal-hal yang pasti akan dilakukan suaminya, seperti makan dan lain-lain, dalam hal ini isteri boleh mengajukan khulu’, lalu suami melakukan apa yang disumpahkannya tersebut, dan kemudian menikahi isteri tersebut.
Dalam empat hal tersebut, khulu’ hukumnya mubah atau boleh.
Khulu’ menjadi sangat makruh jika dilakukan kerana isteri sudah ada pemuda idaman lain yang akan dinikahinya, atau suami sengaja menyusahkan isterinya yang kaya dengan harapan isterinya membayar tebusan untuk khulu’ tersebut.
Syarat-Rukun Khulu’
1. Suami disyaratkan baligh, berakal dan atas pilihan sendiri (tidak dipaksa).
2. Mukhtali’, iaitu isteri, syaratnya dia mempunyai kelayakan untuk menthasarrufkan harta, iaitu dia mukallaf dan tidak dihalangi (hajr) kerana kebodohan atau sakitnya.
3. Mahall, iaitu al budh’u, disyaratkan dia ‘dimiliki’ oleh suami, sehingga khulu’ hanya sah dalam kaitannya dengan isteri, samada yang belum dicerai atau dicerai raj’i (masih boleh dirujuk). Adapun dalam kaitannya dengan talak tiga, tidak sah khulu’ dilakukan.
4. Iwadh (ganti), berupa harta dari isteri, baik banyak ataupun sedikit, baik berupa barang atau perkhidmatan, tunai mahupun kredit.
5. Shighoh, iaitu adanya ijab qabul. Contohnya suami berkata: “engkau aku ceraikan dengan membayar RM100 ”, lalu isteri berkata: “ku terima”, atau isteri berkata: “ceraikanlah aku, ku bayar RM100”, lalu suami berkata : “(ya) kuceraikan engkau”, maka sah, asalkan tidak terputus oleh waktu yang lama.
Khulu’ adalah Akad Sukarela
Khulu’ sempurna dengan adanya kerelaan dari kedua-dua belah pihak. Oleh kerana itu dia tidak memerlukan adanya hakim sebagaimana iqalah dalam transaksi jual beli, juga berbeza dengan fasakh yang memerlukan hakim untuk memutuskan.
Kesan dari Khulu’
1. Mengurangkan jatah talak, sebagaimana talak biasa.
2. Tidak boleh rujuk. Bernikah semula hanya boleh jika pasangan belum melakukan khuluk, dan atau, belum bercerai talak tiga.
3. Isteri terus menjadi wanita ajnabi (asing), walaupun masih dalam masa iddah, sehingga tidak boleh berdua-duaan dll.
Walaupun khulu’ dibolehkan dalam Islam, namun hendaknya tidak terburu-buru dilakukan hanya kerana ada pelbagai ketidaksesuaian dalam berkeluarga. Jika mampu bersabar, insyaAllah itulah yang terbaik, lebih-lebih lagi jika sudah beranak-pinak. Di sisi lain, yang namanya manusia, pasti ada kekurangannya, tidak ada yang sempurna, jika berganti suami atau isteri baru, tentu akan ada lagi kekurangan yang akan ditemui. Wallahu a’lam.
Bacaan: Al Mu’tamad fil Fiqh as Syafi’i, juz 4 hal 195 dst
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#Cerai #Fasakh #Khuluk #FikihNikah

