Site icon MuslimahHTM News

Ukuran Kebenaran Bukan Berada Pada Bilangan

Ukuran Kebenaran Bukan Berada Pada Bilangan.

 

Oleh: Syamsiyah Jamil

 

Jurucakap HTM Ustaz Abdul Hakim Othman menyatakan bahawa ukuran kebenaran bukan berada pada bilangan tetapi pada al-Quran dan as-Sunnah.

 

“Ukuran kebenaran bukan berada pada bilangan. Jadi ukuran kebenaran itu apa? Ukuran kebenaran itu, ukuran al-hak, kebenaran itu berada pada Islam, berada pada al-Quran dan as-Sunnah. Itu ukuran kebenaran.  Maksudnya selama mana perjuangan mereka bertepatan dengan hak, bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah, maka mereka berjuang di jalan yang yang benar,” katanya dalam program Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM bertajuk “Adakah Bilangan Pengukur Kebenaran Dan Kemenangan?”, Jumaat (1/8/2025).

 

Beliau menjelaskan, bilangan ahli  dalam sesebuah parti atau bilangan kehadiran dalam aktiviti yang mereka anjurkan bukan penentu kebenaran.

 

“Apa saja aktiviti yang mereka anjurkan, dapat sambutan atau pun tidak dapat sambutan, sepuluh orang yang hadir ataupun 10,000 orang yang hadir, selama mana apa yang mereka sampaikan dalam aktiviti tersebut itu bertepatan dengan hak, bertepatan dengan al-Quran dan sunnah, maka mereka berada di jalan kebenaran,” ujarnya.

 

Lanjutnya, parti politik merasakan mereka benar dan perjuangan mereka pun benar apabila ramai yang datang menyokong program mereka.

 

“Soalannya adalah adakah pengukur kebenaran itu berada pada bilangan ahli, bilangan peserta yang turun demonstrasi, peserta yang terlibat dalam aktiviti atau pun sebenarnya pengukur kebenaran itu adalah intipati kepada perjuangan?” soalnya.

 

Beliau memberikan contoh  perjuangan golongan-golongan liberal yang wujud di Malaysia termasuk golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual Dan Transeksual). Mereka juga berjuang sehingga aktiviti mereka mendapat sambutan ramai, malah lebih ramai daripada ceramah agama di surau atau pun masjid.

 

“Jadi, adakah dengan kehadiran yang ramai begitu, maka LGBT pun boleh kata kami memang berada di pihak yang benar sebab ramai yang ikut serta kan?” soalnya.

 

Beliau menerangkan bahawa walaupun golongan LGBT mempunyai ramai pengikut samada di Malaysia atau pun di luar negara, tetapi itu tidak menunjukkan perjuangan mereka adalah benar.  

 

“Jadi apa yang kita tengok itu adalah intipati (content) kepada perjuangan tersebut. Bukan kita lihat pada bilangan dia,” tegasnya.

 

Beliau memandang bahawa parti politik Islam perlu mempunyai pemikiran yang betul dan meletakkan alasan yang betul. Apabila mana-mana parti politik Islam melakukan aktiviti mereka tetapi tidak mendapat sambutan yang ramai, mereka tetap perlu berbangga kerana apa yang mereka lakukan itu adalah bertepatan dengan syarak.

 

“Jadi, sepatutnya bagi parti politik Islam, kalau mereka nak berbangga, mereka nak mendabik dada dengan apa yang mereka lakukan, seharusnya mereka boleh berbangga sekiranya mereka melakukan satu aktiviti yang bertepatan dengan Islam dan mendapat sambutan yang ramai. Mereka boleh berbangga,” tuturnya.

 

Tambahnya, kalau parti politik Islam telah melakukan perkara yang benar tetapi kehadiran tidak ramai, itu bukan berada dalam wilayah kekuasaan mereka lagi. Tetapi apa yang penting  adalah mereka menyampaikan perkara yang  benar.

 

“Daripada kita menyampaikan perkara yang batil, melakukan perkara yang batil, melakukan perkara yang menyeleweng al-Quran dan Sunnah, dapat sambutan ramai, jadi tidak ada guna kita nak mendabik dada dengan  kehadiran yang begitu ramai,” ucapnya.

 

Walau bagaimana pun, beliau mengungkapkan bahawa kita juga tidak boleh memandang remeh atau memperlekehkan bilangan yang ramai.

 

“Bilangan yang ramai memang diperlukan dalam perjuangan ini, bukan tidak perlu, bukan tidak penting. Penting dan juga perlu. Tetapi itu bukan pengukur kebenaran dan juga bukan pengukur kemenangan,” simpulnya.

 

Sumber: https://www.facebook.com/share/v/17DNKWMVXc/

 

 

 

Exit mobile version