Amerika Mengeluarkan Peringatan Tentang Kemunculan Kembali Khilafah
Setiap kali umat Islam melangkah maju ke arah pembebasan daripada beban kolonialisme yang menekan dada mereka, serta berusaha membebaskan diri daripada hegemoni Barat, kuasa-kuasa Barat akan segera mengeluarkan amaran. Mereka khuatir bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh para pejuang ikhlas daripada kalangan umat ini akan membawa kepada tertegaknya semula Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, Amerika Syarikat dan sekutu Salibnya segera mengerahkan segala kekuatan mereka setelah berlakunya pelarian tirani Syria, Bashar al-Assad, dan kemasukan para revolusioner ke Damsyik. Mereka menghantar utusan demi utusan, baik daripada kalangan pegawai tinggi mahupun perwakilan bawahan, yang mewakili kerajaan mereka, untuk menangani peristiwa yang dianggap sangat penting oleh Amerika dan sekutunya. Jika keadaan dibiarkan tidak terkawal, natijahnya tidak akan menguntungkan kaum kafir.
Di sebelah timur Dunia Islam, di Bangladesh, Amerika dan sekutunya, India, memantau situasi di sana dengan penuh kegusaran, setelah pelarian diktator Hasina. Mereka bimbang keadaan akan berpihak kepada Islam dan para pengikutnya. Mereka sedar bahawa Islam adalah satu-satunya pilihan yang akan dipilih oleh hati umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Bangladesh, sekiranya mereka dibebaskan daripada cengkaman para penguasa Muslim yang menjadi ejen-ejen Barat. Oleh yang demikian, Amerika telah menghantar orang suruhannya, Muhammad Yunus, dari tempat pengasingan untuk mengekang kebangkitan mahasiswa yang telah memaksa tentera Bangladesh menggulingkan diktator Hasina, dan menyeludupkannya ke India.
Dalam sebuah wawancara di saluran televisyen India, NDTV, Tulsi Gabbard, Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat, mendakwa bahawa penindasan dan pembunuhan terhadap minoriti agama di Bangladesh serta “ancaman pengganas Islamik” di negara itu “berpunca daripada ideologi dan matlamat yang sama, iaitu untuk memerintah atau mengatur dengan Khilafah Islam.”
Pernyataan ini muncul selepas Hizbut Tahrir Wilayah Bangladesh mengadakan “Khilafah March” pada hari Jumaat, 7 Mac 2025, bagi mengingatkan umat Islam tentang kehancuran Khilafah serta menyeru mereka untuk berusaha ke arah penegakan semula Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah. Demonstrasi tersebut merupakan sebuah seruan terbuka kepada masyarakat negara itu, khususnya kepada para pemegang kuasa dan pelindung agar memberikan nusrah kepada Hizb dalam usaha menegakkan Khilafah, sempena peringatan kejatuhannya. Meskipun kerajaan sementara bertindak menindas perhimpunan tersebut dengan kejam, tindakan itu tidak banyak membantu pemimpin yang disokong oleh Amerika, Presiden sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, penerima Anugerah Nobel Keamanan dan rakan karib bekas Presiden AS, Bill Clinton selama empat dekad. Pemerintahan sementara Yunus mendapat restu kerajaan Amerika Syarikat setelah beliau bertemu dengan bekas Presiden AS, Joe Biden, di New York.
Ejen-ejen penjajah berusaha sekuat tenaga untuk memenuhi harapan tuan mereka. Oleh itu, respons daripada kerajaan sementara Bangladesh terhadap kenyataan Tulsi Gabbard melebihi jangkaan, dengan menyatakan bahawa kenyataan tersebut “sangat mengelirukan dan merosakkan imej serta reputasi Bangladesh, sebuah negara yang terkenal dengan amalan Islam tradisional yang inklusif dan damai serta telah mencapai kemajuan luar biasa dalam memerangi ekstremisme dan keganasan.”
Kerajaan sementara Bangladesh dan negara dalam negara (deep state) mereka berpegang teguh kepada komitmen untuk memerangi Islam serta menghalang kembalinya Khilafah di negara tersebut. Komitmen ini bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan sudah berakar umbi dalam arena politik Bangladesh, yang tidak berubah walaupun selepas kejatuhan diktator Hasina. Sebaliknya, negara dalam negara terus mengekalkan kesetiaan mereka kepada Barat, menjalin hubungan dengan kedutaan-kedutaan Barat dan kuasa-kuasa kolonialis, serta menerima arahan daripada mereka, sebagaimana yang dilakukan pada era Hasina. Oleh itu, reaksi mereka terhadap kenyataan Gabbard merupakan bantahan terhadap tuduhan tersirat bahawa mereka lalai, sedangkan mereka sedang bertungkus-lumus memerangi Islam dan menekan dakwah ke arah penegakan Khilafah.
Apa yang gagal difahami oleh para penguasa Muslim, termasuk di Bangladesh dan negara dalam negara mereka, adalah bahawa Amerika Syarikat sangat takut walaupun hanya menyebutkan Islam di negeri-negeri Muslim. Walaupun Amerika sering berbincang secara tertutup dengan para penguasa dan jarang menyatakannya secara terbuka, mereka memandang serius dakwah untuk menghidupkan kembali kehidupan Islam di Bangladesh dan negara-negara Muslim lain, bukan sebagai perkara main-main. Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat dan kerajaannya amat sedar bahawa Islam merupakan satu-satunya alternatif yang mulia dan beradab bagi menggantikan tamadun Barat mereka yang tamak haloba dan penuh dengan kerosakan. Jika para penyokong Khilafah dibenarkan bergerak bersama-sama umat Islam, nescaya mereka akan menerima dakwah tersebut, memilih pemerintahan Islam, dan memberikan baiat kepada Khalifah untuk memerintah berdasarkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.
Oleh itu, dasar Amerika dan sekutu Salibnya adalah bersifat pencegahan. Mereka menuntut agar para ejen dan pengikut mereka di negeri-negeri Muslim terus mengasingkan dakwah umat Islam melalui larangan, penganiayaan, penahanan dan penindasan dengan segala kekuatan mereka. Begitulah juga tindakan yang pernah dilakukan oleh Quraisy terhadap junjungan besar umat manusia, Muhammad SAW, di mana mereka memboikotnya dan para sahabat, menyeksa mereka, menghalang mereka, serta menyebarkan pembohongan kepada kabilah-kabilah Arab tentang as-Sadiq al-Amin (yang benar dan terpercaya) dan tentang dakwah Rasulullah SAW. Namun, Allah SWT telah berjanji akan memenangkan Islam atas seluruh agama. Perkara yang sama pasti akan berlaku, insya-Allah, walaupun Amerika dan ketua-ketua perisikannya membenci perkara itu.
Allah SWT berfirman (yang bermaksud): ”Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” [TMQ At-Taubah (3): 32]
Perlu diambil perhatian bahawa rakyat kami di Bangladesh, termasuk para tentera yang ikhlas dalam Angkatan Tentera Bangladesh, kini menjadi sasaran kekuatan kafir Barat. Kuasa-kuasa ini tidak menginginkan kebaikan bagi mereka, iaitu kebaikan yang hanya dapat terwujud dengan kembalinya Islam sebagai sistem pemerintahan yang menerapkan segala yang telah Allah wahyukan. Oleh itu, mereka berusaha memutuskan hubungan antara ahlul quwwah, para tentera dengan para pengemban dakwah yang menyeru kepada penegakan Khilafah.
Kerana itu, mereka perlu memahami benang-benang konspirasi ini dan berusaha mematahkannya dengan bekerja secara serius bersama Hizbut Tahrir. Demikian juga, para tentera Muslim yang ikhlas di Bangladesh hendaklah segera memberikan nusrah kepada Hizb sebelum Amerika berjaya memperkukuhkan cengkaman ejen-ejennya di Bangladesh, malah mungkin membawa kembali diktator Hasina ke tampuk kekuasaan. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): ”Orang kafir daripada golongan Ahli kitab, dan juga daripada orang musyrik, tidak suka sekiranya diturunkan kebaikan (atau wahyu) kepada kamu daripada Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya (atau kenabian-Nya) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.” [TMQ Al-Baqarah (2): 105]
— Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
Sumber: https://alwaie.net/dunia-islam/amerika-mengeluarkan-peringatan-tentang-kemunculan-kembali-khilafah/
#isusemasa #isuglobal #Bangladesh #TegakKhilafah #kebangkitanUmat #KetakutanBarat

