Site icon MuslimahHTM News

Hukum Nikah dengan Syarat Tidak Dimadukan (Dipoligami)

Hukum Nikah dengan Syarat Tidak Dimadukan (Dipoligami)

Oleh : Ustaz M Taufik NT

Soalan:

Adakah perkahwinan sah jika isteri meletakkan syarat agar tidak akan dimadukan (dipoligami) kelak? Jika sah, kemudian suami berpoligami, bagaimana pula hukumnya?

Jawapan:

Dalam pandangan mazhab Syafie, akad nikah tersebut sah, namun syarat tersebut rosak, dan merosakkan mahar yang telah disebutkan. Ini menyebabkan mahar wanita tersebut menjadi mahar al-mitsl, (iaitu mahar yang sepadan atau setaraf dengan mahar yang lazim diberikan kepada wanita mengikut ‘kelasnya’)

Syeikh Wahbah az-Zuhaili, di dalam Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh menyatakan:

“Adapun syarat-syarat yang rosak ialah syarat yang bertentangan dengan tuntutan akad nikah tetapi tidak merosakkan maksud asalnya, iaitu persetubuhan (jimak). Contohnya seperti syarat:
(1) (agar)suami tidak boleh berkahwin lagi (dengan wanita lain),
atau (2) suami tidak memberi nafkah kepada isteri,
atau (3) suami tidak membawa isteri bermusafir
atau (4) suami tidak mengajak isteri berpindah dari negerinya.

Hukumnya: Nikahnya sah kerana syarat tersebut tidak merosakkan tujuan utama perkahwinan, iaitu persetubuhan dan berseronok antara suami isteri. Namun, syaratnya dianggap rosak (batal) kerana bertentangan dengan tuntutan akad, sama ada ia menguntungkan isteri seperti dalam contoh pertama, ketiga dan keempat, atau merugikan isteri seperti contoh kedua. Berdasarkan hadis Nabi “Setiap syarat yang tidak ada dalam Al-Quran, maka itu batal” (hadis muttafaq ‘alaih dari Barirah). Mahar juga dianggap rosak, kerana sekiranya syarat itu menguntungkan isteri, maka isteri tidak rela dengan mahar yang telah disebutkan. Manakala jika syarat itu merugikan isteri, maka suami juga tidak rela dengan mahar tersebut melainkan setelah syarat yang diminta itu benar-benar terlaksana”. [1]

Berbeza pula hukumnya jika syarat yang diletakkan merosakkan tujuan utama perkahwinan iaitu persetubuhan (jimak). Dalam hal ini, bukan sahaja syarat itu dianggap rosak, malah akad nikah itu sendiri dianggap batal, dan tidak dikira sebagai perkahwinan yang sah.
Contohnya: Seorang wanita (Y) mahu dinikahi oleh seorang lelaki (X) dengan syarat X tidak boleh menggaulinya, atau syaratnya X hanya boleh menggauli sekali sahaja dalam setahun, atau hanya boleh bersama pada waktu malam sahaja – maka akad nikah tersebut dianggap batal.[2]

Berbeza dengan mazhab Syafie, mazhab Hanbali membolehkan syarat-syarat seperti ini, dan wajib bagi suami untuk menunaikan syarat-syarat tersebut [3]. Sementara itu, kalangan Hanafiyah membolehkan syarat-syarat ini dengan pampasan maharnya dikurangkan, dan wajib bagi suami untuk menunaikan syarat-syarat tersebut. Jika suami melanggarnya di kemudian hari, maka isteri akan mendapatkan mahar al-mitsl. Di pihak lain, mazhab Maliki memandang syarat-syarat ini sebagai syarat yang makruh.

Sebagai catatan yang hendaklah diperhatikan bagi para wanita, jika mengambil pendapat selain mazhab Syafie, kalaupun mereka mensyaratkan tidak mahu dimadukan, namun jangan sampai terdetik dalam hati kebencian terhadap syariat Islam tentang poligami ini. Ini kerana Allah SWT membuat hukum tersebut untuk memberikan solusi bagi manusia. Bayangkan apa yang dirasakan para wanita jika setiap lelaki hanya beristeri satu, sementara dia ‘tidak mempunyai’ suami, sedangkan keluarga dan rakan-rakannya sering bertanya “bila ‘jemputan’nya?”. Terbayang tidak?

Sebaliknya bagi para suami, menambah isteri itu bermakna menambah amanah, amanah yang kelak akan diminta pertanggungjawapannya di hadapan Allah SWT. Jika tidak sanggup menunaikannya, berlaku adil (dalam nafkah dan giliran bermalam), mendidik dan menjaganya, maka kelak akan menjadi penyesalan. Wallahu a’lam.

Nota kaki:

[1] Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, 9/49. Maktabah Syamilah, dengan penomboran automatik:
ب ـ وأما الشروط الفاسدة: فهي التي تخالف مقتضى عقد النكاح ولم يخل بمقصوده الأصلي: وهو الوطء، كشرط ألا يتزوج عليها، أو ألا نفقة لها أو ألا يسافر بها، أوألا ينقلها من بلدها، وحكمها: أن الزواج يصح لعدم الإخلال بمقصوده وهو الوطء أو الاستمتاع، ويفسد الشرط لأنه يخالف مقتضى العقد، سواء أكان لها كالمثال الأول والثالث والرابع، أم عليها كالمثال الثاني، لقوله صلّى الله عليه وسلم : «كل شرط ليس في كتاب الله فهو باطل» ، ويفسد المهر أيضاً؛ لأن الشرط إن كان لها، فلم ترض بالمسمى وحده، وإن كان عليها فلم يرض الزوج ببدل المسمى إلا عند سلامة ما شرطه.

[2] Tiada perubahan:
فإن أخل الشرط بمقصود الزواج الأصلي: كأن شرط ألا يطأها الزوج أصلاً، أو ألا يطأها إلا مرة واحدة مثلاً في السنة، أو شرطت المرأة ألا يطأها إلا ليلاً فقط أو إلا نهاراً فقط، أوشرط أن يطلقها ولو بعد الوطء، بطل الزواج؛ لأنه شرط ينافي مقصود العقد فأبطله.

[3] Jika akhirnya suami berpoligami, isteri mempunyai hak khiyar (pilihan): sama ada menggugurkan syaratnya dan terus menerima suaminya, atau isteri memutuskan ikatan perkahwinan.

#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#Poligami #Nikah #BaitulMuslim

Exit mobile version