Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Siapakah Kaum Muslim Itu? (Bahagian 4/4)

[Mafahim Islamiyyah] Siapakah Kaum Muslim Itu? (Bahagian 4/4)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Adakah para ulama itu tidak pernah membaca surat-surat yang telah diutuskan oleh Rasulullah SAW kepada raja-raja dan para penguasa pada zamannya? Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda dalam surat baginda yang dikirimkan kepada Heraklius, penguasa Romawi, yang berbunyi:

 

“Bismillahir rahmanirrahim, daripada Muhammad, hamba Allah dan Rasul-Nya, kepada Heraklius, penguasa Romawi. Salam sejahtera ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk. Amma ba’du. Sesungguhnya aku mengajakmu memeluk Islam. Masuklah Islam, nescaya engkau akan selamat. Islamlah, maka Allah akan memberimu ganjaran dua kali ganda. Namun, sekiranya engkau berpaling, maka engkau akan memikul dosa kaum Arisiyin.”

 

Allah SWT berfirman, Katakanlah (Wahai Muhammad), “Wahai Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani), marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain (untuk dipuja dan didewa-dewakan) selain daripada Allah’. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam (yang berserah diri sepenuhnya)’.” [TMQ Ali Imran (3): 64]

 

Jadi, dakwah dan bantahan kita terhadap mereka bukanlah bererti kita mengiktiraf agama mereka. Sebaliknya, kita wajib menjelaskan kepada mereka bahawa mereka adalah orang-orang kafir. Allah SWT memerintahkan mereka agar meninggalkan agama yang mereka anuti dan memeluk agama Islam.

Sekiranya mereka berpaling daripada seruan dakwah ini, maka kita perlu berani bersikap tegas dan terang-terangan dalam menyeru mereka. Katakanlah kepada mereka, “Kami telah menyampaikan kepada kalian agama yang Allah perintahkan kepada kami untuk menyampaikannya. Maka ketahuilah, kalian adalah orang-orang kafir, sedangkan kami adalah orang-orang Islam!”

 

Adapun firman Allah SWT yang sering dijadikan dalih oleh sebahagian mereka, iaitu firman-Nya: “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka” [TMQ Al-‘Ankabut (29): 46].

 

Mereka tidak pun berdebat dengan orang-orang kafir dengan cara yang paling baik. Adakah ada yang lebih zalim daripada mereka yang menjadi pengikut setia negara-negara kafir, iaitu mereka yang terlibat dalam Dialog Antara Agama? Bukankah golongan kafir itu telah merapatkan barisan untuk menghancurkan Islam dan umat Islam?

 

Bukankah merekalah yang telah membahagi-bahagikan negeri-negeri umat Islam kepada institusi-institusi kecil yang lemah, serta menanamkan negara haram Israel sebagai pisau beracun di tanah suci umat Islam? Bukankah mereka juga yang memberikan bantuan senjata dan kekayaan kepada Israel untuk membunuh umat Islam dan menduduki tanah-tanah mereka?

 

Bukankah mereka yang menyokong kekuasaan pemerintah di negeri-negeri umat Islam agar membunuh dan menahan umat Islam atas nama memerangi keganasan dan ekstremisme? Bukankah Paus yang hari ini berdialog dengan para ulama Islam adalah Paus yang dahulu pernah mengeluarkan fatwa pada zaman Paus Nicholas V pada akhir abad ke-13 Masihi? Fatwa itu berbunyi, “Sesungguhnya khianat adalah dosa, tetapi menepati janji dengan kaum Muslimin adalah lebih besar dosanya.”

 

Bukankah mereka juga yang menghalang setiap penzahiran syiar Islam di negeri-negeri mereka, apabila mereka melarang wanita Muslimah daripada memakai pakaian syarie seperti jilbab di sekolah-sekolah, dan memaksa wanita-wanita Muslimah menanggalkan pakaian tersebut? Maka, bagaimana mungkin para ulama umat Islam yang terlibat dalam dialog antara agama boleh membayangkan bahawa golongan kafir itu akan menerima akidah dan pemikiran Islam?

 

Sesungguhnya dialog tersebut adalah dialog yang tidak seimbang. Malah ia adalah pemaksaan golongan kuat ke atas yang lemah. Tujuannya adalah untuk membunuh sisa-sisa nafas terakhir daripada akidah Islam dalam diri orang-orang yang lemah. Ini kerana musuh lama yang berselindung di sebalik wajah baru itu telah menyedari bahawa akidah Islam beserta pemikiran-pemikiran yang terpancar daripadanya adalah rahsia kekuatan umat Islam.

 

Akidah Islam adalah pemangkin yang mampu membangkitkan umat ini daripada kelalaian mereka. Dengan itu, mereka akan kembali kepada sirahnya yang pertama, iaitu menaiki puncak kejayaan dan menduduki kedudukan negara super power di dunia. Pada saat itu, seluruh kekuatan kufur dan kaum kafir akan hancur di hadapan mereka, bersama dengan runtuhnya kepentingan-kepentingan material mereka dan ideologi kapitalisme yang telah memuaskan syahwat fizikal serta ketamakan harta mereka atas kemiskinan dan kelaparan majoriti manusia di dunia.

 

Sesungguhnya dialog antara agama itu tidak menghubungkan kekerabatan pada kefahaman Islam yang sebenar, yang telah sebati dalam jiwa majoriti umat Islam. Sesungguhnya para ulama yang terlibat dalam dialog itu, sama ada mereka yang menjadi pengikut membuta tuli atau yang menerima upah, sentiasa berusaha agar umat Islam menerima pelaksanaan dialog tersebut serta menerima segala rumusan dan pemikiran yang dihasilkan daripadanya. Tujuannya tidak lain adalah untuk menghalang kebangkitan sebenar umat Islam.

 

Oleh itu, berhati-hatilah dan waspadalah terhadap pemikiran-pemikiran buruk tersebut serta strategi licik yang dihias dengan kata-kata manis dan memikat. Hendaklah golongan yang sedar dalam kalangan umat ini sentiasa bersiap siaga untuk menolak dengan tegas segala bentuk pemikiran dan sistem tersebut. Mereka hendaklah berdiri di hadapan usaha-usaha itu dan memeranginya agar ia tidak meresap ke dalam jiwa umat Islam, terutamanya mereka yang baru mula meniti jalan kebangkitan yang hakiki.

 

Hendaklah diteliti dari manakah asal-usul pemikiran dialog antara agama ini muncul, dikaji sejarah dan pengasas-pengasasnya, agar dapat dibongkar segala matlamat dan tujuan tersembunyinya. Kemudian dijelaskan kepalsuannya kepada umat Islam, seterusnya berusaha untuk menolaknya dengan perancangan yang teratur. Ini kerana pemikiran tersebut adalah pemikiran keji yang membawa bahaya besar kepada umat Islam dan mencemari kesucian akidah Islamiah dengan kebatilan.

 

Sumber: Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #UmatIslam #KaumMuslim

 

Exit mobile version