Site icon MuslimahHTM News

Melamar Wanita yang Masih dalam Tempoh Iddah

Melamar Wanita yang Masih dalam Tempoh Iddah

Oleh: Ustaz M Taufik NT

Khitbah (lamaran/pinangan) adalah:

التماس الخاطب النكاح من جهة المخطوبة
“Permintaan seorang peminang untuk berkahwin kepada seorang perempuan yang dipinang.”[1]

Terdapat dua cara penyampaian pinangan; secara tashrîh (dengan ayat yang jelas) dan secara ta’rîdh (dengan ayat yang berkias). Pinangan yang dibuat secara tashrih ialah pinangan yang dibuat dengan menggunakan ayat-ayat yang jelas menunjukkan keinginan yang kuat untuk mengahwini wanita yang dilamar, contohnya “Saya nak kahwin dengan awak”, “Saya nak awak jadi isteri saya”, atau ayat-ayat lain yang jelas.

Manakala, pinangan yang dibuat secara berkias ialah pinangan yang dibuat dengan ayat yang tidak jelas menunjukkan keinginan yang kuat untuk berkahwin, contohnya “ramai lelaki suka kamu”, atau “jika tempoh iddah kamu tamat, sila beritahu saya”.

Hukum Melamar Wanita yang Masih dalam Tempoh Iddah

Melamar secara terang-terangan (jelas) atau berjanji untuk berkahwin dengan wanita yang masih dalam tempoh iddah adalah haram.

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ التَّصْرِيحَ بِخِطْبَةِ مُعْتَدَّةِ الْغَيْرِ أَوِ الْمُوَاعَدَةِ بِالنِّكَاحِ حَرَامٌ سَوَاءٌ أَكَانَتِ الْعِدَّةُ مِنْ طَلاَقٍ رَجْعِيٍّ أَمْ بَائِنٍ أَمْ وَفَاةٍ أَمْ فَسْخٍ أَوْ مُعْتَدَّةٍ عَنْ وَطْءِ شُبْهَةٍ
“Ahli fiqh sepakat bahawa menyatakan lamaran yang jelas kepada wanita yang sedang menjalani iddah daripada lelaki lain, atau berjanji untuk mengahwininya adalah haram, sama ada iddah yang dijalani adalah iddah thalaq raj’i, iddah thalaq bain, iddah wafat, iddah fasakh, atau iddah kerana terjadi hubungan seksual yang syubhat.”[2]

Adapun memianang secara ta’ridh (berkias), ini dijelaskan dalam Kifâyatul Akhyâr:

وَأما التَّعْرِيض فَإِن كَانَت رَجْعِيَّة حرم التَّعْرِيض لِأَنَّهَا زَوْجَة وَإِن كَانَت فِي عدَّة الْوَفَاة وَمَا فِي مَعْنَاهَا كالبائن والمفسوخ نِكَاحهَا فَلَا يحرم التَّعْرِيض
“Adapun meminang dengan berkias, maka jika perempuan itu dalam tempoh ‘iddah talak raj’i (talaq satu atau dua) maka haram hukumnya kerana status perempuan itu masih isteri orang lain, dan jika iddah itu iddah wafat atau talak bain, atau fasakh maka tidak haram meminang dengan kiasan.”[3]

Wanita yang masih dalam tempoh iddah talak raj’i masih berstatus sebagai isteri suaminya, dia tetap wajib mentaati suaminya, berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal, serta tidak boleh bermusafir tanpa izin suaminya.  Apa yang mesti dilakukan oleh seorang Muslim apabila sesebuah keluarga itu bercerai talak raj’i ialah cuba menyatukan keluarga tersebut jika masih boleh, bukannya memberi harapan untuk mengahwini salah seorang daripada mereka. Wallahu ‘alam.

[1]Muhammad al-Zuhaili, Al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafi’i, Cet. III. (Damaskus: Dâr al-Qalam, 2011), Juz 4, h. 42.
[2] Al-Mausû’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Kuwait: Wuzarât al-Awqâf wa al-Syu-ûn al-Islâmiyyah, 1427), Juz 29, h. 345–346.
[3] Abu Bakar al-Hishni, Kifâyatul Akhyâr (Damaskus: Dâr al-Khair, 1994), h. 360.

#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#Nikah #Iddah #Khitbah #FikihNikah

Exit mobile version