Perang yang Dilupakan di Sudan: Satu Malapetaka bagi Umat
“Kengerian yang sedang berlaku di Sudan tiada batasnya.” Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk
Sudan berdarah. Dan dunia hampir tidak bergeming. Kini perang memasuki tahun ketiga yang memusnahkan. Perang kejam antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dan pasukan paramiliter, Rapid Support Forces /Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang diketuai Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti), telah menjerumuskan negara itu ke dalam kekacauan dan mencetuskan salah satu bencana kemanusiaan yang mengerikan pada zaman kita. Namun, di sbealik skala kemusnahan dan penderitaan yang berlaku, perang Sudan diabaikan, dilupakan dan dibisukan oleh sikap acuh tak acuh dunia.
Perebutan kuasa ini telah meragut nyawa dianggarkan 150,000 orang awam sejak April 2023—walaupun kumpulan bantuan percaya angka sebenar jauh lebih tinggi. Mereka bukanlah tentera di medan perang, tetapi wanita, kanak-kanak, dan orang tua, dibunuh tanpa belas kasihan di rumah, masjid, pasar, dan kem penempatan sementara (Sumber: BBC).
Pembunuhan beramai-ramai di Al-Nahud, di mana lebih 300 orang awam—termasuk 21 kanak-kanak—dibunuh oleh pejuang RSF, hanyalah salah satu daripada begitu banyak kekejaman. Seluruh bandar dibakar hangus. Kubur besar digali dengan tergesa-gesa. Seluruh keluarga lenyap tanpa jejak.
Apa yang berlaku di Sudan bukan sekadar peperangan. Ia adalah pemusnahan sistematik. Wanita dan kanak-kanak perempuan, seperti biasa dalam peperangan, adalah antara mangsa paling teruk yang dilanggar hak-hak mereka. Kedua-dua belah pihak menggunakan keganasan seksual sebagai alat mencetuskan ketakutan dan penguasaan. Kanak-kanak perempuan seawal usia 9 tahun telah diculik, dirogol beramai-ramai, dan dipulangkan (jika mereka dipulangkan) dalam keadaan hancur secara fizikal. Mangsa yang terselamat menceritakan tentang jenayah pemerkosaan yang dilakukan di khalayak ramai untuk menghina masyarakat dan serangan seksual besar-besaran turut berlaku di kem pelarian.
Petugas perubatan melaporkan mereka merawat mangsa tanpa akses kepada sokongan psikologi atau keadilan. Ramai yang terus berdiam diri kerana bimbang akan aib atau pembalasan dendam (Sumber: Human Rights Watch, OHCHR).
Lebih 14 juta orang telah dipindahkan. Hal ini menjadikan ia sebagai krisis perpindahan terbesar secara global. Lebih separuh daripada 50 juta rakyat Sudan berdepan kebuluran. Menurut Program Makanan Sedunia, kebuluran telah melanda sekurang-kurangnya 10 wilayah, termasuk kem Zamzam yang menjadi rumah kepada 400,000 orang pelarian (Sumber: WFP).
Makanan dan air sangat terhad. Bukan disebabkan bencana alam, tetapi disengajakan. Kedua-dua pihak telah menjadikan kelaparan sebagai senjata dengan menyekat bantuan kemanusiaan, merampas bekalan, dan menghalang akses kepada keperluan asas. Kelaparan digunakan untuk menghukum seluruh populasi.
Di kem pelarian, kanak-kanak memakan daun. Ibu-ibu berlapar berhari-hari untuk memberi makan bayi mereka. Penyakit bawaan air, malaria, dan kolera merebak pantas. Sistem kesihatan telah runtuh. UNICEF menggambarkan keadaan ini sebagai krisis berganda yang memusnahkan setiap aspek kehidupan—kesihatan, sanitasi, pendidikan, dan keselamatan (Sumber: WHO).
Puluhan laporan telah muncul tentang tahanan politik yang diseksa, orang awam yang diculik, dan kanak-kanak direkrut secara paksa untuk menyertai peperangan. Pekerja kemanusiaan turut menjadi sasaran—dibunuh, diculik, atau dinafikan akses untuk memberikan bantukan kepada yang memerlukan. Hospital telah ditawan dan dijadikan medan tempur. Sekolah dibom. Tiada lagi ruang yang selamat (Sumber: OHCHR).
Namun media hampir tiada yang membisikkan nama Sudan. Perang ini digambarkan sebagai perang yang tidak kelihatan, dilupakan, atau diabaikan terus daripada tajuk utama. Tidak seperti Ukraine atau Gaza, tiada sokongan selebriti, tiada protes besar-besaran, tiada desakan politik.
Kesunyian Sudan bukanlah kebetulan. Kekayaannya dalam emas, minyak, uranium, dan tanah subur menjadikannya “hadiah“ geostrategik. Kuasa-kuasa seperti UAE, Arab Saudi, Mesir, AS, UK, dan Rusia semuanya mempunyai kepentingan dalam nasib Sudan. Negara ini telah menjadi papan catur untuk kepentingan asing.
Perang di Sudan bukanlah kebetulan dalam sejarah. Ia adalah warisan kolonialisme, sempadan yang memecah-belah, dan pemerintahan diktator sekular yang disokong kuasa asing. Sudan, seperti banyak negara di dunia Islam, telah diukir dan dikuasai oleh kuasa imperialis. Ia dinafikan kemerdekaan sebenar, kepimpinannya korup, dan rakyatnya bertelagah sesama sendiri.
Penyelesaian demokrasi yang dipromosikan oleh Barat adalah sebahagian daripada masalah ini. Sistem ini yang direka untuk berkhidmat kepada elit, telah gagal di Sudan, sebagaimana ia telah gagal di Iraq, Libya, dan Afghanistan.
Hanya ada satu jalan yang menawarkan penyelesaian sebenar dan berkekalan untuk Sudan dan umat yang lebih luas. Jalan itu ialah penegakan Khilafah mengikut kaedah Kenabian.
Khilafah akan menyatukan umat Islam merentasi garis etnik dan puak, menghapuskan pengaruh asing, mengagihkan sumber dengan adil, menegakkan akauntabiliti, dan menjamin maruah serta keselamatan untuk semua. Sejarah mengingat bagaimana pemerintahan Khilafah di bawah Umar ibn Abdul Aziz menghapuskan kemiskinan di Afrika Utara sehingga tiada seorang pun yang layak menerima zakat.
Rasulullah SAW bersabda: عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:«مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى».
An-Nu’mān bin Basyīr -raḍiyallāhu ‘anhu- meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda,”Perumpamaan orang-orang mukmin dalam perilaku saling mencintai, kasih sayang, dan tolong-menolong di antara mereka seperti satu tubuh. Jika ada satu bahagian tubuh mengalami sakit, maka sekujur tubuh ikut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan merasakan demam.” (Muttafaq ‘alaihi)
Umat kita di Sudan sedang menderita. Dunia mungkin tidak peduli, tetapi kita mesti peduli.
Bahagian Muslimah di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir menyeru semua umat Islam untuk meningkatkan kesedaran, menolak penyelesaian palsu, dan menyeru penegakan segera Negara Khilafah mengikut kaedah Kenabian.
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اسْتَجِيبُواْ لِلّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُم لِمَا يُحْيِيكُمْ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna;” [Surah Al-Anfal: 24]
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Yasmin Malik
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir

