Istimewanya Hubungan Ibu dan Anak Lelaki
Penulis: Najmah Saiidah
Islam, sebagai ad-din yang lengkap dan sempurna, telah menempatkan sosok seorang ibu pada kedudukan yang sangat tinggi dan tidak kurang penting daripada peranan lelaki atau bapa. Ibu memainkan peranan yang strategik dan penting sebagai “arkitek” generasi pemimpin masa hadapan. Ibu juga berperanan dalam membentuk corak sesebuah generasi yang akan menentukan kehidupan umat Islam pada masa akan datang. Maka tidak hairanlah Islam memberikan perhatian besar terhadap kedudukan dan peranan seorang ibu.
Perhatian Islam terhadap Ibu
Islam menempatkan wanita pada kedudukan yang sangat mulia, salah satunya dengan melihat peranannya sebagai seorang ibu. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah RA berkata, “Pada suatu ketika, ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti terlebih dahulu?’ Rasulullah menjawab, ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab, ‘Ibumu.’ Dia bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab, ‘Ibumu.’ Sekali lagi lelaki itu bertanya, ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab, ‘Bapamu.’” [HR al-Bukhari].
Hadis tersebut menunjukkan betapa tingginya kedudukan seorang ibu yang diangkat oleh Allah dalam Islam. Malah terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu.
Mu‘awiyah bin Jahimah datang menemui Rasulullah SAW, lalu berkata, “Wahai Rasulullah, aku ingin menyertai peperangan, dan aku datang untuk meminta pandanganmu.” Rasulullah SAW bersabda, “Adakah ibumu masih ada?” Mu‘awiyah menjawab, “Ya, benar.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Tinggallah bersamanya, kerana sesungguhnya syurga itu terletak di bawah kedua tapak kakinya.” [HR Ibnu Majah, an-Nasa’i, Ahmad, ath-Thabrani dalam kitab Al-Mu‘jam al-Kabir dengan sanad hasan, dan disahihkan oleh Imam al-Hakim].
Hadis-hadis ini menunjukkan satu realiti bahawa kedudukan seorang ibu amatlah penting dalam kelangsungan hidup di dunia.
Ibu merupakan insan yang sinonim dengan kasih sayang, kedamaian, pengorbanan, dan pengabdian yang tulus tanpa mengharapkan balasan. Maka tidak hairanlah jika seorang ibu mencurahkan sepenuh perhatian kepada anak-anaknya, apatah lagi Islam meletakkan tanggungjawab utama pengasuhan anak di bahu seorang ibu. Hal ini menjadikan anak-anak sangat dekat dengan ibu mereka.
Istimewanya seorang anak lelaki yang dekat dengan ibunya sejak di dalam buaian, ikatan yang kuat ini apabila diterapkan dengan nilai-nilai Islam yang benar, dapat mencegah mereka daripada sikap nakal apabila meningkat dewasa dan memberikan kebaikan untuk kesihatan mental mereka. Mengapa begitu? Kerana kedekatan emosi anak lelaki dengan ibunya akan menjalinkan keakraban sehingga mereka lebih terbuka dari segi emosional terhadap ibunya.
Hubungan yang akrab antara anak lelaki dan ibunya turut membantu anak itu lebih mudah berkawan, menyingkirkan rasa kesepian, kemurungan dan kebimbangan. Maka jelaslah bahawa hubungan seorang ibu dengan anak lelakinya merupakan satu ikatan yang sangat istimewa.
Istimewa Hunbungan Ibu dan Anak Lelaki
Ada satu pepatah yang menyatakan bahawa anak perempuan adalah milik bapanya, manakala anak lelaki adalah milik ibunya. Jika kita meneliti nas-nas, banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang istimewanya hubungan ayah dan anak perempuannya, begitu juga hubungan ibu dengan anak lelakinya.
Tujuannya sudah tentu bukan untuk membezakan antara mereka, kerana dalam pandangan Islam, anak lelaki dan anak perempuan secara umum tidak berbeza. Namun begitu, terdapat perbezaan karakter anak lelaki dan anak perempuan. Justeru itu, memang ada beberapa hukum yang berbeza, disebabkan oleh perbezaan fungsi dan peranan lelaki dan perempuan dalam kerangka hukum syarak.
Dalam kesempatan ini, kita akan mentadabbur nas-nas syarak yang berkaitan dengan keistimewaan hubungan antara seorang ibu dengan anak lelakinya, antaranya ialah:
- Anak lelaki diperintahkan untuk berbuat baik kepada ibu.
Perintah untuk berbuat baik dan menjaga kedua-dua ibu bapa telah dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran. Seorang anak wajib menjaga ibu bapa yang telah lanjut usia. Layanlah mereka dengan baik, kasihi mereka, dan sediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka. Terutamanya ibu, dialah yang telah mengandungkan, melahirkan, menyusukan, seterusnya membesarkan dan mendidik kita.
Allah SWT telah memerintahkan kita semua, lebih-lebih lagi anak lelaki agar berbakti kepada ibunya yang telah bersusah payah menjaga dan merawatnya. Sebagaimana firman Allah SWT
وَوَصَّيْنَا الْاِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِۚ حَمَلَتْهُ اُمُّهٗ وَهْنًا عَلٰى وَهْنٍ وَّفِصَالُهٗ فِيْ عَامَيْنِ اَنِ اشْكُرْ لِيْ وَلِوَالِدَيْكَۗ اِلَيَّ الْمَصِيْرُ
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” [TMQ Luqman (31):14]
- Anak lelaki yang telah dewasa bertanggung jawab terhadap ibunya setelah ayahnya meninggal
Seorang lelaki yang telah berkeluarga, maka diwajibkan ke atasnya untuk menafkahi isteri dan anak-anaknya. Begitu juga terhadap ibunya sekiranya bapanya telah meninggal dunia atau tidak mampu lagi kerana telah lanjut usia. Apabila keperluan isteri telah dipenuhi, maka suami hendaklah memenuhi keperluan ibunya dan dia tidak boleh mengabaikan ibunya. Allah SWT berfirman,
وَعَلَى الْمَوْلُوْدِ لَهٗ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِۗ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ اِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَاۤرَّ وَالِدَةٌ ۢبِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُوْدٌ لَّهٗ بِوَلَدِهٖ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذٰلِكَ ۚ
“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya) [TMQ Al-Baqarah (2):233]
Antara bentuk tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap ibunya ialah menemani ibunya apabila beliau perlu keluar rumah, lebih-lebih lagi jika hendak melakukan perjalanan jauh (safar) melebihi 24 jam. Semua ini dilakukan oleh seorang anak lelaki untuk melindungi ibunya dari pelbagai perkara yang membahayakan ibunya dan kerana syariat Islam sendiri menuntut yang demikian.
- Anak lelaki adalah milik ibunya, meskipun sudah berkahwin.
Seorang lelaki yang telah berkahwin kadangkala mengabaikan atau tanpa sengaja melupakan ibunya kerana telah mempunyai keluarga sendiri. Sedangkan seorang lelaki tetap merupakan milik ibunya, sekalipun setelah dia berkahwin.
Sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW “Siapakah yang paling berhak terhadap seorang wanita?” Rasulullah SAW menjawab, “Suaminya (apabila telah berkahwin).” Aisyah bertanya lagi, “Siapakah yang paling berhak terhadap seorang lelaki?” Rasulullah SAW menjawab, “Ibunya.” [HR Muslim]
Ini bermaksud bahawa bagi seorang lelaki, setelah berkahwin sekalipun, dia tetap memiliki kewajipan untuk berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, terutamanya ibunya. Dia tetap wajib untuk sentiasa memuliakan, mentaati, dan mendengar kata-kata yang disampaikan oleh insan yang telah melahirkannya, serta memikul tanggungjawab terhadap ibunya.
Namun begitu, bagi seorang perempuan, kewajipan utamanya berubah. Jika sebelum berkahwin, dia wajib berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, maka selepas berkahwin, kewajipan utamanya adalah berbakti dan taat kepada suaminya.
Dalam hal ini, kedua-duanya perlu saling memahami. Seorang suami tidak boleh berlaku zalim atau bersikap semena-mena terhadap isterinya. Manakala isteri pula hendaklah tetap ikhlas serta sentiasa mendorong suaminya agar berbakti kepada kedua ibu bapanya, terutamanya kepada ibunya.
Dalam sebuah hadis yang lain turut ditekankan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Orang yang paling berhak terhadap seorang wanita adalah suaminya, dan orang yang paling berhak terhadap seorang lelaki adalah ibunya.” [HR at-Tirmizi]
Daripada Abdullah bin Amru RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan kedua ibu bapa.”
- Doa ikhlas ibu untuk anak lelakinya akan mustajab.
Beberapa hadis Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita bahawa antara doa yang mustajab ialah doa yang diucapkan oleh ibu bapa terhadap anaknya, sama ada doa kebaikan mahupun doa keburukan. Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda,
ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ لاَ تُرَدُّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ ، وَدَعْوَةُ الصَّائِمِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ
“Tiga doa yang tidak akan ditolak iaitu doa ibu bapa kepada anaknya, doa orang yang berpuasa, dan doa seorang musafir.” [HR Al-Baihaqi dalam Sunan al- Kubra]
Juga dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda
ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ لاَ شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ
“Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang berpergian (safar), dan doa baik dari ibu bapa kepada anaknya.” [HR Ibnu Majah, Abu Daud]
Beberapa orang ulama telah menyatakan pendapat mereka berkenaan hadis-hadis yang menunjukkan bahawa doa ibu bapa terhadap anaknya adalah mustajab. Sama ada doa seorang ayah mahupun seorang ibu. Namun demikian, doa seorang ibu adalah lebih mustajab.
Al-Munawi rahimahullah menjelaskan, “Doa ibu bapa kepada anaknya dimakbulkan kerana kasih sayang yang tulus daripada ibu bapa kepada anaknya, dan mereka banyak mendahulukan anaknya daripada dirinya sendiri. Sehingga setiap doa yang disertai dengan rasa kasih sayang yang tulus, mengakibatkan dikabulkan doanya. Dalam hadis ini tidak disebutkan lafaz ‘al walidah’ (ibu), padahal ibu lebih ditekankan lagi haknya dan lebih besar kemungkinan dikabulkan doanya daripada ayah, ini kerana keutamaan ibu sudah maklum (diketahui semua orang).” [Faidhul Qadir, 3/301].
Demikianlah betapa istimewanya hubungan antara seorang ibu dengan anak lelakinya. Telah kita fahami bahawa seorang anak lelaki kelak akan mengambil alih peranan seorang bapa dalam sesebuah keluarga apabila bapanya telah meninggal dunia atau uzur dimamah usia. Oleh itu, dia memikul tanggungjawab penuh terhadap ibunya, berbakti kepadanya, menjaga kebajikannya, dan menemani ibunya apabila diperlukan sebagai mahram.
Lebih istimewa lagi, terdapat hadis yang menjelaskan bahawa seorang anak lelaki, meskipun telah berkahwin, tetap dianggap sebagai “milik” ibunya.
Wallahu a‘lam bissawab.

