Istimewanya Hubungan Ayah dan Anak Perempuannya
Penulis: Najmah Saiidah
Anak adalah anugerah terindah yang dimiliki oleh ibu bapa. Ibu bapa pasti akan melakukan dan memperjuangkan pelbagai cara untuk membesarkan anak-anaknya dengan baik. Tidak terkecuali dengan anak perempuan.
Memiliki anak lelaki mahupun perempuan sebenarnya sama-sama membahagiakan. Kedua-duanya juga memiliki keutamaan masing-masing dalam pengasuhannya yang tidak boleh diabaikan. Kewajipan ibu bapa adalah mendidik dan membimbingnya agar mereka menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa, emosinya terkawal, keperibadiannya kuat dan Islami, berakhlak mulia, dan mampu menyelesaikan masalah hidupnya dengan baik.
Jika pada masa jahiliah dahulu, kelahiran anak perempuan menjadi aib bagi sebuah keluarga sehingga mesti menguburkan mereka hidup-hidup. Setelah Islam datang, Islam sangat memuliakan anak-anak perempuan dengan turunnya beberapa ayat yang melarang seorang ayah membunuh anak perempuan yang dilahirkan. Kelihatan jelas dan tegas bahawa Islam memerintahkan kepada kita untuk memuliakan anak perempuan, sebagaimana anak lelaki.
Pada masa sekarang, tidak kita mungkiri jika kedudukan ayah terhadap anaknya lebih kepada sebagai seorang yang memberikan nafkah kepada anak-anaknya dan jarang sekali diletakkan sebagai pendidik atau orang yang mengurusi anaknya, kerana kerap tugas membesarkan anak diserahkan kepada ibu. Dengan demikian, tidak sedikit anak-anak yang kurang dekat dengan ayahnya, lebih-lebih lagi anak perempuan. Walhal, ayah juga memiliki peranan yang penting dalam kehidupan anak-anak mereka.
Terkait hubungannya dengan anak perempuan, maka ada beberapa hal istimewa yang dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW Sebagai Contoh Terbaik Bagaimana Sikap Seorang Ayah Terhadap Anak Perempuannya
Rasulullah SAW sangat rapat dengan anak-anaknya, lebih-lebih lagi Fatimah, anak perempuan bongsunya. Demikian juga sebaliknya, Fatimah sangat dekat dengan ayahnya. Nabi SAW memiliki tempat khusus di hatinya untuk Fatimah. Wajar jika ada yang mengatakan tidak ada hubungan ayah-anak yang lebih kuat daripada hubungan Nabi Muhammad SAW dan Fatimah RA. Hal inilah yang mesti kita teladani.
Ketika Nabi SAW berada di rumah atau di khalayak ramai, dan puterinya ini menghampiri atau memasuki ruangannya, Nabi SAW segera berdiri menyambut dan memperlihatkan secara terbuka kelembutan terhadapnya. Baik orang Madinah mahupun orang Mekah terkejut melihat perilaku Nabi SAW terhadap anak perempuannya kerana dalam kebiasaan mereka tidak mendapatkan perlakuan seperti itu. Nabi Muhammad SAW biasa mencium puterinya, lalu meletakkannya di sisinya, tanpa mempedulikan teguran orang lain.
Peranan seorang ayah yang bertanggung jawab terhadap anak perempuannya turut dicontohkan secara langsung oleh Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis dijelaskan, dari Miswar bin Makhramah berkata, “Ali bin Abi Thalib pernah berniat meminang puteri Abu Jahal, lalu Fatimah mendengar khabar tersebut. Lalu dia menyampaikan khabar tersebut kepada ayahnya. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Orang-orang mengira bahawa engkau tidak akan marah demi puteri-puterimu disebabkan Ali hendak menikahi puteri Abu Jahal.”
Mendengar pengaduan dari puterinya tersebut, baginda berdiri lalu bersabda, “Amma ba’du, aku telah menikahkan Abul Ash bin Rabi’, dia mengatakan sesuatu kepadaku dan dia memenuhi apa yang dia katakan kepadaku. Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian dariku, dan aku tidak suka seseorang menyakitinya. Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah SAW dengan puteri musuh Allah di bawah naungan seorang lelaki.” Lalu Ali bin Abi Thalib membatalkan pinangan tersebut. [HR Bukhari dan Muslim]
Demikianlah, betapa dekatnya hubungan Nabi Muhammad SAW dengan anak perempuannya, Fatimah. Beliau sangat menyayanginya dan bertanggung jawab terhadapnya.
Hubungan Ayah dan Anak Perempuannya dalam Pandangan Islam, Sangat Istimewa
Tidak sedikit hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang istimewanya hubungan ayah dan anak perempuannya. Hal yang telah kita fahami bersama bahawa seorang ayahlah yang akan menjadi wali nikah bagi anak perempuannya. Akan tetapi, tidak hanya itu sahaja, seorang anak perempuan akan menjadi penghalang ayahnya dari api neraka. Sebaliknya, jika seorang ayah tidak peduli terhadapnya dan membiarkannya tidak menutup aurat, contohnya, maka hal ini akan membawa kepada diharamkannya syurga bagi sang ayah. Ini semua dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, mari kita tadabur bersama.
- Ayah adalah orang yang menikahkan anak perempuannya.
Memilihkan suami yang soleh bagi anak perempuannya, sesungguhnya merupakan puncak dari tugas seorang ayah terhadap anak gadisnya yang berada dalam perwaliannya. Dalam hal ini ibu bapa atau wali haruslah berhati-hati dalam memilihkan jodoh untuk anaknya kerana suami yang akan mendampingi anaknya adalah orang yang akan diamanahkan untuk menjaga dan membimbing anaknya menjadi perempuan solehah dan menghantarkannya ke syurga.
Terdapat hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan peranan ayah ini, di mana Rasulullah SAW bersabda, “Dia yang menjaga tiga anak perempuan (atau dua juga), kemudian dia mendidik dan menikahkan mereka, dan berbuat baik dengan mereka, maka dia akan mendapatkan syurga.”[HR Abu Daud]
“Apabila ada yang meminang anak gadismu, dan kamu senang pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah. Jika kamu tidak melakukannya, sama dengan kamu jadi fitnah di muka bumi dan menimbulkan kerosakan yang luas.” [At-Tirmidzi dari Abu Hurairah]
- Anak perempuan menjadi penghalang ayahnya dari api neraka.
Dalam mendidik seorang anak perempuan, terdapat pahala besar yang akan menanti, bersabar terhadap sikap mereka pun akan mendatangkan pahala yang besar. Betapa penting dan besar peranan ibu bapa dalam mendidik mereka. Dari Anas RA, Nabi SAW bersabda, “Barang siapa yang mengasuh dua orang anak perempuan hingga kedua-duanya baligh, maka dia akan datang pada hari kiamat, aku dan dia seperti ini (beliau menyatukan dua jarinya).” [HR Muslim]
من ابْتُلِي من هذهِ البناتِ بشيٍء كُنَّ لهُ سِترًا من النار
“Barang siapa yang diuji dengan sesuatu dari anak-anak perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, nescaya mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka. ” [HR Bukhari dan Muslim]
Dari Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa memiliki tiga anak perempuan, dia mengasuh mereka (dalam rumahnya), mencukupi mereka, dan menyayangi mereka, maka tentu telah wajib baginya syurga.” Maka ada salah seorang dari satu kaum berkata, “Kalau dua anak perempuan ya Rasulullah?”. Nabi SAW berkata, “Dua anak perempuan juga.”[HR Ahmad].
Dalam riwayat lain ada tambahan, “Sehingga kami menyangka kalau ada orang yang berkata, ‘Kalau seorang anak perempuan?’” Nabi menjawab, “Seorang anak perempuan juga.”
Dari Uqbah bin Amir dari Nabi SAW bersabda, “Barang siapa memiliki tiga orang anak perempuan, lalu dia bersabar terhadap mereka, dia memberi mereka makan , dia beri minum kepada mereka dan beri pakaian kepada mereka dari kecukupannya, nescaya mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka pada hari kiamat.” [HR Ibnu Majah]
- Diharamkannya syurga, jika ayah tidak peduli terhadap anak perempuannya.
Seorang ayah akan diharamkan syurga baginya jika dia membiarkan anak-anaknya terjerumus ke dalam pergaulan yang tidak baik, membiarkan anak-anaknya berzina, tidak menutup aurat, minum-minuman keras, dan pelbagai perilaku maksiat lain.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Terdapat tiga orang yang Allah haramkan masuk syurga iaitu peminum khamar tegar, orang yang derhaka kepada ibu bapa, dan dayus (orang yang tidak memiliki sifat cemburu yang menyetujui perkara keji pada keluarganya).” [HR Ahmad]
Dayus merupakan minimanya perasaan cemburu seorang suami atau ayah terhadap isteri dan anaknya. Ini merupakan perasaan suami yang tidak peduli dan tidak membawa isteri dan anak-anaknya ke jalan yang benar saat kedua-duanya melakukan dosa.
Walhal, tugas seorang ayah dan suami adalah memandu, membimbing, dan bertanggungjawab terhadap isteri dan anaknya agar selalu di jalan yang benar iaitu jalan yang Allah redhai.
Seorang ayah wajib memerintahkan anak perempuannya untuk menutup aurat. Berdosalah seorang ayah ketika tidak merasa cemburu atau rela menyetujui anak perempuannya tidak menutup aurat. Inilah alasan seorang ayah tidak menanggung dosa anak perempuannya, tetapi berdosa kerana membiarkan anak perempuannya tidak menutup aurat atau melakukan pelanggaran hukum Allah yang lain.
Di sinilah perlunya sentuhan spiritual, emosi, dan juga fizikal dengan seorang ayah. Bukankah seorang ayah idealnya selalu rapat dengan anak sehingga anak merasa aman, harmoni, dan boleh berinteraksi serta terjalin komunikasi yang harmoni, lebih-lebih lagi terhadap anak perempuannya. Seorang anak gadis akan terarah kehidupan akhirat dan dunianya ketika ayahnya selalu berada di hatinya. Ayah adalah susuk teladan anak dan keluarga sehingga dengan keadaan ini pendidikan Islam akan berjalan seiring dan mampu memperkasakan anak sehingga meminimumkan pelbagai masalah yang dihadapi remaja.
Ayah perlu mengait jaring cinta agar hubungannya senantiasa mesra dengan anak perempuannya, seperti membangun dialog-dialog positif dengan anak, memberi kepercayaan, cinta, dan memberikan kebebasan yang bertanggung jawab. Seorang ayah mesti menyedari bahawa keberadaannya sangat diperlukan oleh anak-anaknya, terutama anak perempuannya. Ada khabar gembira untuknya tentang anak perempuan.
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa mempunyai tiga orang anak perempuan atau tiga saudara perempuan, dua orang anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia memperlakukan mereka dengan baik dan bertakwa kepada Allah SWT dalam mengasuh mereka, maka baginya syurga. “ [HR At-Tirmidzi, Abu Daud, dan Ibnu Majah]. Wallahu’alam bissawab.
#Ayah #Anak #AnakPerempuan
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

