Buli: Sayangkan Anak, Tangan-tangankan.
Oleh: Syamsiyah Jamil
‘Sayangkan anak, tangan-tangankan’ adalah sebuah peribahasa Melayu yang sudah lama tidak kedengaran. Mungkin sudah tidak relevan lagi dengan generasi anak-anak hari ini yang sering dilabelkan sebagai generasi strawberi.
Generasi anak-anak hari ini sudah biasa dimanjakan. Ibu bapa yang berjuang bekerja sehari-hari sudah biasa menghabiskan wang ringgit untuk memenuhi kehendak anak-anak. Beli jiwa anak, kata mereka. Tidak mahu anak merasa susah seperti mereka sewaktu kecil, kata mereka. Maka, menegur atau menghukum anak atas kesalahan yang mereka lakukan sudah dianggap tidak relevan.
Ibu bapa sudah biasa dengan pemikiran bahawa anak-anak tidak boleh ditegur, takut nanti mereka memberontak. Ibu bapa sudah biasa tidak menghukum, takut anak lari dari rumah pula. Teguran, nasihat dan hukuman sudah menjadi luar biasa. Tidak hairanlah kes buli tidak pernah reda.
Bila anak membuli kawannya, ia dianggap biasa. Alasannya, kawan-kawan bergurau sahaja. Bila anak membuli adik beradiknya, ia dianggap biasa. Alasannya, biasalah adik beradik bergaduh. Bila dibiarkan terbiasa, anak tidak menganggap buli itu sebagai satu kesalahan atau jenayah malah satu dosa.
“Tangan-tangankan” di sini bukanlah bermaksud untuk menggalakkan cara mendidik anak dengan kekerasan. Tetapi ia sebenarnya menunjukkan kewajipan ibu bapa untuk mendidik anak-anak iaitu memimpin mereka kepada kebaikan dengan cara menanam nilai-nilai agama dan membentuk sahsiah yang mulia pada diri mereka.
Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail mengatakan bahawa menegur anak adalah bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kesalahan yang mereka lakukan dan mendidik mereka untuk membezakan apa yang baik dan apa yang salah.
Dalam kes kematian Adik Zara Qairina yang dipercayai ada kaitan dengan kes buli, perbuatan ibu bapa yang menyembunyikan anak mereka yang telah membuli arwah adalah sangat tidak wajar. Dalam kes lain, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang terkenal dengan prinsip ‘You Touch, You Go’ pula mendedahkan bahawa ada ibu bapa yang anak-anaknya dibuang MRSM kerana kes buli mahu menyaman beliau dan MARA. Sikap ibu bapa begini sungguh memalukan!
Wahai ibu bapa,
Sayangkan anak jangan sampai menutup kesalahan anak di sisi-sisi undang-undang. Itu bukan sayang, itu membinasakan. Sayangkan anak jangan sampai menghapuskan bukti kesalahan. Itu bukan sayang, itu komplotan.
Sayangkan anak jangan sampai melarikan diri daripada hukuman. Itu bukan sayang, itu tanda kurang didikan. Sayangkan anak jangan sampai mencari kambing hitam. Itu bukan sayang, itu pengkhianatan.
Sayangkan anak jangan sampai menyembunyikan kebenaran. Itu bukan sayang, itu menafikan keadilan. Keadilan bukan tentang melindungi siapa yang kita sayang. Keadilan adalah mempertahankan hak sesuai dengan hukum daripada Tuhan.
Hal ini sangat dekat dengan firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6,
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.
Ayat Allah SWT ini menyampaikan peringatan yang keras kepada ibu bapa agar melindungi keluarga daripada seksaan api neraka yang sangat pedih dengan sentiasa taat dan patuh pada perintah dan larangan Allah SWT.
Maka, ibu bapa yang benar-benar sayangkan anak wajib mendidik anak bahawa buli itu satu perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dan patut dijauhi. Jika anak melakukannya, ibu bapa wajib menegur dan merelakan anak dihukum dengan sewajarnya.
Ingatlah, manusia boleh terlepas daripada hukuman di dunia yang dipimpin oleh sistem sekular-demokrasi yang tidak adil hari ini. Tetapi, manusia tidak akan terlepas daripada keadilan di mahkamah Allah SWT di akhirat nanti.
Rujukan:

