Kemerdekaan Sejati
Oleh: Nabila Zidane
Islam mengajarkan bahawa penjajahan, sama ada berbentuk fizikal mahupun bukan fizikal, adalah bentuk isti’bad iaitu perhambaan manusia terhadap manusia.
Sepatutnya manusia hanya boleh patuh dan tunduk kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah Aku…”
Imam al-Tabari menjelaskan ayat ini sebagai seruan untuk memurnikan ibadah hanya kepada Allah serta menolak segala bentuk perhambaan kepada selain-Nya. Apabila tauhid dijadikan pusat kehidupan, manusia akan bebas daripada sistem dan ideologi yang zalim.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tali iman yang paling kuat adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.” (HR Ahmad)
Hadis ini menegaskan bahawa kemerdekaan hakiki lahir daripada kesetiaan penuh kepada Allah, bukan kepada ideologi kapitalis atau kekuatan global.
Sejarah mencatat kata-kata sahabat Rub’i bin Amir di hadapan panglima Parsi, Rustum: “Allah mengutus kami untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah, daripada sempitnya dunia kepada keluasannya, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
Maka dapat difahami bahawa kemerdekaan hakiki adalah tunduk sepenuhnya kepada Allah, keluar daripada kegelapan menuju cahaya, sebagaimana firman-Nya: “…supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.…” [TMQ Ibrahim (14): 1]
Mujtahid Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, pendiri Hizbut-Tahrir, menghidupkan semangat ini dalam karya-karyanya seperti Nizamul Islam dan Muqaddimah ad-Dustur. Beliau menegaskan bahawa kemerdekaan hakiki hanya dapat terwujud dengan penerapan syariat Islam secara kaffah dalam bingkai Daulah Khilafah. Sistem ini bukanlah nostalgia masa lalu, tetapi jawapan terhadap keterpurukan umat akibat dominasi kapitalisme dan sekularisme.
Oleh itu, kemerdekaan hakiki menuntut keberanian untuk:
Pertama, mengembalikan hukum Allah sebagai dasar negara.
Kedua, mengurus kekayaan alam untuk kepentingan rakyat, bukan oligarki.
Ketiga, membebaskan dasar negara daripada tekanan asing.
Keempat, membina generasi muda bertauhid melalui pendidikan Islam.
Kelima, menerapkan sistem sosial, politik dan ekonomi yang selaras dengan syariat.
Namun, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menegaskan: “Tidak mungkin umat ini bangkit kecuali dengan ideologi Islam yang diterapkan secara keseluruhan.”
Tanpa hal itu, setiap perayaan kemerdekaan hanya akan menjadi ritual perayaan tanpa makna yang substantif.
Sebagai penulis, keresahan ini adalah satu panggilan untuk bertafakur, adakah kita benar-benar merdeka, atau sekadar berganti bentuk penjajahan, daripada penjajahan Belanda kepada penjajahan pemodal?
#Merdeka #KemerdekaanHakiki #MerdekaDenganIslam

