[Soal Jawab] Hukum Mendoakan non-Muslim yang Meninggal Dunia
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Bolehkah orang Islam mendoakan non-Muslim yang meninggal dunia? Contohnya,bekas presiden Indonesia, Jokowi yang telah mendoakan Pope Francis yang meninggal dunia.
Jawapan:
Haram hukumnya orang Islam mendoakan non-Muslim yang meninggal dunia berdasarkan nas-nas syariah yang qath’i, dalam masalah ini para fuqaha` tidak ada perbezaan pendapat (khilāfiyah) sama sekali. Pendapat sebahagian pihak yang membolehkannya, dapat dianggap sebagai ijtihad yang tidak sah, mengikut kaedah fiqih:
لَا مَسَاغَ لِلْإِجْتِهَادِ فِي مَوْرِدِ النَّصِّ
Lā masāgha li al-ijtihādi fī mawrid al-nas. Ertinya, tidak ada ruang untuk ijtihad ketika sudah terdapat nas. (Muhammad Shidqi Al-Burnu, Mausū’ah al-Qawā’id al-Fiqhiyyah, Juz VIII, hlm. 913).
Yang dimaksudkan dengan nas qath’i, adalah nas yang qath’i tsubūt dan qath’i dalālah. Qath’i tsubūt, maksudnya nas itu (Al-Quran atau Al-Hadis), sudah pasti berasal dari Rasulullah SAW, iaitu berupa nas Al-Quran dan nas hadis mutawatir (bukan hadis ahād). Sedangkan qath’i dalālah, ertinya adalah nas itu (Al-Quran atau hadis mutawatir), hanya mempunyai makna tunggal yang tegas, bukan nas yang zhanni dalālah, iaitu nas yang mempunyai makna lebih daripada satu. (‘Abdul Qadīm Zallūm, Nizhām Al-Hukm fī Al-Islām, hlm. 260-261).
Adapun nas yang qath’i yang dimaksudkan, antara lain ialah firman Allah SWT:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اَنْ يَّسْتَغْفِرُوْا لِلْمُشْرِكِيْنَ وَلَوْ كَانُوْٓا اُولِيْ قُرْبٰى مِنْۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ اَنَّهُمْ اَصْحٰبُ الْجَحِيْمِ
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” [TMQ Al-Taubah (9): 113].
Yang dimaksudkan dengan orang-orang musyrik dalam ayat tersebut, adalah orang-orang kafir (al-kuffār) secara umum, baik dia seorang Ahli Kitab (beragama Yahudi atau Nasrani), mahupun orang-orang musyrik, iaitu orang kafir yang beragama selain Yahudi atau Nasrani.
Hal ini berdasarkan tafsiran oleh para ulama terhadap ayat ini, di antaranya kitab tafsir Hāsyiyah Ash-Shāwi yang menegaskan,”Nabi SAW dan orang-orang yang beriman tidak boleh memintakan ampunan bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka masih kerabat, setelah nyata bahawa mereka adalah penghuni jahim (neraka),” yakni kerana mereka mati dalam keadaan kafir. Maka tidak boleh memintakan ampunan bagi orang-orang kafir (al-kuffār) yang telah mati.” (Ahmad Ash-Shāwi Al-Maliki, Hāsyiyah al-Shāwi ‘Alā Tafsīr al-Jalālayn, Juz III, hlm. 75).
Berdasar ayat ini, para ulama telah bersepakat bahawa tidak boleh (haram) bagi seorang Islam mendoakan ampunan kepada non-Muslim (kafir) yang meninggal dunia. Dalam kitab Al-Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah disebutkan bahawa:
اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الِاسْتِغْفَارَ لِلْكَافِرِ مَحْظُورٌ
“Para fuqaha` (ahli fiqih) telah sepakat bahawa doa istighfār (permintaan ampunan kepada Allah) bagi orang-orang kafir, hukumnya haram.” (Al-Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz IV, hlm. 5).
Imam Nawawi berkata:
يُحْرَمُ أَنْ يُدْعَى بِالْمَغْفِرَةِ وَنَحْوِهَا لِمَنْ مَاتَ كَافِرًا، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {مَا كَانَ لِلنَّبيّ والَّذينَ آمَنُوا أنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أصْحَابُ الجَحِيمِ} [التوبة: 113] وَقَدْ جَاءَ الْحَدِيثُ بِمَعْنَاهُ، وَالْمُسْلِمُونَ مُجْمِعُونَ عَلَيْهِ
“Haram orang kafir didoakan mendapat ampunan (maghfirah) atau yang seumpamanya (contoh masuk syurga, mendapat rahmat Allah, dsb) bagi orang yang meninggal dalam keadaan kafir, sesuai firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 113, dan juga hadis dengan makna yang sama, dan kaum Muslimin telah sepakat mengenai keharamannya.” (Imam Nawawi, Al-Adzkār, hlm. 586).
Imam Nawawi juga berkata:
وَأَمَّا الصَّلَاةُ عَلَى الْكَافِرِ وَالدُّعَاءُ لَهُ بِالْمَغْفِرَةِ فَحَرَامٌ بِنَصِّ الْقُرْآنِ وَالْإِجْمَاعِ
“Adapun menyembahyangkan orang kafir atau memohon ampunan (maghfirah), haram hukumnya berdasarkan nas Al-Quran dan ijmā’ (kesepakatan pendapat ulama).” (Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah al-Muhadzdzab, Juz V, hlm. 120).
Imam Ibnu Taimiyyah berkata:
فَإِنَّ الِاسْتِغْفَارَ لِلْكُفَّارِ لَا يَجُوزُ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ وَالْإِجْمَاعِ
“Sesungguhnya memintakan ampunan Allah bagi kaum kafir adalah tidak boleh berdasarkan Al-Quran, Al-Sunnah, dan Ijmā’.” (Ibnu Taimiyyah, Majmū’ al-Fatāwā, 12/489).
Kesimpulannya, tidak boleh (haram) hukumnya bagi orang Islam mendoakan non-Muslim yang meninggal dunia. Maka perbuatan bekas Presiden Indonesia, Jokowi yang mendoakan Pope Francis yang telah meninggal dunia, jelas perbuatan haram atau dosa dalam Islam, yang tidak sepatutnya dijadikan contoh kepada umat Islam. Wallāhu a’lam.
Rujukan :
https://www.islamweb.net/ar/fatwa/285976
الإجماع على منع الترحُّم على مَن مات على كُفره.. ومناقشة معارضاته
#soaljawab #doa #hukumfikh

