Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Piawaian Syarak (Bahagian 1/3)

[Mafahim Islamiyyah] Piawaian Syarak (Bahagian 1/3)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Nas-nas syarak telah menunjukkan bahawa sesungguhnya terdapat piawaian-piawaian dalam Islam sebagai asas tolok ukur dalam pelbagai perbuatan dan perkara (benda). Piawaian tersebut adalah baik dan buruk (al-khairu wasy-syarru), terpuji dan tercela (al-hasan wal-qubh), serta halal dan haram. Apakah piawaian tersebut?

 

Baik dan Buruk

 

Perkataan ini merupakan lafaz musytarak (multi-dimensi) dari sudut asal dan maknanya. Dari sudut asal lafaznya ialah isim tafdhil (bermakna lebih) yang qiyasi asalnya menggunakan lafaz dengan mengikut wazan af’alu, akan tetapi huruf hamza tersebut terbatal dengan melanggar peraturan (syadz). Perkataan khairun juga merupakan masdar yang mengikut wazan fa’lun.

 

Dari sudut maknanya, perkataan ini bermaksud Islam, sebagaimana firman Allah SWT, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu kelompok yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam).” [TMQ Ali Imran (3): 104]

 

Ia juga bermaksud kekayaan, sebagaimana firman Allah SWT, “dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 272]

 

Ia juga bermaksud aktiviti yang diredhai oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya, “Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” [TMQ Al-Muzammil (73): 20]

 

Perkataan syarrun dari titik terbitan lafaznya menyerupai perkataan khairun. Dari sudut maknanya, syarrun adalah kata lawan bagi khairun, iaitu kejahatan.

 

Orang Arab menggunakan khairun untuk setiap perkara yang bermanfaat, dan menggunakan syarrun untuk setiap perkara yang berbahaya. Oleh itu, jika seorang Arab memperolehi manfaat, sama ada material atau bukan material daripada sesuatu perbuatan, dia dianggap khairun. Sebaliknya, jika dalam bahaya, ia dianggap syarrun.

 

Allah SWT berfirman, “dan jika dia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah dia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) dia akan rugi di dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” [TMQ Al-Hajj (22): 11]

 

Begitu juga firman-Nya, “Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut” [TMQ Al-Ma’arij (70): 20—21]

 

Jadi, manusia mencintai sesuatu dengan makna manfaat, dan membenci sesuatu dengan makna bahaya. Allah SWT telah menjelaskan kepada manusia tentang ketidaktepatan piawaian tersebut. Dia berfirman, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 216]

 

Allah SWT juga berfirman tentang orang yang membenci isterinya, “Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 19]

 

Maka, baik dan buruk dalam Islam tidak diukur berdasarkan manfaat dan bahaya. Tidak juga pada perbuatan yang berlaku hanya kerana qada’, iaitu berlaku pada manusia atau ke atas manusia secara terpaksa. Tidak juga pada perbuatan yang dilakukan manusia dengan ikhtiar (pilihan) mereka. Sesungguhnya manusia tidak dapat memahami dengan tepat bahawa sesuatu perbuatan itu benar-benar bermanfaat atau berbahaya untuk dirinya dan orang lain. Ini kerana keterbatasan akal manusia dalam memahami akibat sebenar yang akan diperhitungkan ke atas perbuatannya di dunia dan akhirat.

 

Sebagai contoh, seseorang yang tertidur lalu tertinggal penerbangan menuju lokasi transaksi perniagaan yang menguntungkan. Dia membenci kelewatan itu dan menganggapnya satu keburukan. Namun, apabila dia mengetahui bahawa pesawat itu terhempas dan semua penumpangnya meninggal dunia, dia memuji Allah kerana tertinggal penerbangan itu. Dia kemudian menganggapnya sebagai suatu kebaikan.

 

Oleh itu, manusia menilai baik atau buruk sesuatu perbuatan berdasarkan manfaat atau bahaya yang menimpanya. Hakikatnya, penilaian itu tidak benar dan tidak tetap. Sebab, ia datang daripada manusia yang terdedah kepada perbezaan, perselisihan, pertentangan, dan pengaruh persekitaran.

 

Akal manusia tidak mampu mengetahui kesan sesuatu sebelum ia berlaku. Maka sifat hakiki bagi sesuatu perbuatan, sama ada baik atau buruk tidak datang daripada manusia dan tidak pula daripada perbuatan itu sendiri. Membunuh, contohnya, adalah satu perbuatan. Jika dilakukan oleh seorang Muslim, ia boleh menjadi baik apabila pembunuhan itu terhadap musuh yang memeranginya. Namun, ia menjadi buruk apabila membunuh warganegara Islam atau kafir mu‘ahad.

 

Maka, penilaian baik atau buruk bagi sesuatu perbuatan tidak datang daripada zat perbuatan itu sendiri dan tidak juga daripada manusia. Ia datang daripada faktor luar, iaitu berdasarkan sudut pandang hidup yang berpaksikan akidah yang dianut oleh manusia, termasuk pemikiran serta sistem yang terpancar daripadanya.

 

Islam adalah akidah aqliyyah yang memancarkan sistem menyeluruh dan sempurna. Islam telah meletakkan piawaian yang jelas bagi sesuatu yang baik atau buruk. Jika sesuatu perbuatan itu diredhai Allah, iaitu dengan mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, maka ia baik. Namun jika ia dimurkai Allah, iaitu kerana menyalahi perintah-Nya dan melanggar larangan-Nya, maka ia buruk.

 

Jadi, sesuatu yang baik menurut seorang Muslim adalah apa yang diredhai Allah, manakala sesuatu yang buruk adalah apa yang dimurkai Allah SWT.

 

Solat, jihad dan mengemban dakwah adalah perbuatan baik kerana ia diredhai Allah. Manakala riba, zina, dan perisikan (espionaj) adalah perbuatan buruk kerana dimurkai Allah, tanpa mengira manfaat atau mudarat yang menimpa manusia di dunia hasil daripada perbuatannya. Kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan akan berakhir dengan kematian.

 

Kehidupan sebenar adalah di akhirat, iaitu sama ada kenikmatan abadi di syurga atau azab pedih di neraka, sebagai balasan terhadap amal perbuatan baik atau buruk yang dilakukan manusia.

 

Sumber: Mafahim Islamiyyah.

 

#mafahimislamiyyah #hukumperbuatan #hukumsyarak #standardsyarak

 

Exit mobile version