[Mafahim Islamiyyah] Piawaian Syarak (Bahagian 2/3)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT berfirman, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” [TMQ Al-Zalzalah (99): 7—8]
Oleh kerana itu, seorang Muslim hendaklah mendahulukan amal kebaikan kerana mengharapkan keredhaan Allah, bukan kerana ingin memperoleh manfaat dunia. Sebaliknya, dia hendaklah menjauhi perbuatan buruk kerana ia mendatangkan kemurkaan Allah SWT, bukan semata-mata kerana perbuatan buruk itu membawa mudarat kepadanya.
Seorang Muslim juga perlu menamakan sesuatu menurut nama-nama yang telah ditetapkan oleh syarak. Islam, iman dan pelaksanaan hudud adalah perkara baik. Manakala kufur, khianat dan menyalahi hukum-hukum Islam adalah perkara buruk. Seorang Muslim wajib beriman serta tunduk kepada qada’ dan qadar, yang baik dan buruknya adalah daripada Allah Taala.
Apabila dia menyukai sesuatu yang bermanfaat untuk dirinya dan membenci sesuatu yang memudaratkannya, maka rasa suka dan benci itu tidak bernilai di sisinya, dan tiada pula hisab ke atasnya. Hal ini kerana dia tidak berkuasa terhadapnya, dan ia bukan termasuk dalam pilihan fikirannya.
Abu Hurairah RA berkata, ketika diturunkan kepada Rasulullah SAW ayat, “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu…” [TMQ Al-Baqarah (2): 284]
Ayat itu sangat berat bagi para sahabat Rasulullah SAW sehingga mereka berkata, “Kami telah dibebani dengan amal-amal yang kami tidak mampu melaksanakannya, iaitu solat, puasa, jihad, dan sedekah. Ayat ini benar-benar diturunkan kepadamu, dan kami tidak mampu melaksanakannya.” Lalu Allah menggantikan ayat tersebut dengan menurunkan, “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” [TMQ Al-Baqarah (2): 286] (HR Imam Muslim).
Terpuji dan Tercela
Menetapkan sesuatu benda atau perbuatan sebagai terpuji atau tercela kadangkala berlaku dari sudut realitinya, keserasian atau ketidakserasiannya dengan fitrah manusia. Ia juga boleh berlaku dari sudut pahala dan seksa yang ditetapkan oleh Allah terhadap sesuatu benda atau perbuatan itu.
Adapun dalam menetapkan sesuatu perbuatan dan benda dari sudut realiti serta keserasian atau ketidakserasiannya dengan fitrah manusia, maka manusia berupaya menilainya dengan pancaindera dan akal. Manusia menilai bahawa sesuatu yang manis seperti madu adalah terpuji. Sebaliknya, sesuatu yang pahit seperti buah brotowali/patawali dianggap tercela.
Manusia juga menilai bahawa ilmu pengetahuan atau kekayaan adalah terpuji, sedangkan kejahilan dan kefakiran adalah tercela. Hal ini kerana pada sesuatu benda atau perbuatan itu terdapat kesempurnaan atau kekurangan. Sesungguhnya Allah SWT telah meletakkan potensi pada diri manusia sehingga dengannya manusia dapat mengenal pasti kesempurnaan dan kekurangan sesuatu perkara.
Potensi-potensi tersebut adalah naluri, keperluan jasmani dan aktiviti berfikir (tafkir). Namun, dalam menghukum sesuatu benda atau perbuatan dari sudut pahala dan seksa Allah SWT, maka hak itu bukan milik manusia. Dengan potensi yang diberikan kepadanya, manusia tidak mampu mengetahui sama ada Allah SWT memberikan pahala atau azab atas sesuatu perkara. Hal ini kerana perkara tersebut tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia.
Maka akal manusia tidak mungkin memahaminya kecuali dengan adanya khabar daripada Allah Taala. Khabar itu adalah syarak, dan wahyu telah datang membawanya melalui para rasul.
Syarak telah memuji sesuatu benda dan perbuatan, serta menetapkan pahala padanya. Syarak juga mencela sesuatu benda dan perbuatan, serta menetapkan seksa pada sebahagiannya.
Oleh itu, hak untuk menetapkan sesuatu benda dan perbuatan sebagai terpuji atau tercela dari sudut pujian atau celaan, serta dari sudut pahala atau seksa, hanyalah milik Allah SWT, bukan milik akal manusia. Hal ini kerana realiti akal terbentuk daripada empat perkara: pancaindera, realiti, maklumat-maklumat terdahulu, dan otak.
Pancaindera adalah asas kepada akal. Apabila manusia tidak dapat mengindera sesuatu, akalnya tidak mampu menghukum atas sesuatu tersebut. Ini kerana penilaian akal sentiasa terikat dengan apa yang boleh di indera atau kesan yang dapat di indera daripadanya.
Selama akal manusia tidak dapat mengindera pujian atau celaan, serta tidak dapat mengindera pahala atau seksaan yang ditetapkan Allah terhadap sesuatu benda atau perbuatan, maka akal tidak akan mampu menghukumnya dari sudut ini, kecuali dengan adanya khabar daripada Allah Taala.
Penilaian manusia terhadap sesuatu benda atau perbuatan dari sudut realitinya, serta dari segi keserasian atau ketidakserasiannya dengan fitrah manusia, tidak mempunyai nilai syarak sama sekali, dan tidak berpengaruh sama ada ia dilaksanakan atau ditinggalkan. Dengan demikian, seorang Muslim berjihad fi sabilillah, berdakwah dan berpuasa sebagaimana yang telah diperintahkan Allah SWT, walaupun dia tidak memahami pujian terhadap amalan-amalan itu atau ia tidak serasi dengan fitrahnya.
Dia juga meninggalkan riba, zina dan kegiatan perisikan sebagaimana yang telah dilarang Allah SWT, walaupun dia tidak memahami celaannya atau ia serasi dengan fitrahnya.
Oleh itu, sesuatu yang tercela dalam Islam adalah sesuatu yang dianggap tercela oleh syarak. Allah SWT berfirman, “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…” [TMQ Al-A’raf (7): 157]
Maka sesuatu yang terpuji adalah apa yang telah dihalalkan Allah Taala. Manakala sesuatu yang tercela adalah apa yang telah diharamkan-Nya. Jadi, terpuji dan tercela bukanlah sesuatu yang diukur sesuai atau tidak dengan fitrah dan akal manusia. Sebagai contoh, anggur adalah sesuatu yang terpuji. Namun arak, walaupun diperbuat daripada anggur, adalah sesuatu yang tercela. Begitu juga jual beli adalah halal dan terpuji, manakala riba adalah haram dan tercela.
Sumber: Mafahim Islamiyyah.
#mafahimislamiyyah #hukumperbuatan #hukumsyarak #standardsyarak

