Hindari Salah Faham – Begini Hukum Islam Berkenaan Suami Memukul Isteri
Oleh: K.H. M. Shiddiq Al Jawi, S.Si., M.Si.
Soalan: Ustaz, tolong jelaskan hukum syarak berkenaan suami memukul isteri. [Abdullah, bumi Allah].
Jawapan:
Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan semua fuqaha (ahli fikih) bahawa boleh (ja’iz) seorang suami memukul isteri jika terdapat tanda-tanda nusyuz (derhaka) seorang isteri terhadap suaminya.
Contoh ketidaktaatan isteri termasuk keluar rumah tanpa izin suaminya, enggan melayani suaminya walaupun dia tidak mempunyai alasan (cth., haid atau sakit), atau tidak amanah menjaga harta suaminya, dsb. Semua fuqaha bersetuju bahawa dibolehkan bagi seorang suami memukul isterinya dalam Islam, tanpa ada khilafiah (perbezaan pendapat). [Lihat: Abdurrahman Al Jaziri, Al-Fiqh ‘ala Al-Madzahib al-Arba’ah, 4/487; Wahbah Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/59; Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, 10/15; Imam al-Kasani, Badai’us Shanai’, 3/613; Imam Nawawi, Al-Majmu’, 16/445; Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 35/15; Imam Ibnu Hazm, Al-Muhalla, 5/261].
Dalil Syariah
Dalil dibenarkannya adalah firman Allah SWT,
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Oleh itu, wanita solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkan mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” [TMQ An-Nisaa (4): 34]
Tiga Peringkat Mendidik Isteri
Ayat ini menunjukkan bahawa suami berhak mendidik isterinya yang menunjukkan gejala nusyuz dalam 3 (tiga) peringkat secara tertib seperti berikut:
Pertama, nasihatilah isteri dengan lembut supaya kembali taat kepada suaminya, kerana taat kepada suami adalah wajib bagi isteri. – rujuk [TMQ al-Baqarah (2): 228].
Kedua, mengasingkan diri dengan isteri di tempat tidur, iaitu tidak bersetubuh atau tidur dengan isteri, tetapi tidak dibenarkan mengabaikan isteri. Langkah kedua ini diambil sekiranya peringkat pertama tidak berjaya.
Ketiga, memukul isteri. Langkah ini diambil sekiranya langkah kedua tidak berjaya. [Wahbah Zuhaili, At Tafsir Al Munir, 5/51; M. Ahmad Abdul Ghani, Al ‘Adalah fi An Nizham Al Ijtima’i fi Al Islam, hlm. 67].
Namun, walaupun Islam membenarkan suami memukul isteri, Islam menetapkan pukulan itu bukan pukulan yang keras, tetapi pukulan yang ringan, begitulah sabda Rasulullah SAW sebagai pukulan yang tidak meninggalkan kesan (dharban ghira mubarrih).
Kriteria Pukulan yang Syarie
Imam Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan ayat ini dengan berkata, “Pukulan di sini wajib pukulan yang ringan (dharban khafifan), iaitu pukulan yang tidak meninggalkan kesan (dharban ghaira mubarrih).”
Ini sebagaimana penafsiran Nabi Muhammad SAW terhadap ayat tersebut ketika semasa Haji Wada’, baginda berkhutbah, “Jika mereka (para isteri) melakukan perbuatan itu (nusyuz), maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak meninggalkan kesan (dharban ghaira mubarrih).” [HR Muslim, dari Jabir bin Abdullah RA]. [Taqiyuddin an-Nabhani, An-Nizham al-Ijtima’i fi al-Islam, hlm. 153].
Ramai ulama telah menerangkan bagaimana ukuran yang sesuai untuk pukulan ringan tersebut. Pukulan itu tidak boleh menyebabkan luka, patah tulang, atau sehingga merosakkan/mengubah daging tubuh (cth., menyebabkan lebam atau dikelar). [Ibnu Hazm, Al Muhalla, 5/261].
Pukulan itu tidak boleh menjadi pukulan yang menyakitkan. Ia juga perlu dilakukan pada bahagian badan yang selamat, contohnya bahu, bukan pada bahagian badan yang terdedah atau berbahaya, contohnya perut.
Sekiranya menggunakan alat, tidak boleh alat yang besar, seperti cambuk/tongkat, tetapi cukup dengan siwak (sejenis berus gigi) atau seumpamanya. [Imam Nawawi al-Bantani Al Jawi, Syarah Uqudul Lujain, hlm. 5; Wahbah Zuhaili, At-Tafsir al-Munir, 5/55-56, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/329].
Islam juga menjelaskan haram bagi suami memukul/menampar muka isteri. Larangan menampar isteri adalah sesuai dengan larangan dalam hadis Mu’awiyah al-Qusyairi RA, “Bahawa Nabi SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki, ‘Apakah hak isteri ke atas suaminya?’ Nabi SAW menjawab, “Engkau memberinya makanan ketika kamu makan, kamu memberinya pakaian ketika kamu berpakaian, jangan memukul mukanya, jangan mencacinya, jangan menjauhkan diri daripadanya kecuali ketika kamu masih di dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah]. [Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al Islami wa Adillatuhu, 9/310].
Suami Terbaik Tidak akan Memukul Isteri
Sebenarnya, walaupun memukul isteri dibolehkan, apa yang lebih penting adalah memaafkan, iaitu tidak memukul isteri. Imam Syafie meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
لن يدرب خيلركم
“Orang-orang yang terbaik di antara kamu sekali-kali tidak akan memukul isterinya.” [Imam Syafie, Al Umm, 5/1871]. Wallahu’alam.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

