Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Hak-Hak Syarie Manusia dalam Islam (Bahagian 3/6)

[Mafahim Islamiyyah] Hak-Hak Syarie Manusia dalam Islam (Bahagian 3/6)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Adapun kebebasan-kebebasan yang telah menjadi titik tolak pemikiran hak asasi manusia, jauh daripada realiti manusia dan penerapan secara nyata. Ini kerana manusia telah dicipta bersama dengan penciptaan pelbagai naluri serta keperluan-keperluan jasmaninya. Sedangkan pelbagai naluri serta keperluan-keperluan jasmani itu menuntut pemenuhan yang sewajarnya melalui sistem yang menjamin tiada pelanggaran terhadap hak-hak manusia yang lain dalam interaksi mereka antara satu sama lain.

 

Interaksi ini memerlukan sistem terperinci yang datang dari perspektif yang boleh memahami dan merangkumi semua perbezaan individu manusia dalam pelbagai naluri dan keperluan jasmani mereka. Sistem sebegini tidak akan datang, kecuali dari Allah, Pencipta manusia.

 

Membebaskan pelbagai naluri serta keperluan-keperluan jasmani manusia—tanpa ada sistem yang mengaturnya—dan membenarkan manusia memenuhi keperluan mereka mengikut kehendak mereka, maka ini sudah tentu akan membawa kepada anarki dan bahaya terhadap kehidupan manusia.

 

Apabila propagandis kebebasan berbentur dengan hakikat ini, mereka berkata, “Sesungguhnya kebebasan individu menjadi terhenti ketika bercanggah dengan kebebasan orang lain.” Kenyataan ini bermakna bahawa sebenarnya kebebasan itu tidak ada.

 

Adapun kebebasan umum dalam perspektif kapitalisme itu tidak ada dalam Islam. Sebab, umat Islam terikat dengan hukum-hukum syarak dalam setiap perkara yang berpunca daripadanya, baik dalam bentuk akidah, pendapat, pemilikan, atau tingkah laku. Oleh itu, jika seorang Muslim murtad meninggalkan akidahnya dan dia kekal dalam kemurtadannya, maka dia akan dibunuh. Jika dia melanggar hukum-hukum syarak, maka dia akan ditakzir dan dikenakan hukuman.

 

Hak-hak Syarie Manusia dalam Islam

 

Islam telah datang dengan membawa sistem yang syumul dan sempurna. Ini bertujuan untuk mengatur semua aktiviti manusia yang diperlukan bagi memenuhi pelbagai naluri dan keperluan jasmaninya dengan benar dan sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang individu, dan sebagai sebahagian daripada masyarakat Islam.

 

Islam telah mengatur interaksi manusia dengan Tuhannya melalui akidah dan ibadah. Islam juga mengatur interaksi manusia dengan dirinya sendiri, iaitu dengan pelbagai hukum yang berkaitan dengan makanan, pakaian, dan akhlak. Begitu juga interaksi manusia dengan manusia yang lain, iaitu dengan hukum-hukum muamalah dan hukuman. Interaksi ini mencakupi interaksi penguasa dengan orang-orang yang berada dalam kekuasaannya dan interaksi negara Islam dengan negara-negara lain.

 

Dengan demikian, Islam tidak meninggalkan sebarang hukum, aktiviti, dan perkara melainkan, Islam telah menjelaskannya. Islam telah menuntut akal supaya mengambil hukum atau menggalinya daripada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

 

Dengan meneliti dalil-dalil syarak dan hukum-hukum yang terhasill daripada dalil-dalil syarak, para fuqaha Muslim telah mendapati bahawa sebenarnya Islam telah menjamin hak-hak syarie bagi manusia. Hak-hak syarie itu telah menentukan tiga jenis manfaat bagi manusia.

 

  1. Dharuuriyaat (perkara-perkara yang merupakan kewajipan).
  2. Hajiyaat (keperluan-keperluan).
  3. Tahsiinat (perbaikan-perbaikan).

 

Dharuuriyaat (perkara-perkara yang menjadi kewajipan), tujuannya adalah kemaslahatan-kemaslahatan yang diperlukan oleh kehidupan individu, serta kemuliaan dan tegaknya masyarakat yang baik dan berkesinambungan. Apabila kemaslahatan-kemaslahatan itu tidak ada, sistem kehidupan manusia akan menjadi cacat. Manusia hidup secara anarki dan korup. Manusia akan ditimpa musibah dan kesengsaraan di dunia dan seksa yang menyakitkan di akhirat.

 

Aslahah dharuriyaat ada lapan jenis:

 

  1. Menjaga agama (hifdzud diin)
  2. Menjaga jiwa (hifdzun nafsi)
  3. Menjaga akal (hifdzul aqli)
  4. Menjaga keturunan (hifdzun nasl)
  5. Menjaga harta benda (hifdzul mal)
  6. Menjaga kehormatan (hifdzul karomah)
  7. Menjaga keamanan (hifdzul amn)
  8. Menjaga negara (hifdzud daulah)

 

 

Pertama: Menjaga Agama

 

Islam tidak memaksa seseorang untuk memeluk Islam. Allah SWT berfirman, “Tidak ada paksaan dalam agama Islam (yakni untuk memeluknya). Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kekufuran).” [TMQ Al-Baqarah (2): 256].

 

Firman Allah ini tidak bermakna kebebasan akidah yang diambil daripada hak-hak alami seperti yang telah dipropagandakan oleh ideologi kapitalisme. Sebab, naluri beragama sahaja tidak cukup untuk sampai kepada akidah yang benar. Manusia memerlukan rasul dari Allah SWT untuk menyampaikan akidah ini.

 

Kemudian, manusia yang telah memeluk akidah ini tidak dibenarkan murtad, meninggalkan agamanya. Oleh itu, jika seorang Muslim yang murtad meninggalkan Islam setelah dia beriman, dia mesti diajak berdialog dan diminta bertaubat. Jika dia tetap berterusan dalam kemurtadannya, hukuman syaraknya adalah dibunuh.

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #HukumSyarak #HakSyarieManusia

Exit mobile version