Tanggungjawab Dakwah Tidak Pernah Berhenti Walau Diuji
Penulis : Rahmah
Menerusi Slot Tadabbur surah Maryam (ayat 2 hingga 15), Aktivis Dakwah Ustazah Nazirah menyatakan bahawa Nabi Zakaria diuji oleh Allah SWT sehingga tidak dapat bercakap selama tiga malam. Namun, hal tersebut tidak menghentikan tanggungjawab dakwah yang diamanahkan kepadanya.
“Pengajaran kita boleh ambil dari kisah Nabi Zakaria ini, dalam pada Allah tarik nikmat tidak boleh bercakap, tetapi Subhanallah tanggungjawab dakwah itu tadi tidak pernah berhenti, tidak pernah lupus,” ujarnya di akaun Facebook Muslimah HTM dalam Siri Tadabbur Khas Keluarga Al-Quran bertajuk Generasi Penerus Dakwah, Sabtu (9/8/2025).
Menurut beliau, meski pun tidak boleh berkomunikasi secara lisan pada ketika itu, Nabi Zakaria AS tetap memberikan isyarat kepada umatnya agar mereka terus berzikir dan beribadah kepada Allah SWT. Tindakan itu menunjukkan ketekunan dan keteguhan baginda dalam menyampaikan peringatan kepada kaumnya.
“Nabi Zakaria memberikan isyarat supaya umatnya itu tadi bertasbih beribadah, jangan luput meninggalkan ibadah, teruskan beribadah kepada Allah SWT sama ada pagi dan juga petang. Itu nampak tidak, peringatan demi peringatan diberikan oleh Nabi Zakaria kepada umatnya supaya mengingati Allah SWT,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan kisah ini turut memaparkan kesungguhan Nabi Zakaria AS dalam berdoa meski pun telah lanjut usia dan isterinya mandul.
Menurut Ustazah, permohonan dan doa yang dipanjatkan Nabi Zakaria AS memperlihatkan betapa baginda tidak pernah berputus asa dalam berdoa dan meletakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah SWT.
“Begitulah hal keadaannya Nabi Zakaria mengadukan kepada Allah SWT tentang keadaan dirinya tetapi tetap saja Nabi Zakaria mengatakan bahawasanya dia tidak pernah putus asa memohon doa kepada Allah, begitulah yang kita kena ambil pengajaran dalam kehidupan diri kita jangan pernah merasa putus asa dalam memohon sesuatu kepada Allah SWT,” tuturnya.
Tambahnya lagi, doa tersebut tidak sekadar untuk memenuhi keinginan berkeluarga, malah turut didorong oleh kebimbangan beliau terhadap masa depan dakwah. Nabi Zakaria AS menyuarakan keprihatinannya terhadap kemungkinan kelalaian kaumnya dalam melaksanakan ajaran agama selepas pemergiannya.
Menurut Ustazah lagi, permintaan tersebut diperkenankan oleh Allah SWT dengan khabar gembira. Nabi Yahya AS yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Zakaria AS kemudian tumbuh sebagai seorang yang teguh imannya dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan dakwah. Sejak kecil, Nabi Yahya AS telah menunjukkan kesungguhan luar biasa dan memikul amanah besar dengan penuh tanggungjawab.
“Sangat luar biasa ya kurniaan yang diberikan kepada Nabi Yahya. Sebab apa? Sebab dia masih kecil, muda lagi sudah diberikan dia hikmah iaitu kefahaman dia dalam menjalankan tugas-tugas dakwah ini tadi. Kefahaman dan ketegasan yang ada pada dia serta dia dapat menilai yang mana kebenaran dan juga mana yang kita kata tidak benarlah,” jelasnya.
Lanjutnya, Nabi Yahya AS turut dikenali sebagai seorang yang bertakwa, suci daripada dosa, rendah diri, dan taat kepada kedua ibu bapanya. Peribadi ini menjadikan Nabi Yahya AS sebagai contoh sempurna dalam menjalankan amanah dakwah serta menjadi insan yang disenangi.
“Aku tidak diciptakan oleh Tuhanku untuk bermain-main, kata Nabi Yahya. Ini merupakan satu cerminan betapa besarnya peranan anak muda dalam berjuang demi agama. Nak katanya muda bukan sebenarnya tiket untuk dia bersenang lenang tetapi sebenarnya muda itu adalah satu tanggungjawab kepada dia sebenarnya. Tanggungjawab yang besar pada dia untuk dia menjadi orang yang memperjuangkan agama dan juga betapa tingginya nilai keteguhan memegang ajaran-ajaran Allah ya,” ungkapnya.
Beliau menyimpulkan bahawa dakwah perlu diteruskan walau dalam keadaan sukar. Ujian yang menimpa para nabi bukanlah penghalang untuk mereka meneruskan dakwah. Kisah Nabi Zakaria AS dan Nabi Yahya AS menjadi teladan tentang keikhlasan, doa yang berterusan, dan kesungguhan menyampaikan agama meskipun dalam keadaan serba kekurangan.
“Kisah nabi Zakaria dan juga Nabi Yahya Alaihissalam ini memberikan pengajaran tentang keimanan, harapan dan juga kesungguhan dalam berdoa. Ia juga menunjukkan keajaiban yang berlaku bagi mereka yang ikhlas dan juga sabar dalam perjuangan pendidikan anak dalam lingkungan keimanan dan kasih sayang akan melahirkan generasi yang bukan sahaja soleh tetapi juga berani menegakkan kebenaran walaupun nyawa menjadi taruhan asalkan dia tidak berpaling daripada apa yang telah diperintahkan oleh Allah,” akhirinya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#GenerasiPenerusDakwah
#KeluargaAlQuran

