Memelihara Kasih Sayang kerana Allah
Penulis: Najmah Saiidah
Begitu banyak peristiwa tragis yang berlaku dalam kalangan keluarga Muslim. Ada bapa sanggup mencemarkan kehormatan anak, ibu bapa mencederakan malah membunuh anak, anak pula membunuh ibu bapa, dan perkara seumpama itu. Bahkan, baru-baru ini, berlaku kes suami membakar isterinya di hadapan anak-anak hanya kerana marah melihat rumah yang bersepah.
Kes-kes seperti ini terus berlaku berulang kali, dengan tahap kekejaman yang semakin sukar diterima akal. Maka, wajar timbul persoalan: apa yang telah terjadi sehingga naluri kasih sayang dalam keluarga semakin lama semakin pudar, malah ada yang hilang sama sekali?
Sekularisme Menghapuskan Kasih Sayang
Sudah jelas di hadapan kita bahawa sistem kapitalisme sekular yang mencengkam negara ini telah banyak meninggalkan persoalan besar dalam kalangan rakyat. Hakikatnya, dasar-dasar yang berasal daripada sistem ini tidak pernah benar-benar memihak kepada rakyat, malah lebih cenderung membebankan mereka.
Keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kehidupan keluarga Muslim. Sukar bagi mereka menegakkan nilai-nilai Islam, malah tidak sedikit yang terperangkap dalam kehidupan yang berasaskan materialisme dan individualisme. Ramai juga keluarga yang menjadi rapuh dan hilang kestabilannya.
Tidak dapat dinafikan bahawa dasar-dasar di negara ini, yang lahir daripada sistem kapitalisme sekular, telah menyebabkan bebanan ekonomi yang semakin berat dipikul oleh keluarga Muslim. Maka, tidak hairanlah jika tekanan perasaan, bahkan kemurungan menimpa keluarga Muslim.
Keadaan ini menyumbang kepada keretakan hubungan dalam rumah tangga. Pergaduhan sering terjadi, malah tidak sedikit yang berakhir dengan perceraian. Emosi lebih banyak menguasai kehidupan berkeluarga berbanding pertimbangan yang rasional. Bahkan, naluri kasih sayang yang sepatutnya tertanam secara fitrah dalam diri pasangan suami isteri seolah-olah lenyap. Hakikatnya, naluri kasih sayang atau gharizatun nau’ adalah fitrah yang Allah anugerahkan kepada seluruh manusia sejak lahir.
Kasih Sayang Adalah Anugerah
Sesungguhnya, betapa Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah SWT terhadap makhlukNya. Allah telah mengurniakan kepada kita naluri kasih sayang. Dengan naluri inilah kita mencintai ibu bapa, saudara-mara, serta keluarga jauh kita. Dengan adanya naluri ini juga, kita memilih untuk menikahi pasangan kita, mencintai dan menyayanginya kerana Allah, begitu juga sebaliknya.
Daripada ikatan pernikahan inilah lahir anak-anak kita, dan kita mencintai mereka sepenuh hati. Kita menjaga dan memelihara mereka sejak dalam kandungan sehingga dewasa. Begitu juga sebaliknya, anak-anak kita menyayangi kita -ibu bapa mereka- kerana naluri kasih sayang.
Oleh itu, memang cukup mengejutkan apabila terdapat kes-kes seperti seorang ayah memperkosa anak kandungnya sendiri atau seorang suami sanggup membakar isterinya. Sesungguhnya, naluri kasih sayang ini tidak akan pernah lenyap dari setiap insan, namun bukan bermakna ia tidak akan terhakis sedikit demi sedikit. Oleh itu, naluri kasih sayang ini mesti sentiasa dipelihara dengan baik agar ia tetap wujud dalam diri, sehingga rasa cinta dan kasih sayang terhadap keluarga terus tumbuh dalam keluarga kita. Dengan izin Allah, ia akan membawa kepada keluarga yang sakinah, mawaddah, wa rahmah. Maka, bagaimana kita memelihara naluri kasih sayang ini agar tetap wujud?
Memelihara Naluri Kasih Sayang
Sesungguhnya, Allah SWT tidak hanya menganugerahkan naluri dan keperluan jasmani kepada kita, tetapi Allah juga memberikan panduan atau peraturan untuk mengurusnya, termasuk naluri kasih sayang. Dengan cara ini, akan terwujud kebahagiaan, ketenteraman, dan semangat untuk menjalani kehidupan. Justeru, adalah sangat penting bagi kita untuk memelihara naluri kasih sayang yang telah Allah anugerahkan, mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Apakah cara-cara yang boleh dilakukan?
- Memahami Hakikat Naluri Kasih Sayang Secara Betul
Naluri kasih sayang, atau dalam bahasa Arab disebut gharizah nau’, ada juga yang menyebutnya sebagai naluri untuk melestarikan jenis, merupakan anugerah yang Allah SWT berikan kepada semua manusia, baik lelaki mahupun perempuan, dengan tujuan untuk meneruskan generasi keturunan.
Melalui naluri ini, lelaki dan perempuan dapat berpasangan dan melahirkan zuriat. Allah SWT menghendaki keturunan manusia sebagai generasi yang berkualiti, iaitu anak-anak yang diasuh dan dididik dengan sebaik-baiknya, diberikan nafkah secukupnya, serta dibesarkan dalam suasana kasih sayang dan teladan yang baik agar mereka dapat menjadi seorang muslim yang sempurna.
Proses ini hanya boleh dilaksanakan dengan baik apabila anak menjadi tanggungjawab bersama antara seorang ayah dan ibu. Oleh sebab itu, Islam menetapkan bahawa kelahiran anak mestilah melalui ikatan pernikahan. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai…” [TMQ An–Nisa (4): 1]
Apabila kita memahami hakikat naluri kasih sayang dengan benar dan cara pemenuhannya, maka sebagai Muslim yang taat, kita akan sentiasa menjaga pemenuhan naluri kasih sayang ini dengan baik, mengikut panduan Allah SWT agar ia kekal dan berterusan.
- Mencintai pasangan kerana Allah akan membawa kepada cinta yang tiada penghujung.
Perasaan yang tulus kerana Allah SWT akan membawa seseorang kepada kesucian cinta. Keredhaan Allah SWT adalah lebih berharga daripada segalanya. Dengan itu, seseorang akan ikhlas mencintai pasangannya kerana Allah SWT. Apa sahaja kekurangan yang ada pada pasangan mahupun kesilapan akan diperbaiki bersama-sama dengan saling mengingatkan dan memberi nasihat, tanpa mendahulukan emosi. Kelak, Allah SWT akan memberikan ganjaran hadiah di syurga.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang-orang yang saling mencintai, kamar-kamar mereka di syurga nanti terlihat seperti bintang yang muncul dari timur atau bintang di barat yang berpijar.” Lalu ada yang bertanya, “Siapakah mereka itu?” Rasulullah menjawab: “Mereka itu adalah orang-orang yang mencintai kerana Allah ‘Azzawajalla.” [HR Ahmad]
Cinta yang tumbuh berasaskan iman, amal soleh, dan akhlak yang mulia akan sentiasa mekar dan tumbuh subur. Ia tidak akan pudar kerana sinar matahari, tidak akan luntur kerana hujan, dan tidak akan terputus walaupun ajal telah tiba. Doa-doa terbaik akan sentiasa mengalir daripada lisan seseorang kepada pasangannya, sama ada ketika berjauhan mahupun ketika bersama.
Semakin jelas bahawa saling mencintai kerana Allah serta dihiasi dengan amal soleh dan akhlak yang baik akan membawa kepada cinta yang hakiki. Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara, apabila ketiga-tiganya ada pada diri seseorang, nescaya dia akan merasakan betapa manisnya iman: apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain, apabila dia mencintai seseorang, maka tidaklah dia mencintainya melainkan kerana Allah, dan apabila dia membenci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan dirinya, sebagaimana dia membenci untuk dicampakkan ke dalam api yang menyala-nyala.” [Muttafaqun ‘alaih]
- Mencipta komunikasi dan hubungan yang harmoni dalam rumah tangga
Kehidupan dalam rumah tangga sememangnya tidak sentiasa berjalan lancar, kadangkala diuji dengan cabaran atau rintangan. Ujian yang berlaku selepas perkahwinan adalah suatu dugaan yang perlu dihadapi bersama dengan kematangan sikap dan pemikiran. Idealnya, ia harus ditangani dengan hati yang lapang dan fikiran yang waras, sentiasa berprasangka baik, serta melalui komunikasi yang baik. Komunikasi merupakan kunci utama dalam sesebuah perkahwinan yang mampu membebaskan pasangan dan ahli keluarga dari kecurigaan, fikiran negatif, serta kebimbangan.
Komunikasi diibaratkan seperti air kepada tumbuhan. Tanpa komunikasi, cinta kita akan layu, kering, dan akhirnya matilah keromantisan dalam kehidupan keluarga. Komunikasi yang baik bersama pasangan dan ahli keluarga memainkan peranan penting dalam menjaga naluri kasih sayang di dalam kehidupan berkeluarga. Bayangkan jika suami dan isteri jarang berbicara, tidak mahu mendengar, atau tidak memberikan maklum balas apabila pasangannya mengajak berbicara, sudah tentu salah faham akan kerap berlaku dan berakhir dengan pertengkaran.
Sememangnya, menjalin komunikasi yang baik dengan pasangan dan keluarga bukanlah sesuatu yang semudah membalikkan tangan. Maka, sewajarnya kita sedar akan tanggungjawab diri untuk sentiasa berusaha, menjaga dan mempertahankan agar komunikasi dapat berjalan dengan baik. Komunikasi adalah jambatan yang membentuk kepercayaan. Melalui komunikasi, pasangan boleh menentukan langkah ke hadapan menuju kebahagiaan yang diinginkan bersama.
- Melakukan aktiviti bersama ahli keluarga
Melibatkan diri dalam aktiviti bersama antara suami isteri ataupun bersama ahli keluarga yang lain akan semakin mengukuhkan naluri kasih sayang, kerana dengan keluarga kita akan dapat berkomunikasi dengan lebih erat dan tentunya lebih mengenali satu sama lain. Rasulullah SAW sentiasa bergaul dengan mesra dan bersenda gurau bersama isteri-isteri baginda, berlaku lemah lembut terhadap mereka, serta kerap membuat mereka tertawa.
Rasulullah SAW malah pernah mengajak isterinya, Aisyah RA, berlumba lari untuk menunjukkan rasa kasihnya kepada isteri. Aisyah RA pernah berkata, “Rasulullah SAW pernah mengajakku berlumba lari, lalu aku berjaya mendahului baginda. Itu berlaku sewaktu tubuhku masih kurus. Kemudian, dalam perlumbaan lain, apabila badanku telah gemuk, baginda pula yang berjaya mendahului aku. Maka, baginda bersabda, ‘Ini sebagai balasan atas perlumbaan sebelumnya yang aku kalah.’” [HR Ibn Hibban]
Terdapat banyak juga riwayat yang menggambarkan bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan sangat baik terhadap keluarganya. Baginda kerap berbual seketika dengan ahli keluarga selepas solat Isyak sebelum tidur dengan perbualan yang menyenangkan.
Demikianlah, Rasulullah SAW telah membimbing kita untuk sentiasa bergaul dengan cara yang baik kepada pasangan, saling bergurau, berlemah lembut antara suami dan isteri, serta dengan anggota keluarga yang lain. Dengan panduan baginda, seharusnya seorang suami melaksanakan tugasnya sebagai pemimpin dengan penuh kelembutan dan kasih sayang terhadap isteri dan anggota keluarganya yang lain. Begitu juga, isteri diperintahkan untuk bergaul dengan baik, taat kepada suami dalam perkara yang disyariatkan, sehingga akan terwujud ketenangan di antara keduanya dan hubungan cinta serta kasih sayang antara suami dan isteri akan kekal selama-lamanya, serta mengalir kepada anak-anak mereka.
Adalah jelas bahawa Islam mengajar kita untuk sentiasa menjaga dan memelihara naluri kasih sayang kita supaya dapat mengemudi perahu rumah tangga dengan penuh ketenteraman. Apabila naluri kasih sayang ini wujud dan diamalkan menurut tuntunan Islam, setiap pasangan suami isteri akan mampu mengawal nafsu mengikut aturan Islam dan tidak terbawa oleh emosi atau godaan syaitan. Walaupun ombak dan badai menghentam, kita akan berusaha dan terus berusaha agar perahu rumah tangga kita kekal belayar. Semoga Allah SWT menjadikan cinta dan kasih sayang dalam keluarga kita sentiasa segar, harum, dan terpelihara. Amin Ya Mujib as Sa’ilin.
Sudah tentu keluarga Muslim juga rindu untuk dapat menerapkan Islam secara kaffah, kerana tidak dapat dinafikan bahawa sistem sekular kapitalisme yang mencengkam negeri ini dan negeri-negeri Muslim yang lain telah menyumbang kepada pelbagai masalah dalam rumah tangga. Inilah masanya bagi keluarga Muslim untuk bersama-sama berjuang demi tertegaknya Islam secara kaffah di muka bumi. Wallahua’lam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#kasihsayang #keluargamuslim

