Site icon MuslimahHTM News

Pengenalan : Permasalahan Rumah Tangga

[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 1
 
Pengenalan : Permasalahan Rumah Tangga
 
Islam bukan sekadar agama ibadah, tapi juga meletakkan asas kukuh untuk membina keluarga bahagia. Segala hak dan tanggungjawab suami isteri telah diperincikan dengan jelas. Bahkan, Islam turut mengingatkan kita daripada perkara yang boleh merosakkan keharmonian rumahtangga.
 
Tujuannya? Supaya hubungan suami isteri terpelihara, jauh daripada ancaman yang boleh meruntuhkan kebahagiaan. Namun realitinya, kita masih melihat banyak konflik berlaku. Kadangkala, bukan hanya suami isteri yang terkesan, tapi juga anak-anak turut menjadi mangsa.
 
Jadi, sebelum kita berbicara tentang masalah dan jalan keluar, ingat satu perkara penting: Setiap perselisihan adalah peluang untuk membina, bukan alasan untuk meruntuhkan masjid yang dibina.
 
Pertelingkahan kecil yang bersifat sementara sepatutnya dilihat sebagai ruang untuk saling memahami dengan lebih baik, sekali gus menambahkan kasih sayang serta mempererat ikatan cinta. Jangan sesekali dibiarkan menjadi percikan api yang kian membesar.
 
Menghindari perselisihan dan pertelingkahan bagi keluarga Muslim sangat penting kerana, salah satu misi terbesar iblis adalah memecah-belahkan rumah tangga orang beriman.
 
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgah sananya di atas air. Kemudian ia mengutus para tenteranya. Tentera iblis yang paling bawah adalah yang paling besar fitnah (kerosakan)-nya. Salah satu tentera iblis berkata: Saya telah melakukan ini dan itu. Maka iblis mengatakan: kamu belum melakukan apa-apa. Kemudian tentera iblis yang lain datang dan berkata: Aku tidak meninggalkan seseorang kecuali setelah dia berpisah dengan isterinya. Maka tentera iblis ini pun didekatkan kepada iblis. Lalu iblis berkata: Kamulah yang terbaik, teruslah lakukan itu” (HR. Muslim no. 2813).
 
Dalam siri Asam Garam Rumah Tangga ini, kita akan menyelami dua punca utama masalah rumah tangga, yang umumnya:
1️) berpunca daripada suami.
2️) berpunca daripada isteri.
 
Ikuti siri ini untuk memahami keumuman permasalahan dalam rumah tangga secara ringkas, serta cadangan penyelesaiannya berdasarkan panduan Islam. Mari sama-sama introspeksi diri bagaimana proses interaksi kita dalam keluarga.
 
———————
*Diinspirasikan dan diolah dari `Perkahwinan Idaman’ – Sheikh Mahmud Al Mashri, serta pelbagai sumber.
 
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim
Exit mobile version