Site icon MuslimahHTM News

Apabila Terpaksa Berhubungan Jarak Jauh dengan Pasangan, Bagaimanakah Tuntutan Islam untuk Keluarga Muslim?

Apabila Terpaksa Berhubungan Jarak Jauh dengan Pasangan, Bagaimanakah Tuntutan Islam untuk Keluarga Muslim?

 

Penulis: Najmah Saiidah

 

Secara ideal, pasangan suami isteri sepatutnya tinggal bersama dalam satu rumah. Namun, tuntutan pekerjaan atau keadaan ekonomi dan sebagainya adakalanya memaksa mereka untuk tinggal berasingan. Inilah yang dikenali sebagai LDR atau long distance relationship atau ada juga yang menyebutnya hubungan pernikahan jarak jauh.

 

Beberapa pihak berpendapat faktor penting yang membolehkan LDR dapat dilalui dengan tenang dan harmoni adalah niat yang ikhlas dalam menjalani perkahwinan, rasa percaya, sokongan antara pasangan, komitmen untuk mempertahankan ikatan perkahwinan, serta keterbukaan dalam berkomunikasi.

 

Jika kita membuka lembaran sejarah umat Islam pada masa lalu, LDR ini pun pernah berlaku dalam kalangan para sahabat. Para suami harus berjihad melawan musuh yang berlangsung berhari-hari, bahkan beberapa bulan. Mereka terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak. Jadi, bagaimana peraturannya menurut Islam?

 

Berapa Lama Waktu LDR menurut Tuntutan Islam?

 

Pada zaman Khalifah Umar bin Khattab RA, pernah terjadi kejadian seorang isteri yang merindukan sentuhan suaminya, sementara suaminya tidak berada di sisinya kerana sedang melaksanakan tugas berjihad di medan perang.

 

Diriwayatkan, suatu malam, Khalifah Umar bin Khattab RA sedang melakukan perjalanan mengelilingi Madinah. Ketika melintasi sebuah rumah yang terkunci, secara tiba-tiba Umar bin Khattab mendengar kegundahan seorang wanita Arab, “Malam semakin larut berselimut kegelapan. Sudah sekian lama kekasih tidak kudekati. Demi Allah, sekiranya bukan kerana mengingatiMu, nescaya ranjang ini bergoncang hebat. Namun, duhai Rabbi… Rasa malu telah menghalangiku. Dan suamiku itu… Terhormat lagi mulia. Pantang kenderaannya disentuh orang lain.”

 

Setelah itu, perempuan tersebut menghela nafas dalam-dalam sambil berkata, “Alangkah sepinya, betapa lama suamiku meninggalkan diriku…” Umar pun terpaku mendengar kata-kata perempuan itu, lalu beliau bergumam, “Semoga Allah merahmatimu.”

 

Keesokan harinya, Umar membawakan pakaian dan sejumlah wang untuk wanita itu. Kemudian, beliau mencari tahu perihal suami wanita tersebut. Menurut maklumat yang diterimanya, suami wanita itu sedang berjihad fi sabilillah di medan perang. Umar pun menulis surat kepada suami wanita tersebut dan menyuruhnya pulang.

 

Selanjutnya, Umar mendatangi puterinya Hafsah dan bertanya, “Wahai puteriku, berapa lamakah seorang wanita tahan berpisah dengan suaminya?”

 

“Subhanallah! Orang seperti engkau bertanya kepada anak sepertiku mengenai masalah seperti ini?” jawab Hafsah.

 

“Kalau bukan kerana aku ingin mengatasi persoalan kaum Muslimin, aku tidak akan bertanya kepadamu,” kata Umar.

 

Lalu Hafsah menjawab, “Boleh sebulan, dua bulan, atau tiga bulan. Setelah empat bulan dia tidak akan mampu lagi bersabar.” Riwayat lain menyebutkan, “Lima bulan, enam bulan.”

 

Sejak dari itu, Khalifah Umar bin Khattab menetapkan jangka waktu itu sebagai ukuran tempoh  penghantaran pasukan ke medan perang [Manaqib Umar Bin Khattab karya Ibnul Jauzi].

 

Selain itu, Mufti Ibrahim Desai menambah, “Seseorang yang sudah berkahwin dan tinggal berjauhan dari isterinya untuk tempoh apa pun yang telah disepakati bersama. Namun, jika isteri tidak senang suaminya tersebut tinggal berjauhan, suami hendaklah bertemu isterinya sekurang-kurangnya sekali setiap empat bulan.”

 

Prinsip yang Mesti Dijaga dalam LDR Menurut Islam

 

Apabila hubungan jarak jauh menjadi pilihan bagi suami dan isteri, modal utama bagi keadaan ini adalah kedua-duanya sama-sama redha, tiada paksaan atau penolakan daripada salah satunya. Dengan demikian, dengan izin Allah, keadaan ini akan dapat dijalani oleh kedua-duanya dengan baik.

 

Namun begitu, terdapat beberapa prinsip yang wajib dijaga oleh pasangan suami isteri ketika menjalani LDR agar perjalanan perkahwinan tetap berada dalam koridor syarak. Di antaranya adalah pertama, ayah sebagai qawwam wajib menafkahi dan menjamin keselamatan keluarga.

 

Lelaki dikatakan sebagai qawwam, yang merupakan sighah mubalaghah, diambil dari kata “qiyam”. Perkataan ini bermaksud berdiri atas sesuatu dan menjaganya. Justeru, lelaki mempunyai kelebihan dengan tanggungjawab untuk menjaga, menafkahi, mendidik, memberi rasa selamat, dan memelihara isteri-isterinya. Hal ini adalah kerana sesuatu yang telah Allah utamakan satu di antara yang lain.

 

Islam telah memberikan tanggungjawab kepada seorang lelaki untuk menafkahi orang-orang yang menjadi tanggungannya, termasuk isteri dan anak-anaknya. Allah SWT berfirman,

 

…وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَاۚ …

“Kewajipan ayah untuk memberi makan dan pakaian kepada para ibu secara layak. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.” [TMQ al-Baqarah (2): 233]

 

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

“Cukuplah dianggap berdosa seseorang yang menelantarkan orang yang menjadi tanggungannya.” [HR Abu Dawud, Ahmad, An-Nasai, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ath-Thabrani]

 

Nabi SAW bersabda, “Sungguh, tidaklah kamu menginfakkan nafkah (harta) dengan tujuan mengharapkan (melihat) wajah Allah (pada hari kiamat nanti), kecuali kamu akan mendapatkan ganjaran pahala (yang besar), termasuk makanan yang kamu berikan kepada isterimu.” [HR Bukhari]

 

Dari nas-nas ini jelas bahawa apabila suami atau ayah harus berjauhan dengan anak dan isterinya, dia tetap wajib mencukupi nafkah dan memastikan keselamatan keluarganya, termasuklah menyediakan tempat tinggal dan lingkungan selamat bagi keluarganya. Dia mesti memastikan keselamatan isteri dan anak-anaknya sebelum dia meninggalkan keluarganya untuk sementara waktu.

 

Kedua, menjalin komunikasi yang baik dengan pasangan.

 

Apabila suami dan isteri harus berjauhan buat sementara waktu, saling percaya antara kedua-duanya amat diperlukan. Komunikasi menjadi faktor penting bagi memelihara rasa saling percaya antara pasangan. Komunikasi merupakan jambatan pembentuk kepercayaan. Dengan komunikasi, pasangan suami isteri akan lebih mudah menentukan langkah ke hadapan menuju kebahagiaan yang diinginkan.

 

Lebih daripada itu, komunikasi menjadi salah satu kunci utama dalam sebuah perkahwinan, yang akan membebaskan pasangan daripada rasa curiga, fikiran negatif, keraguan, dan kecemasan lain. Sebaliknya, tanpa komunikasi yang baik, maka kepercayaan akan sukar terbentuk, sehingga ketenteraman dan kebahagiaan dalam keluarga akan sukar dicapai.

 

Ketiga, menjaga amanah daripada suami.

 

Ketika suami memberi amanah tertentu, isteri mesti mentaati dan menjaga amanah tersebut. Contohnya, jika suami memberi amanah bahawa isteri perlu meminta izin terlebih dahulu sekiranya hendak keluar rumah, maka isteri wajib meminta izin terlebih dahulu.

 

Ada seorang wanita datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apa hak seorang suami ke atas isterinya?” Baginda SAW menjawab, “Haknya adalah isteri tidak keluar rumah kecuali atas izinnya. Kalau isterinya nekad keluar juga, maka malaikat langit, malaikat kasih sayang, dan malaikat azab melaknatnya sehingga dia pulang.” [HR Al-Bazzar]

 

Berbeza pula jika suami tidak memberikan amanah khusus ketika keluar rumah, apabila isteri keluar rumah untuk rutin yang sudah dimaklumkan, dan suami memang sudah mengizinkannya, dia tidak perlu meminta izin pada suaminya setiap waktu. Contohnya, jika rutin isteri setiap pagi pergi ke pasar untuk membeli keperluan rumah tangga, mengajar, menghadiri majlis ilmu, dan sebagainya, sedangkan suami sudah tahu, memaklumkan, serta redha, isteri tidak perlu lagi meminta izin setiap pagi pada suaminya kerana sesungguhnya isteri sudah mendapatkan izin daripada suami.

 

Berbeza pula jika isteri ingin keluar rumah di luar rutin yang diketahui oleh suaminya. Contohnya, apabila isteri ingin keluar rumah untuk bersilaturahim ke rumah ahli keluarganya atau ke luar kota untuk urusan tertentu atau pergi berekreasi bersama keluarga dan teman-temannya. Isteri wajib memberitahu kepada suami dan meminta izinnya melalui telefon bimbit atau alat komunikasi lain.

 

Keempat, tidak menerima tetamu lelaki.

 

Apabila suami tiada di rumah dan tinggal berjauhan, seorang isteri tidak dibenarkan menerima tetamu lelaki, apatah lagi mempersilakan masuk ke dalam rumah. Kecuali jika tetamu tersebut adalah keluarga atau mahramnya sendiri, dan suami maklum akan perkara tersebut serta meredhai. Atau ada uzur syarak seperti membetulkan saluran air dan keperluan yang sangat penting di dalam rumah.

 

Sebagaimana hadis,”Tidak halal bagi seorang wanita untuk berpuasa sunat padahal suaminya bersamanya, kecuali jika suaminya mengizinkan. Dan janganlah wanita itu mengizinkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali atas izin suaminya juga.” [HR Bukhari Muslim]

 

“Hak kalian ke atas isteri adalah bolehnya melarang isteri untuk mempersilakan orang yang kalian tidak suka untuk tidur di ranjang kalian (menginap) dan hendaklah isteri kalian tidak mengizinkan orang yang kalian tidak sukai untuk masuk ke dalam rumah kalian.” [HR Tirmizi]

 

Kelima, menjaga kehormatan diri.

 

Apabila suami tidak bersama, seorang isteri wajib menjaga kehormatan diri dari segala yang buruk, terutamanya jika hal itu mendekati perzinaan. Termasuklah dalam hal ini adalah larangan berhias yang berlebihan saat keluar rumah, bergurau berlebihan dengan kawan atau rakan kerja lelaki, keluar rumah untuk tujuan yang tidak terlalu penting, apalagi di malam hari.

 

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa ayat 34 yang bermaksud, “Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana  Allah telah memelihara (mereka).”

 

Al-Imam Ath-Thobari menjelaskan tafsir kata ‘حَافِظَاتٌ’ dalam ayat di atas sebagai, “Wanita-wanita yang menjaga diri mereka ketika suami mereka tidak bersama mereka, yakni menjaga kemaluan dan harta suami, serta menjaga hak Allah yang diwajibkan atas mereka dalam hal tersebut mahupun selainnya.” [Tafsir Ath-Thabari, 8/295]

 

Keenam, menjaga harta suami.

 

Selain menjaga kehormatan dirinya, semasa tinggal berjauhan dengan suami, isteri juga wajib menjaga amanah suami berupa harta yang diamanahkan kepadanya. Seorang isteri hendaklah membelanjakan harta suami dengan cara yang makruf, dan tidak berlebihan atau di luar keperluan kecuali dengan keizinan suaminya.

 

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulllah SAW bersabda, “Sebaik-baik wanita ialah jika kau pandang dia menyenangkanmu, jika kau perintah dia mentaatimu, jika kau tinggalkan dia menjagamu dalam hal harta, dan menjaga dirinya.” [HR Ahmad dan An-Nasa’i]

 

Ketujuh, saling mendoakan.

 

Ketika kita berjauhan dengan pasangan, hendaklah kita mendoakannya. Intinya, saling mendoakan merupakan hal yang penting dalam hubungan jarak jauh pasangan suami isteri. Dengan doa yang tulus, agar Allah SWT memberi keselamatan kepada keluarga kita dan kelapangan rezeki bagi keluarga kita, maka setidaknya hal ini akan memberikan ketenangan kepada kedua-dua belah pihak.

 

Kekuatan doa dari isteri merupakan senjata terbesar dan terampuh dalam setiap langkah dan usaha suami. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” [HR Tirmidzi]

 

Khatimah

 

Ketika mana kehidupan perkahwinan harus dijalani sebagai hubungan jarak jauh antara suami dan isteri, maka dituntut untuk saling redha antara kedua-duanya. Walau bagaimanapun, seluruh kewajipan dan hak-hak pasangan mestilah kita tunaikan dengan baik.

 

Demikian sempurnanya Islam mengatur kehidupan umatnya, termasuk kehidupan rumah tangga. Dengan tuntunan ini, kehidupan rumah tangga manusia akan tetap terjaga, para isteri dan anak-anak pun tetap terjaga dan dilindungi kehormatannya meskipun sang suami tidak berada di dekatnya.

 

Tentu saja menuntut kesabaran dan tawakal dalam menjalaninya. Alangkah baiknya ketika saat berjauhan dengan pasangan, kita jadikan sebagai satu peluang untuk semakin mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan banyak melakukan ibadah sunnah. Agar hati ini akan selalu diselimuti keikhlasan dan ketenteraman sekalipun kita berjauhan dengan pasangan. Amin. Wallahu’alam bissawab.

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version