Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah (Bahagian 1/3)

[Mafahim Islamiyyah] Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah (Bahagian 1/3)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Fardhu (wajib) secara syarak–dilihat daripada orang-orang yang dibebani atasnya kewajipan—terbahagi kepada dua bahagian, iaitu fardhu ain (kewajipan personal) dan fardhu kifayah (kewajipan kolektif).

 

Fardhu ain adalah perkara yang Allah SWT,  Sang Pembuat Hukum telah menuntut pelaksanaannya dengan tuntutan yang tegas daripada setiap individu mukalaf. Dengan demikian, fardhu ain tidak cukup dilaksanakan oleh sebahagian orang, sedangkan orang yang lain tidak melakukannya. Di antara contoh fardhu ain adalah solat, puasa, menepati janji, dan lain-lain.

 

Adapun fardhu kifayah adalah perkara yang Allah SWT telah menuntut pelaksanaannya dengan tuntutan yang tegas daripada sekelompok orang-orang mukalaf. Apabila salah seorang atau sebahagian daripada mereka telah melaksanakannya sesuai dengan yang dituntut, maka gugurlah dosa itu daripada mereka yang lain. Namun, apabila tidak ada seorang pun yang menegakkannya, maka semua orang mendapat dosa. Di antara contoh fardhu kifayah adalah jihad fi sabilillah, mendirikan Khilafah Islamiyah, menyembahyangkan dan mengebumikan mayat, dan lain-lain.

 

Hakikat Fardhu Kifayah

 

Sesungguhnya realiti fardhu kifayah itu berbeza dengan realiti fardhu ain. Sebab, fardhu ain dituntut daripada setiap mukalaf, seperti solat dan berhaji. Keduanya merupakan aktiviti yang sanggup dilaksanakan oleh seorang mukalaf. Dia mampu berdiri, rukuk, dan sujud dalam melaksanakan solat. Dia juga mampu tawaf dan wukuf di Arafah dalam melaksanakan haji.

 

Oleh kerana itu, seorang mukalaf tidak dibolehkan bekerjasama dengan orang lain dalam melaksanakan solat. Misalnya, si mukalaf hanya berdiri dan membaca bacaan solat, sedangkan temannya melaksanakan rukuk dan sujud. Kewajipan solat belum gugur daripada si mukalaf apabila dia baru melaksanakan sebahagian atau beberapa bahagian darinya tanpa bahagian-bahagian yang lain.

 

Begitu juga tawaf atau wukuf di Arafah yang merupakan fardhu-fardhu haji tidak boleh dibahagi-bahagi pelaksanaannya. Puasa syarie seseorang juga tidak boleh dibahagi-bahagi pelaksanaannya. Jadi, fardhu ain wajib dilaksanakan oleh mukalaf dengan melaksanakan keseluruhannya seperti yang telah diperintahkan Allah Taala. Fardhu ain ini dituntut pelaksanaannya daripada setiap individu mukalaf dengan melaksanakan semua bahagiannya. Oleh kerana itulah kewajipan ini dinamakan fardhu ain.

 

Adapun fardhu kifayah, apabila sebuah kewajipan telah dilaksanakan oleh sebahagian mukalaf atau oleh salah seorang daripada mereka, maka fardhu itu telah terealisasi, baik dilaksanakan oleh semua mukalaf atau oleh sebahagian mereka. Apabila sejumlah mukalaf belum berjaya melaksanakan fardhu tersebut, maka fardhu itu tetap menjadi wajib atas setiap mereka hingga fardhu itu terealisasi.

 

Realiti fardhu kifayah lebih umum. Setiap fardhu kifayah menuntut sekelompok mukalaf, tetapi tidak menuntut seorang individu untuk melaksanakannya. Contohnya, fardhunya jihad, mendirikan negara Islam, mengemban dakwah, dan lain-lain. Sedikit sekali fardhu-fardhu kifayah yang boleh dilaksanakan oleh seorang individu mukalaf, seperti menyembahyangkan mayat, dan lain-lain.

 

Dengan demikian, fardhu jihad fi sabilillah adalah dengan mencurahkan kesanggupan dan kekuatan dalam peperangan di jalan Allah, baik secara langsung atau berupa pertolongan dengan harta, pendapat, memperbanyak golongan, atau yang lainnya. Peperangan mencakup semua jenis dan perlengkapannya, serta mencakup pengumpulan dana, perancangan, pembelian senjata, menyalakan keberanian, dan lain-lain.

 

Semua aktiviti tersebut tidak dituntut daripada setiap mukalaf kerana secara realiti, baik jumlah atau jenisnya, tidak berada dalam kemampuannya. Oleh kerana itu, jihad memerlukan kerjasama orang banyak dan setiap mukalaf melaksanakan aktiviti yang berada dalam kemampuannya. Ada yang bertugas membuat strategi di medan perang, menyalakan keberanian tentera, mengajarkan tsaqafah Islam kepada para tentera, dan ada juga yang berperang dengan roket, pesawat atau dengan senapang, dan seterusnya.

 

Setiap individu dan orang-orang yang bekerjasama dalam melaksanakan fardhu dengan aktivitinya dapat menggugurkan fardhu kifayah daripadanya, iaitu jihad fi sabilillah, walaupun dia tidak dapat melaksanakan semua aktiviti yang dapat mewujudkan fardhu itu. Sedangkan mengemban dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam adalah fardhu kifayah. Di dalamnya tercakup banyak perkara, seperti ijtihad, perekrutan, penulisan, pengkajian, pidato, berhubung dengan manusia, memuhasabah para penguasa, mencari pertolongan, dan lain-lain.

 

Aktiviti yang banyak dan beraneka jenis menyebabkan seorang mukalaf sukar untuk melaksanakan semuanya. Oleh kerana itu, setiap mukalaf hanya melaksanakan aktiviti yang telah dibebankan atasnya dari kumpulan aktiviti yang dia mampu melaksanakannya untuk melaksanakan fardhu tersebut. Dengan dilaksanakannya fardhu tersebut, bererti terealisasilah upaya melanjutkan kehidupan Islam, iaitu dengan menegakkan negara Khilafah.

 

Dari semua yang telah kami tuturkan tampak jelas bahawa fardhu kifayah pada realitinya berbeza dengan fardhu ain. Oleh kerana itu, tidak tepat apabila fardhu kifayah dikatakan, “Apabila fardhu kifayah belum berjaya dilaksanakan, maka fardhu kifayah itu menjadi fardhu ain”. Wajib difahami bahawa hakikat fardhu kifayah tidak berubah. Ini kerana melaksanakan fardhu kifayah pada umumnya memerlukan suatu kelompok.

 

Kebanyakan fardhu kifayah itu boleh dibahagi-bahagi. Dengan demikian, yang lebih utama dikatakan oleh fuqaha untuk menghilangkan kesamaran adalah, “Apabila sebahagian orang-orang mukalaf tidak berjaya dalam menegakkan fardhu kifayah, maka menjadi wajib atas setiap individu daripada mereka semua untuk beraktiviti melaksanakan fardhu kifayah itu sampai fardhu itu dapat terwujud”.

 

Jadi, apabila fardhu kifayah itu belum boleh ditegakkan oleh orang-orang yang telah melaksanakannya atau tidak ada seorang pun yang beraktiviti melaksanakannya, maka berdosalah setiap mukalaf yang tidak beraktiviti untuk melaksanakannya.

 

Namun, apabila ada seorang individu yang telah mampu melaksanakan fardhu kifayah, seperti menyembahyangkan janazah atau menyelamatkan orang yang tenggelam, maka sesungguhnya fardhu kifayah itu tidak berubah menjadi fardhu ain atas setiap individu, walaupun tidak ada seorang pun yang mahu melaksanakan fardhu kifayah itu.

 

Seterusnya menjadi wajib atas setiap mukalaf yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya agar dia melaksanakannya. Apabila ada seorang individu yang telah melaksanakan solat jenazah atas mayat, maka gugurlah solat ini daripada setiap mukalaf atau daripada semua mukalaf (yang dibebani) terhadap fardhu kifayah ini. Namun, apabila majoriti kaum muslim telah melaksanakan solat subuh, maka solat subuh itu tidak gugur daripada orang-orang mukalaf yang belum melaksanakannya.

 

Demikian itu jika dilihat dari satu sudut pandang. Adapun dari sudut pandang yang lain, sesungguhnya seruan Allah Sang Pembuat Hukum dalam fardhu kifayah ditujukan kepada jemaah orang-orang mukalaf. Fardhu kifayah itu akan gugur daripada mereka apabila mereka semua atau sebahagian daripada mereka telah melaksanakannya.

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #FardhuAin #FardhuKifayah

 

Exit mobile version