Site icon MuslimahHTM News

Pernikahan, Adakah Menjadi Taman Syurga atau Lubang Neraka?

Pernikahan, Adakah Menjadi Taman Syurga atau Lubang Neraka?

Penulis : Najmah Saiidah

 

“Perkahwinan tidak akan menjadi taman syurga melainkan dengan usaha dan sentuhan tangan kalian sendiri. Sebaliknya, ia tidak akan menjadi neraka melainkan akibat daripada perbuatan tangan kalian juga. Maka, pilihlah sendiri apa yang kalian inginkan daripada perkahwinan kalian, sama ada menjadi taman syurga atau menjadi lubuk neraka.” [Prof. Muhammad bin Rasyid al-Uwaid]

 

Allah SWT telah menjadikan makhluk ciptaanNya berpasang-pasangan dan menetapkan jodoh bagi setiap makhlukNya. Di samping itu, Allah SWT telah menganugerahkan kepada setiap manusia naluri melestarikan keturunan (gharizah nau’), dan kewujudan naluri ini dalam diri manusia menimbulkan daya tarikan terhadap berlawanan jenis. Justeru itu, Allah SWT menetapkan peraturanNya tentang cara memenuhi gharizah nau’ ini, iaitu melalui perkahwinan.

 

Intipati perkahwinan ialah saling memberikan ketenangan antara satu sama lain. Inilah anugerah yang diberikan oleh Allah kepada sepasang lelaki dan perempuan yang berkahwin, sehingga mereka menjadi suami isteri yang saling mencurahkan ketenteraman, ketenangan dan kasih sayang. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TMQ Ar-Ruum (30):21]

 

Hanya kehidupan perkahwinan yang melahirkan ketenteraman dan ketenangan bagi pasangan suami isteri serta seluruh ahli keluarga dan ia tidak terbentuk dengan sendiri. Ia perlu diusahakan oleh setiap ahli keluarga. Segalanya hanya akan tercapai apabila syariat Islam diterapkan dalam kehidupan berkeluarga.

 

Seorang suami sebagai ketua keluarga akan memberi nafkah, melindungi serta memelihara ahli keluarganya. Begitu juga halnya dengan isteri, kerana isteri merupakan ibu dan pengurus rumah tangga suaminya; maka dia bertanggungjawab mengasuh dan mendidik anak-anak, menjaga serta melayani suami dan anak-anaknya dengan sebaik-baiknya.

 

Islam Memerintahkan untuk Menjaga Keluarga dari Api Neraka dan Membawa ke Syurga

Apabila perkahwinan dimulakan dengan cinta kerana Allah SWT, meletakkan Allah SWT sebagai yang utama, serta menjadikan peraturanNya sebagai landasan dalam menjalani kehidupan, maka dapat dipastikan bahawa pasangan suami isteri tersebut akan berusaha menjalani kehidupan rumah tangga mereka mengikut panduan Allah SWT, al-Khaliq al-Mudabbir. Kehidupan perkahwinan mereka bukan semata-mata berorientasikan dunia, tetapi juga bertujuan untuk meraih kebahagiaan akhirat yang abadi. Oleh itu, keberkatan dalam perkahwinan akan terhasil.

 

Allah SWT memerintahkan agar setiap keluarga Muslim sentiasa memelihara diri dan ahli keluarganya daripada api neraka. Inilah tanggungjawab yang mesti diusahakan oleh setiap keluarga Muslim, terutamanya oleh ibu dan bapa. Allah SWT berfirman dalam Surah at-Tahrim, ayat 6:

 

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”[TMQ at-Tahriim (66):6]

 

Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan setiap orang yang beriman agar memelihara diri mereka daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, dengan cara mentaati dan mematuhi segala perintah Allah SWT. Mereka juga diperintahkan untuk mendidik ahli keluarganya agar turut taat dan patuh kepada perintah Allah, demi menyelamatkan mereka daripada seksaan api neraka. Keluarga merupakan amanah yang wajib dipelihara kesejahteraannya, sama ada dari segi jasmani mahupun rohani.

 

Secara umumnya, sasaran ayat ini ditujukan kepada setiap orang mukmin. Namun begitu, perintah ini juga ditujukan secara khusus kepada individu yang paling bertanggungjawab terhadap keluarga, iaitu bapa. Ketua keluarga berkewajipan untuk memastikan dirinya dan keluarganya terpelihara daripada api neraka. Hal ini menunjukkan bahawa tanggungjawab penjagaan tersebut bukan sekadar bersifat duniawi, tetapi juga bersifat ukhrawi (akhirat).

 

Dalam ayat lain, turut ditegaskan bahawa hubungan persahabatan yang sempurna antara suami dan isteri yang dibina atas dasar iman akan membawa kedua-duanya ke syurga Allah SWT. Hal ini digambarkan dalam Surah az-Zukhruf, ayat 70:

 

ٱدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ أَنتُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ تُحۡبَرُونَ
“Masuklah kamu ke dalam syurga, bersama isteri-isteri kamu (yang beriman) dengan menikmati sepunuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.”[TMQ az-Zukhuf (43):70]

 

Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini, “Udkhulul jannah” (masuklah kamu ke dalam syurga) bermaksud dikatakan kepada mereka, “Masuklah kamu semua ke dalam syurga.” “Antum wa azwajukum” (kamu dan isteri-isteri kamu), bermaksud pasangan-pasangan kamu. “Tuhbarun” (digembirakan) bermaksud kamu bergembira, iaitu kamu menikmatinya, bersuka ria dan berbahagia.

 

Penafsiran ayat ini sebenarnya telah dibincangkan dalam Surah ar-Ruum, ayat 15:
فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَهُمْ فِى رَوْضَةٍۢ يُحْبَرُونَ
“Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka mereka ditempatkan di taman (syurga) dalam keadaan bergembira.” [TMQ Ar-Ruum (30):15]

 

Jika kita kaitkan kedua-dua ayat ini, suami dan isteri yang beriman dan beramal soleh, merekalah yang akan dimasukkan ke taman syurga yang penuh dengan kegembiraan.

 

Imam Ash-Shabuni dalam kitabnya Shofatut Tafasir menafsirkan ayat ini, bahawa Allah SWT berfirman kepada mereka: “Masuklah kamu dan wanita-wanita mukminah kamu (isteri-isteri kamu yang beriman) ke dalam syurga. kalian semua akan memperoleh kenikmatan di dalamnya dan bergembira dengan kegembiraan yang terpancar daripada wajah-wajah kamu.”

 

Dalam tafsir lain dijelaskan, kemudian kedengaran pula seruan berikutnya, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dan isteri-isteri kamu ke dalam syurga yang telah dijanjikan kepada kamu sejak dahulu. Bergembiralah dan bersenang-senanglah di dalamnya, menikmati kurniaan Allah SWT yang telah dilimpahkan kepada kamu semua. Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan mereka dengan memasukkan mereka ke dalam syurga.”

 

Dalam Surah At-Tuur ayat 21, menjelaskan bahawa orang-orang yang beriman bersama dengan isteri dan anak cucu mereka yang turut beriman akan ditinggikan darjat mereka di dalam syurga, seperti darjat keturunan mereka yang teguh dan kukuh imannya.

 

Lebih daripada itu, terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa sekiranya sesuatu perkahwinan dijalani mengikut petunjuk Allah SWT dan RasulNya, maka ia akan membawa kepada syurgaNya. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda:

 

“Jika seorang perempuan sentiasa menjaga solat lima waktunya, berpuasa sebulan (pada bulan Ramadhan), memelihara kemaluannya (daripada perbuatan zina), dan benar-benar taat kepada suaminya, maka akan dikatakan kepada perempuan yang memiliki sifat-sifat mulia ini: ‘Masuklah ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang engkau suka.’”[HR Ahmad dan Ibnu Hibban]

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ
“Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha terhadapnya, maka dia akan masuk ke dalam syurga.” [HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah]

 

Mentaati suami akan membawa kepada keredhaan suami, dan apabila suami redha, maka hal itu akan membawa para isteri ke syurga. Maha Adilnya Allah SWT, Dia bukan sahaja menyediakan syurga untuk para isteri, bahkan turut menyediakannya untuk para suami. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik antara kamu terhadap keluargaku.”[HR At-Tirmizi]

 

Rasulullah SAW bersabda: “Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah, dinar yang kamu berikan kepada seorang hamba wanita, dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin, dan dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu — maka yang paling besar ganjaran pahalanya ialah dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.” [HR Muslim]

 

Daripada nas-nas ini, sama ada daripada Al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, maka amat jelas bahawa Islam memerintahkan kita untuk menjauhkan keluarga kita daripada api neraka dan mendekatkan serta membimbing mereka menuju ke syurga Allah SWT. Ini bermakna, perkara ini wajib diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh setiap keluarga Muslim agar keluarga itu menjadi taman syurga bagi kita dan seluruh ahli keluarga. Hal ini hanya akan dapat direalisasikan apabila setiap keluarga Muslim menerapkan hukum-hukum Islam dalam kehidupan rumah tangga mereka, menjadikan peraturan Islam sebagai landasan dalam mengemudi bahtera rumah tangga merentasi lautan kehidupan.

 

Apakah yang perlu dilakukan agar keluarga kita Menjadi Taman Syurga?

 

Ayah dan ibu memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa keluarga mereka menuju ke syurga Allah SWT serta menghindari keluarganya daripada seksaan api neraka, dan seterusnya menjadikan keluarga itu sebagai taman syurga bagi seluruh ahli keluarganya. Hal ini pastinya dapat dicapai dengan sentiasa membaiki diri serta mendidik anak-anak dengan tsaqafah dan pemahaman Islam. Jika keluarga, sekolah dan masyarakat merupakan tunjang-tunjang pendidikan yang asas, maka keluarga adalah pihak yang paling awal memberikan pengaruh utama.

 

Keluarga mempunyai peranan yang strategik dalam proses pendidikan anak-anak, bahkan umat manusia, keluarga mempunyai pengaruh yang lebih kuat berbanding unsur-unsur lain, kerana sejak awal kehidupan, seseorang manusia lebih banyak menerima pengaruh daripada keluarganya. Hal ini demikian kerana masa yang dihabiskan bersama keluarga adalah lebih banyak berbanding di tempat-tempat lain. Pada hakikatnya, pendidikan dalam keluarga merupakan pendidikan sepanjang hayat.

 

Begitu pentingnya pembinaan dan pendidikan Islam dalam keluarga sehingga pendidikan anak sejak awal usia dalam keluarga akan tertanam dengan kukuh dalam diri seorang anak. Hal ini kerana pengalaman hidup pada peringkat awal usia manusia akan membentuk ciri-ciri khas yang mungkin tidak dapat diubah selepas tempoh tersebut. Oleh itu, amat penting bagi ibu bapa untuk menanamkan pemahaman Islam sebagai asas utama kepada anak-anak, yang akan menjadi bekalan bagi mereka dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan.

 

Ternyata amat jelas bahawa kita semua—keluarga Muslim—sangat menentukan sama ada keluarga kita akan dibawa menuju syurga Allah SWT atau sebaliknya. Begitu juga, kitalah yang akan membentuk kehidupan rumah tangga kita sebagai taman syurga bagi setiap ahli keluarganya. Sudah tentu kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mencapainya, dengan menjadikan akidah dan syariat Islam sebagai landasan dalam menjalani kehidupan perkahwinan. Maka, bagaimanakah kita berusaha untuk merealisasikannya?

 

Pertama, asas utama bagi perkahwinan yang kita jalinkan ialah akidah Islam, bukannya manfaat atau kepentingan tertentu. Dengan menjadikan Islam sebagai landasan, maka apa sahaja yang berlaku dalam keluarga tersebut akan dikembalikan kepada Islam semata-mata.

 

Kedua, adanya visi dan misi yang sama antara suami dan isteri mengenai hakikat serta tujuan hidup dan berkeluarga dalam Islam, iaitu untuk meraih keredhaan Allah SWT. Apabila Allah SWT redha, maka syurga akan merangkul kita.

 

Ketiga, memahami dengan tepat fungsi dan kedudukan masing-masing dalam keluarga serta berusaha sedaya upaya melaksanakannya mengikut panduan Allah SWT dan RasulNya.

 

Keempat, menjadikan Islam dan syariatnya sebagai penyelesaian bagi setiap permasalahan yang timbul dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram dijadikan sebagai landasan dalam membuat keputusan, bukannya hawa nafsu.

 

Kelima, menyuburkan amalan amar makruf nahi mungkar dalam kalangan anggota keluarga agar seluruh ahli keluarga sentiasa berada di landasan Islam.

 

Keenam, menghiasi rumah dengan membiasakan diri melakukan amalan-amalan sunat, seperti membaca Al-Quran, bersedekah, mengerjakan solat sunat dan sebagainya.

 

Ketujuh, sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT dan bersabar dalam apa jua keadaan. Kekuatan doa seorang ibu untuk anak-anaknya mampu mengetuk pintu langit, sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadisnya, termasuk dalam kalangan doa yang mudah dimakbulkan oleh Allah SWT. Seharusnyalah lidah kita sentiasa dihiasi dengan doa-doa yang baik untuk anak-anak kita.

 

Sesungguhnya apa jua doa yang kita panjatkan dengan penuh keyakinan, dengan izin Allah SWT akan dimakbulkan. Aamiin.

 

Kesimpulan

 

Institusi keluarga yang dibina atas dasar akidah dan syariat Islam benar-benar mampu mewujudkan ketenangan, ketenteraman, keadilan dan rasa aman. Suami isteri hidup berdampingan, saling menyayangi dan mendidik, saling menasihati dan menguatkan, serta berusaha mengemudi bahtera keluarga seperti dua orang sahabat sejati yang sentiasa berkongsi suka dan duka.

 

Kedua-duanya membina dan mendidik anak-anak dengan berlandaskan akidah Islam serta menyelesaikan pelbagai permasalahan yang melanda keluarga berasaskan syariat Islam. Dengan izin Allah SWT, mereka akan mampu membawa keluarga menuju syurga Allah SWT, menjadikan keluarga kita sebagai taman syurga, dan semakin menjauh daripada jurang neraka.

 

Oleh itu, menjadi suatu kewajipan bagi kita semua, pasangan suami isteri, untuk berusaha sedaya upaya tanpa mengenal penat lelah terus belajar tentang Islam dan memahami dengan tepat bagaimana Islam sebagai ad-Din yang sempurna mengatur kehidupan kita, termasuk dalam urusan berkeluarga. Dengan bekalan ini, insyaAllah kita akan mampu membawa keluarga kita menuju syurgaNya. Aamiin.

#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

 

 

 

 

Exit mobile version