Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah (Bahagian 2/3)


[Mafahim Islamiyyah] Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah (Bahagian 2/3)

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

Firman Allah SWT, “Dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya. …” [TMQ At-Taubah (9): 36].

Juga firman-Nya, “Dan berperanglah kamu sekalian di jalan Allah. …” [TMQ Al-Baqarah (9): 244].

Telah datang dalil-dalil lain yang menjelaskan bahawa maksud seruan ini adalah fardhu kifayah, bukan fardhu ain. Ini seperti firman Allah SWT, “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” [TMQ At-Taubah (9): 122].

Ayat ini menunjukkan bahawa sesungguhnya jihad dan menuntut ilmu merupakan fardhu kifayah. Begitu juga aktiviti Nabi SAW, sesungguhnya beliau SAW—seperti yang terdapat dalam sirah—memimpin perang sendiri. Kadang-kadang beliau SAW mengutus orang lain menjadi panglima perang atau beliau mengambil secukupnya daripada pasukan tentera dengan sebahagian kaum muslim tanpa sebahagian yang lain.
Adapun seruan Allah SWT dalam fardhu ain walaupun ditujukan kepada semua orang mukalaf sebagaimana seruannya dalam fardhu kifayah, maka terdapat dalil-dalil lain yang menjelaskan wajibnya fardhu ain ini atas setiap individu mukalaf.

Allah SWT berfirman, “Dan dirikanlah solat.”

Rasulullah SAW telah menjelaskan dengan sabda-sabda dan perbuatan-perbuatan beliau bahawa solat adalah fardhu ain. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya pembeza lelaki, antara syirik dan kufur adalah meninggalkan solat.” (HR Muslim, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah, dan Ahmad dari Jabir).
Allah SWT berfirman, “Telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 183].

Kemudian Allah SWT berfirman, “Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya pada hari-hari yang lain. …” [TMQ Al-Baqarah (2): 185].

Ayat di atas menjelaskan bahawa sesungguhnya maksud dari puasa adalah fardhu ain, bukan fardhu kifayah.

Kepentingan Melaksanakan Fardhu Kifayah

Sesungguhnya realiti fardhu kifayah itu menunjukkan atas kepentingan pelaksanaannya kerana merupakan kewajipan bagi semua umat Islam. Apabila fardhu kifayah itu tidak dapat terealisasi, mereka akan terkena sesuatu yang menyakitkan dan dosa. Oleh kerana itu, seruan Allah SWT dalam fardhu kifayah ditujukan kepada semua mukalaf yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya. Dengan demikian, mereka semua akan melaksanakannya secara berkelompok dan saling bahu membahu.

Fardhu kifayah tidak gugur pada seorang pun daripada mereka, kecuali apabila semua atau sebahagian mereka telah menegakkannya. Apabila sebahagian mereka tidak mampu menegakkannya, maka sebahagian yang lain berdosa. Apabila tidak ada seorang pun yang melaksanakannya, maka berdosalah mereka semua.

Jihad fi sabilillah adalah fardhu kifayah. Dengan jihad, terpeliharalah institusi negara Islam, terpeliharalah harta benda dan jiwa-jiwa rakyatnya, serta Islam dapat tersebar kepada seluruh manusia. Sebaliknya tanpa jihad, ketamakan dalam negara merajalela sehingga dapat menghancurkan negara. Kemudian harta kekayaannya dirompak, kehormatan-kehormatannya dicabul, dan perbatasan Islam dibuka. Akibatnya, menerapkan dan menyampaikan Islam kepada semua manusia menjadi sukar.

Allah SWT berfirman, “Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya untuk Allah.” [TMQ Al-Baqarah (2): 193].

Menegakkan Khilafah adalah fardhu kifayah. Dengan Khilafah, agama terpelihara sehingga hukum-hukum agama dapat diterapkan untuk memelihara urusan rakyat hingga terwujudlah keadilan dan keamanan.

Dengan Khilafah juga, Islam diemban ke seluruh penjuru dunia melalui jihad supaya manusia keluar dari gelap gelita kekufuran menuju terang benderangnya Islam. Dengan Khilafah, kaum muslim dapat bersatu padu sehingga mereka memiliki daya kekuatan dan menjadi pusat pemerintahan di dunia. Sebaliknya, tanpa adanya Khilafah, keadaan kaum muslim—seperti keadaan mereka sekarang—menjadi institusi-institusi yang lemah dan tercerai-berai akibat diterapkannya hukum-hukum kufur terhadap mereka.

Mereka tunduk kepada negara-negara kafir, dipergunakan oleh makhluk Allah yang paling hina, tempat-tempat sucinya dirampas, dan dipaksakan syarat-syarat yang menyimpang ke atas mereka. Berdiam diri terhadap kewajipan menegakkan Khilafah adalah salah satu maksiat terbesar. Bahkan Rasulullah SAW telah menyamakannya dengan kufur dan syirik melalui sabdanya, “Dan siapa saja mati sedangkan pada lehernya tidak ada baiat, maka dia mati secara jahiliah.”

Mendirikan Khilafah adalah fardhu terbesar. Sebab, pada Khilafah bergantung banyak fardhu yang lain, seperti menjaga perbatasan negara, memelihara urusan umat, melaksanakan berbagai had (hukuman), dan mengemban dakwah ke seluruh manusia.


Pentingnya fardhu kifayah ini datang dari keberadaannya sebagai aktiviti-aktiviti yang menjadi tuntutan masyarakat Islam untuk mengatur keadaannya, menjaga keberlangsungan masyarakat Islam, dan memelihara negara Islam agar tetap menjadi negara Islam. Dengan tidak adanya fardhu kifayah seperti di atas, semua kaum muslim akan tertimpa sesuatu yang menyakitkan. Kewujudan mereka akan runtuh, negara mereka roboh hingga berganti menjadi negara kufur.

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

#MafahimIslamiyyah #FardhuAin #FardhuKifayah #TegakKhilafah #DakwahIslamKaffah

Exit mobile version