Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah (Bahagian 3/3)

[Mafahim Islamiyyah] Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah (Bahagian 3/3)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

Kontradiksi Fardhu Kifayah dengan Fardhu Ain

 

Kadang-kadang berlaku kontradiksi oleh seorang mukalaf antara pelaksanaan fardhu kifayah dengan fardhu ain ketika keduanya diwajibkan pada waktu yang sama. Jika hal itu terjadi, hendaknya kita memperhatikan perkara-perkara berikut.

 

Pertama, apabila tiap-tiap fardhu kifayah dan fardhu ain dituntut pelaksanaan keduanya daripada seorang mukalaf pada waktu yang sama dan melaksanakan fardhu kifayah tersebut tidak boleh sempurna, kecuali dengan individu mukalaf itu, maka dia hendaklah meninggalkan fardhu ain dan beraktiviti melaksanakan fardhu kifayah. Dalilnya adalah riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa sesungguhnya baginda bersabda dalam perang Ahzab, “‘Demi Allah, aku belum melaksanakan solat itu.’ Kami lalu berdiri menuju Buthhan (Buthhan adalah sumber air di Madinah). Kemudian Nabi SAW berwuduk untuk solat dan kami pun berwuduk. Nabi SAW melaksanakan solat Asar setelah matahari terbenam, lalu melaksanakan solat maghrib setelahnya.” (HR Bukhari daripada Jabir).

 

Jadi, Nabi SAW telah meninggalkan fardhu ain, yakni solat Asar pada waktunya. Nabi SAW menyibukkan dirinya dengan jihad fi sabilillah yang merupakan fardhu kifayah. Alasan Nabi SAW tersirat dalam sabdanya, “Mereka telah menyibukkan kami dari solat wustha, iaitu solat Asar. Semoga Allah memenuhi rumah-rumah dan kubur-kubur mereka dengan api.” (HR Muslim daripada Ali).

 

Kedua, apabila seorang mukalaf menduga kuat terhadap fardhu kifayah bahawasanya dia mampu untuk melaksanakan fardhu ain di tengah kesibukannya dalam melaksanakan fardhu kifayah dan pelaksanaan fardhu ain tidak mempengaruhi aktivitinya untuk melaksanakan fardhu kifayah, maka dia wajib melaksanakan fardhu ain pada waktunya yang terbatas tersebut. Kemudian dia dapat meneruskan kesibukannya dalam melaksanakan fardhu kifayah.

 

Adapun dalilnya adalah apa yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW setelah baginda kembali dari Perang Ahzab. Baginda SAW bersabda, “Ingat, sungguh janganlah ada seorang pun yang melaksanakan solat Asar, kecuali di Bani Quraidzah.”

 

Sebahagian sahabat menjumpai waktu Asar di perjalanan. Sebahagian daripada mereka lalu berkata, “Kami tidak akan solat sehingga sampai di Bani Quraidzah.” Sebahagian yang lain berkata, “Biarkan kami solat. Nabi tidak menghendaki kami meninggalkan solat.” Kemudian kelompok sahabat pertama melaksanakan solat Asar di Bani Quraidzah dengan qada’ setelah habis waktunya. Ini dilakukan sebagaimana Nabi SAW telah mengerjakannya pada Perang Ahzab.

 

Adapun kelompok kedua, mereka melaksanakan solat Asar pada waktunya sebelum mereka tiba di Bani Quraidzah. Mereka telah memperhitungkan bahawa kesibukkan mereka melaksanakan solat Asar yang merupakan fardhu ain tidak mempengaruhi terhadap pelaksanaan mereka terhadap fardhu kifayah. Mereka perlu datang ke Bani Quraidzah dengan tiba-tiba, lalu menyerang dan memerangi mereka (fii sabilillah). Nabi SAW benar-benar telah menetapkan kebenaran setiap kelompok atas ijtihadnya.”

 

Sahabat telah memahami hukum mendahulukan fardhu kifayah atas fardhu ain. Apabila seorang mukalaf tidak berkesempatan melaksanakan fardhu ain kerana kesibukannya melakukan fardhu kifayah, maka telah datang dalam Shahih Bukhari daripada Anas RA, dia berkata, “Aku pernah ikut hadir ketika menggempur benteng Tustur—sebuah kota di Kurasan—ketika fajar bersinar terang dan peperangan pun makin berkecamuk. Mereka tidak kuasa melaksanakan solat Subuh, maka kami tidak melaksanakannya, kecuali pada siang harinya. Kami melaksanakan solat Subuh dengan qada’, sedangkan kami bersama Abu Musa RA..”

 

Kontradiksi Antara Fardhu Kifayah

 

Apabila terjadi kontradiksi antara melaksanakan dua fardhu kifayah pada satu waktu oleh seorang mukalaf, maka dia hendaklah bersegera melaksanakan fardhu yang dapat merealisasikan mashalih syar’iyah yang lebih banyak bagi kaum Muslim berbanding fardhu lainnya.

 

Dalilnya adalah aktiviti sahabat ketika Rasulullah SAW wafat. Mereka sibuk mengangkat khalifah (pengganti) bagi Nabi SAW dan mengakhirkan proses pengebumian Nabi SAW sampai dua malam, padahal mereka mampu untuk mengebumikannya dengan kadar segera. Kedua kesibukan mereka ini merupakan fardhu kifayah, tanpa adanya seorang pun daripada mereka yang ingkar, padahal mereka mampu untuk ingkar. Hal ini menunjukkan atas ijmak mereka (sahabat), sedangkan ijmak sahabat adalah dalil syarak.

 

Situasi seperti ini juga menunjukkan bahawa sesungguhnya mengangkat khalifah bagi kaum Muslim adalah lebih wajib daripada mengebumikan mayat. Ini kerana keberadaan khalifah diperlukan untuk menegakkan dan memelihara agama, seperti melaksanakan berbagai had, mengurusi berbagai urusan, dan memberangkatkan tentera. Semua itu lebih wajib daripada mengebumikan mayat yang merupakan salah satu hukum agama.

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

Exit mobile version