3/4 PENDUDUK DUNIA MUAK TERHADAP POLITIKUS. ADAKAH DEMOKRASI SUDAH BASI?!
Oleh: Ustaz Arief B Iskandar
Tiga perempat penduduk dunia dikatakan sudah muak dengan politikus.
Mengejutkan? Tentu sahaja tidak. Bagaimana mungkin masyarakat tidak merasa muak. Hakikatnya, demokrasi yang digembar-gemburkan sebagai “sistem terbaik” sebaliknya melahirkan generasi politikus yang sibuk melayani kepentingan oligarki, bukan kepentingan rakyat.
Demokrasi kononnya “dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”. Namun realitinya, demokrasi itu “dari elit, oleh elit, untuk elit”. Rakyat hanya menerima sisa debu. Bahagian besarnya dinikmati oleh para pemilik modal.
Ketika dunia digoncang krisis kepercayaan terhadap demokrasi, Islam sejak 14 abad lalu telah memberi peringatan tegas: jangan jadikan hawa nafsu manusia sebagai penentu hukum. Firman Allah SWT:
﴿إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ﴾
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” [TMQ Yusuf (12): 40]
Bagaimana pula dengan demokrasi? Demokrasi meletakkan kedaulatan (hak membuat undang-undang) di tangan manusia. Maksudnya, rakyat dipaksa menerima hukum buatan manusia yang sarat dengan kepentingan atau berpaksikan hawa nafsu. Maka, rasa muak itu sememangnya wajar. Kerana, sistem itu telah rosak dari asasnya.
Rasulullah ﷺ telah memberi amaran bahawa jika kekuasaan diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran. Sabda baginda ﷺ:
«إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ»
“Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancurannya.” (HR. al-Bukhari).
Bukankah ini gambaran demokrasi hari ini? Politikus menduduki jawatan bukan kerana kapasiti, tetapi kerana modal besar, imej dan permainan politik. Sedangkan rakyat hanya dijadikan bahan komoditi setiap kali pilihan raya.
Lebih melucukan, demokrasi masih dipertahankan walaupun terbukti gagal. Malah, demokrasi terus diagungkan dan dipuja bagaikan berhala moden. Sungguh ironi!
Islam sebaliknya menawarkan penyelesaian: sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yang menegakkan hukum-hukum Allah SWT secara menyeluruh dan melayani umat, bukan melayani segelintir elit. Khalifah dalam Islam adalah pelayan umat, baik Muslim mahupun non-Muslim, bukan pelayan para pemodal. Rasulullah ﷺ bersabda:
«الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ»
“Imam (pemimpin) adalah pengurus rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawapan atas rakyat yang dia urus.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Jadi, jangan hairan jika demokrasi membuat rakyat muak. Justeru, yang pelik adalah umat Islam yang masih terpedaya dan meletakkan harapan pada sistem demokrasi. Sedangkan Islam mempunyai sistem pemerintahan sendiri (Khilafah Islam) yang telah terbukti lebih 13 abad memimpin dunia dengan keadilan.
Justeru, jika mahu menghapus rasa muak itu, jangan hanya menggantikan politikusnya, tetapi juga sistem politiknya. Dari demokrasi yang rapuh menuju Khilafah Islam yang kukuh. Hanya dengan kembali kepada hukum-hukum Allah-lah, janji kemenangan dan keberkatan akan terwujud.
Allah SWT berfirman:
﴿وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا﴾
“dan Dia akan menguatkan serta mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)” [TMQ An-Nuur (24): 55]
WalLaahu a’lam.
Sumber: https://www.facebook.com/61556340334950/posts/122251459994211344/?rdid=Wv1OdXpH3rycCj2K#

