[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 10
Masalah 9 : Kerap mengugut dengan perceraian.
Apabila berlaku masalah, hatta masalah kecil sekalipun dalam rumah tangga, ada pasangan yang suka mengugut dengan perceraian atau mengungut untuk merampas hak penjagaan anak-anak.
Relfeksi:
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga perkara; yang seriusnya dianggap benar-benar serius, dan yang dijadikan gurauan pun tetap dianggap serius, iaitu nikah, talak dan rujuk.” (Diriwayatkan oleh Al-Arba‘ah kecuali An-Nasa’i. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Sahih Abu Dawud no. 2194).
Ibnu Qudamah rahimahullah berkata: “Talak dengan ucapan yang jelas tidak memerlukan niat. Bahkan talak tetap jatuh hanya dengan sekadar ucapan, walaupun tanpa niat menjatuhkan talak. Dalam hal ini tidak ada khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan ulama.”
(Al-Mughni, 7/397).
Ucapan cerai tidak sepatutnya mudah dilafazkan oleh suami atau isteri yang takut kepada Allah SWT, bahkan tidak wajar terlintas di hati orang beriman tanpa alasan yang benar-benar kukuh. Lebih-lebih lagi bagi seorang suami yang memegang kuasa talak. Pasangan suami isteri hendaklah memahami bahawa ikatan perkahwinan adalah mîthâqan ghalîzâ, iaitu perjanjian yang amat kukuh, yang wajib dihormati dan dipelihara kerana Allah. Oleh itu, tidak sepatutnya seorang suami menjadikan perceraian sebagai ungkapan ugutan setiap kali berlaku pertengkaran atau semata-mata kerana enggan mengalah, apatah lagi jika hanya berpunca daripada perselisihan kecil. Sikap sedemikian adalah dangkal dan sombong.

