Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 4/12)

[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 4/12)

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

Semua asas dan keistimewaan Khilafah wajib untuk difahami dan dijelaskan kepada kaum Muslim pada hari ini. Dengan demikian, mereka mampu menghukumi atas negara manapun yang dianggapnya sebagai negara Islam dengan hukum yang benar. Kaum Muslim juga wajib untuk tidak tertipu oleh slogan-slogan dan nama-nama yang bertentangan dengan syarak.

Sesungguhnya metode Islam dalam penghukuman hanya satu, tidak berubah, dan tidak juga berbilang, walaupun situasi telah berubah dan abad telah berganti.

Allah SWT berfirman, “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam) kerana jalan-jalan yang lain itu memisahkan kamu daripada jalan Allah. Itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” [TMQ Al-An’am (6): 153].

Realiti Negara Islam pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafaur Rasyidin setelahnya merupakan standard syarak bagi realiti Negara Islam atau bukan Negara Islam. Kehidupan di mana kaum Muslim hidup di dalamnya adalah kehidupan Islam. Ini sebagai contoh bagi para pengemban dakwah untuk beraktiviti melangsungkan kehidupan Islam.

Oleh kerana itu apabila kehidupan seperti ini ada dalam salah satu di antara negara-negara yang mendakwa sebagai negara Islam, maka tidak akan ada lagi dakwah untuk melangsungkan kehidupan Islam (kerana keadaannya sudah sempurna). Hanya saja wajib beraktiviti untuk menggabungkan wilayah-wilayah Islam kepada Negara Islam ini.

Ini adalah realiti yang tidak ada kerana setiap negeri-negeri kaum Muslim yang ada kini adalah negara kufur (Darul Kufrin) dan penduduknya hidup secara tidak Islami. Dengan demikian, semuanya wajib beraktiviti untuk melangsungkan kehidupan Islam. Ini merupakan aktiviti yang dibangun oleh Rasulullah SAW sejak lebih daripada 14 abad yang lalu. Semua itu untuk mewujudkan Negara Islam.

Semua parti dan kelompok yang beraktiviti untuk melangsungkan kehidupan Islam hendaklah mengkaji kembali realiti yang hendak diubahnya dan jalan-jalan yang akan dilaluinya. Ini bagi mengukuhkan bahawa sesungguhnya jalan itu merupakan jalan syarie yang telah dilegalisasi oleh Rabbul ‘alamin melalui wahyu. Ini juga jalan yang telah ditempuh oleh Rasul-Nya, Muhammad SAW sehingga baginda berjaya mewujudkan awal kehidupan Islam di Madinah al-Munawwarah. Rasulullah SAW menegakkan Negara Islam atau negara Khilafah yang telah berumur selama lebih daripada 13 abad. Ini dengan tidak memandang tentang buruknya penerapan yang dilakukan oleh sebahagian para penguasa. Kaum Muslim pada abad-abad itu tidak menerapkan selain Islam dan tidak berhukum kepada selain Islam dalam urusan kehidupan mereka. Sesungguhnya negara mereka adalah negara Islam dan kehidupan mereka adalah kehidupan Islam dalam pandangan mereka dan dalam pandangan selain mereka.

Sebahagian ulama berkata, “… Dengan tidak memandang tentang negeri dan negara, maka masyarakat yang ada dalam negeri-negeri Islam adalah masyarakat Islam. Semua individunya terdiri daripada orang-orang Muslim. Mereka memeluk akidah Islam dan terikat oleh sebahagian hukum-hukum syarak, seperti ibadah-ibadah ritual, makanan dan minuman, sebahagian muamalah, dan lain-lain.”

Masyarakat Islam yang merupakan masyarakat khas—sebagai kehidupan Islam—tidak ada, kecuali dalam negara Islam. Ini kerana empat unsur pembentuknya, iaitu kumpulan pemikiran, perasaan, sistem, dan individu, keberadaannya mesti terdiri daripada satu jenis yang bersandar kepada satu akidah, iaitu akidah Islam. Sedangkan masyarakat yang ada di berbagai wilayah kaum Muslim adalah masyarakat bukan Islam dan bukan masyarakat yang khas. Sebab, pemikiran, perasaan, dan sistemnya merupakan campuran daripada Islam, kapitalisme, sosialisme, patriotisme, dan nasionalisme sehingga masyarakat tersebut tidak terdiri daripada satu warna.

Sesungguhnya setiap masyarakat dinamai sesuai nama negeri yang masyarakat itu hidup di dalamnya, seperti masyarakat Mesir, masyarakat Turki, dan masyarakat Iran. Sedangkan masyarakat yang khas dinamai dengan nama ideologi (mabda) yang diembannya dan dijadikan landasan hukum dalam semua urusan kehidupannya. Contohnya, masyarakat kapitalis, masyarakat komunis, dan masyarakat Islam yang para pengemban dakwah sekarang sedang berusaha untuk mewujudkannya dalam realiti kehidupan.

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah

#mafahimislamiyyah #negaraislam #darulislam

Exit mobile version