Berbicara dengan Pasangan, Berbicaralah dengan Hati
Penulis: Najmah Saiidah
Komunikasi merupakan salah satu aspek penting dalam sesebuah perkahwinan. Ia membantu pasangan untuk mengelakkan rasa curiga, prasangka buruk, fikiran negatif dan kebimbangan yang lain. Dengan komunikasi yang baik, ketenangan rumahtangga dapat dikecapi dan menjadi jambatan ke arah kepercayaan antara satu sama lain. Ia juga membantu pasangan untuk merancang langkah kehidupan seterusnya ke arah kebahagiaan yang diimpikan.
Suami dan isteri hendaklah bekerjasama memelihara keharmonian dan keutuhan rumah tangga. Sikap saling menghargai, menyayangi, saling memahami, saling memaafkan dan bersedia untuk belajar mesti dimiliki oleh kedua-duanya. InsyaAllah, keharmonian ini boleh dicapai melalui komunikasi yang baik antara pasangan serta ahli keluarga yang lain.
Namun, hakikatnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Berbicara dengan pasangan kadangkala tidak berjalan lancar. Kesibukan kerja, urusan anak-anak atau tekanan seharian boleh menyebabkan masing-masing menuntut perhatian. Apabila perhatian tidak diberi seperti yang diharapkan, komunikasi verbal mulai terganggu. Masing-masing memendam rasa, mengambil jalan diam dan enggan memulakan perbualan.
Ada kalanya, baik suami mahupun isteri menganggap remeh masalah yang dihadapi lalu menangguhkan perbincangan. Tanpa disedari, isu tersebut semakin menimbun sedangkan ada perkara penting yang perlu diselesaikan segera. Akhirnya, ego dan emosi lebih menguasai diri. Sudah tentu ini bukan sesuatu yang diinginkan. Maka, kita mesti memperbaikinya agar rumah tangga kekal harmoni dan sentiasa dalam limpahan keberkatan dunia dan akhirat. Amin.
Berbicara dengan Pasangan, Berbicaralah dengan Hati
Islam telah memberikan panduan kepada setiap Muslim tentang cara berbicara dengan pasangan. Tidak boleh sembarangan dan tidak boleh dipandang remeh. Bahkan, berbicara dengan pasangan hakikatnya adalah berbicara dengan hati, ada seninya tersendiri. Allah SWT juga mengutuskan RasulNya sebagai teladan terbaik buat umat Islam. Kita sepatutnya mencontohi cara Rasulullah SAW berkomunikasi dengan isteri-isterinya.
Allah SWT memerintahkan suami untuk bergaul dengan isteri secara makruf, begitu juga sebaliknya. Hubungan antara suami isteri seharusnya seperti dua sahabat sejati. Firman Allah SWT:
“…Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ al-Nisa (4):19]
Rasulullah SAW adalah teladan terbaik. Baginda bergaul dengan makruf terhadap keluarganya. Diriwayatkan dari Muawiyah al-Qusyairi, Rasulullah pernah ditanya, “Apakah hak seorang wanita ke atas suaminya?” Rasulullah menjawab:
“Engkau memberinya makan apabila engkau makan, dan engkau memberinya pakaian apabila engkau berpakaian. Janganlah memukul wajahnya, jangan mencacinya dan jangan menjauhinya kecuali dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah]
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Bertakwalah kepada Allah dalam memperlakukan para wanita kerana kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan hubungan dengan kalimah Allah.” [HR Muslim]
Asy-Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad hafizhahullah berkata:
“Wahai para suami, kalian telah menikahi isteri dengan syariat Allah. Maka mereka adalah amanah atas bahu kalian. Hendaklah kalian menjaga amanah ini, tidak menyakiti, tetapi berbuat baik dan mempergauli mereka dengan cara makruf.”
[Syarhu Sunan Abi Daud, 10/112]
Pasangan suami isteri hendaklah saling berbicara secara makruf, memahami keadaan masing-masing. Contohnya, jangan terus menyoal suami sebaik saja dia pulang dari kerja kerana dia mungkin keletihan. Begitu juga, suami tidak sepatutnya terus mempersoalkan isteri selepas seharian mengurus rumah tangga. Benarlah kata orang, berbicara dengan pasangan mestilah dengan hati, penuh empati dan menjaga adab.
Rasulullah SAW – Teladan Terbaik dalam Komunikasi Suami Isteri
Rasulullah SAW sering berbincang dan berbicara dengan isteri-isterinya. Terkadang baginda membahas pelbagai persoalan penting dengan mereka. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan wanita sebagai isteri dalam rumahtangga dan mereka mesti disayangi dan dilayan dengan baik. Mari kita telusuri peri kehidupan Rasulullah SAW terkait hal ini.
- Berbicara dengan Baik
Kadang-kadang kerana letih, suami atau isteri terlepas kata-kata yang kasar. Lebih-lebih jika salah satu pihak termasuk orang yang suka mengungkit-ungkit kesalahan. Ini boleh menimbulkan pertengkaran berpanjangan. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah dia berkata baik atau diam.” [HR Bukhari-Muslim]
Walaupun hadis ini bersifat umum, namun sangat relevan dalam konteks kekeluargaan. Elakkan berkata kasar kepada pasangan, apatah lagi membuka aib pasangan kepada orang lain. Janganlah kita lebih lembut dengan rakan sekerja daripada dengan pasangan sendiri.
- Nada Perlahan dan Jelas
Diriwayatkan oleh Aisyah RA, “Rasulullah tidaklah berbicara seperti yang biasa kamu lakukan (iaitu berbicara dengan nada cepat). Namun baginda berbicara dengan nada perlahan dan dengan perkataan yang jelas dan terang lagi mudah dihafal oleh orang yang mendengarnya.” [HR Abu Daud].
/
“Tutur kata Rasulullah sangat teratur, untaian demi untaian kalimat tersusun dengan rapi, sehingga mudah difahami oleh orang yang mendengarnya.” [HR Abu Daud].
Suami dan isteri hendaklah mempunyai niat yang sama untuk mengamalkan teladan Rasulullah ini. Berbicaralah dengan perlahan dan jelas, tidak terburu-buru, sehingga apa yang diucapkan menjadi jelas didengar oleh pasangan. Hal ini akan mengurangi, bahkan menghilangkan adanya kesalahfahaman di antara pasangan suami isteri akibat salah menangkap apa yang disampaikan oleh pasangan. Faktanya, tidak sedikit pertengkaran terjadi kerana salah faham yang bermula dari pembicaraan yang tidak jelas dan terburu-buru ini.
Bahkan, jika ada suatu pembicaraan yang bersifat sangat penting, tidak mengapa diulang sampai tiga kali. Tetapi dengan catatan, perkara tersebut memang bersifat sangat penting agar tidak terjadi salah faham. Anas bin Malik RA mengatakan, “Rasulullah sering mengulangi perkataannya tiga kali agar dapat difahami.” [HR Al-Bukhari].
- Panggilan Mesra
Rasulullah tidak memanggil isteri dengan nama mereka, sebaliknya dengan panggilan manja seperti “ya Habibi-” (wahai kekasihku) kepada Khadijah RA dan “Humairah” (wahai wanita yang pipinya kemerah-merahan) kepada Aisyah RA. Ini menunjukkan kelembutan dan kehangatan dalam komunikasi yang mampu menyentuh hati pasangan.
Secara psikologi, panggilan yang mesra dan hangat ini akan mempengaruhi pasangan, selanjutnya akan mempengaruhi keharmonian hubungan suami isteri. Selain itu, Rasulullah berpesan kepada para suami agar tetap bersabar menghadapi sikap para isteri yang kurang disukai.
Baginda juga bersabda:
“Janganlah seorang lelaki mukmin membenci wanita mukminah. Jika dia tidak menyukai satu sifat, masih ada sifat lain yang disukainya.”
*
Banyak pula periwayatan yang menggambarkan bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan sangat baik kepada keluarganya, bersenda gurau dan lemah lembut terhadap mereka. Sebelum tidur, Rasulullah seringkali bercakap-cakap sebentar dengan keluarganya selepas solat Isya’ dengan percakapan yang menyenangkan untuk merapatkan hubungan.
- Diskusi yang Menenangkan
Contoh terbaik boleh kita dapati pada beberapa peristiwa penting yang dihadapi oleh Rasulullah SAW. Baginda kemudian menyampaikan kepada salah seorang isterinya sehingga kemudian terjadi komunikasi dan diskusi yang saling menenangkan antara satu sama lain.
Pada diri Khadijah RA, kita akan melihat kecerdasan dan kecerdikan seorang isteri berkomunikasi dengan suami yang sedang berada dalam kepanikan kerana peristiwa yang dihadapinya. Dalam Sahih Bukhari dan Muslim serta Musnad Ahmad disampaikan tentang keadaan Nabi saat baru menerima wahyu pertama di Gua Hira. Lalu Nabi SAW pulang dan menemui isterinya Khadijah dalam keadaan gementar fizikal dan hatinya. Rasulullah masuk dan berkata, “Selimuti aku, selimuti aku.”
Ketika telah mulai tenang, Nabi SAW berkata, “Khadijah, aku khuatir diriku akan ditimpa musibah. Aku khuatir diriku akan ditimpa musibah.” Khadijah berkata untuk menenangkan dan menenteramkan suaminya, “Bergembiralah, demi Allah, Allah tidak akan merendahkanmu selamanya. Engkau benar-benar jujur dalam ucapan, menjaga silaturahim, menanggung beban, memuliakan tamu dan membantu orang yang kesulitan.” Kata-kata yang mengalir jujur dan menenangkan menjadi penyejuk hati yang sedang panas. Menenangkan jiwa yang sedang gementar. Memantapkan keyakinan akan pertolongan Allah.
Tentu kita ingat sebuah peristiwa besar yang dihadapi oleh Rasulullah SAW, iaitu dalam Perjanjian Hudaibiyah. Perintah Allah SWT yang berasal dari wahyu, dirasakan amat berat bagi Rasulullah SAW dan juga sebagai hentaman bagi para sahabat. Akibatnya, mereka tidak bersegera menyambut perintah Rasulullah SAW. Ketika melihat para sahabat enggan memenuhi perintahnya, Rasulullah pun masuk ke dalam khemah baginda dan meminta saranan dari Ummul Mukminin, Ummu Salamah RA. Baginda menyampaikan pendapatnya dengan penuh hormat,
“Wahai Nabi Allah, sebaiknya engkau keluar dan jangan bicara pada siapapun, tetapi terus saja menyembelih haiwan kurbanmu. Setelah itu, panggillah orang yang biasa mencukur rambut dan bercukurlah.”
*
Rasulullah pun melakukannya. Tidak lama kemudian, para sahabat yang melihatnya langsung bangkit untuk menyembelih kurban dan kemudian saling bercukur. Akhirnya, para sahabat menyedari ini merupakan wahyu dari Allah SWT.
Penutup
Begitulah indahnya komunikasi Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya. Baginda berbicara dengan hati, penuh kasih sayang dan adab. Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik kalian ialah yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” [HR Tirmidzi]
Jika semua pasangan meneladani baginda, nescaya kebahagiaan rumah tangga akan tercapai. Mari kita mula berbicara dengan hati terhadap pasangan kita. Ingatlah, pasangan kita adalah anugerah Allah. Bersamanya, kita menuju ke syurga. Maka, menjadi satu kebaikan kepada pasangan suami isteri dalam menjaga kualiti komunikasi dalam sesebuah rumah tangga.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#Komunikasi

