Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 6/12)

[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 6/12)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

  1. Pembinaan secara berkelompok (at-tasqif al-jamaie) kepada masyarakat.

 

Pembinaan ini dilakukan ke atas mereka yang hidup dengan idea-idea yang telah diterapkan oleh parti atau jemaah. Semua itu untuk mewujudkan pandangan umum bagi idea-idea ini, serta membentuk masyarakat dan perlu berhati-hati untuk menerapkan Islam kepada mereka. Ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda membaca Al-Quran di sisi Kaabah. Baginda juga menghadiri majlis-majlis dan musim-musim haji untuk menyeru manusia dengan Islam. Baginda mengajak manusia kepada iman dan menuntut manusia agar meninggalkan ibadah kepada berhala-berhala.

 

Kemudian nama Rasulullah SAW dan agama baru (Islam) menjadi sebutan setiap lisan, lebih-lebih lagi di Madinah al-Munawwarah. Mus’ab bin Umair menuturkan bahawasanya tidak ada satu rumah pun di Madinah, kecuali di dalam rumah itu menyebut nama Allah dan Muhammad. Dari situlah masyarakat Madinah mempersiapkan diri untuk menolong Rasulullah SAW dan membangun Negara Islam pertama di sana.

 

  1. Menentang semua akidah, pemikiran, dan pemahaman yang bertentangan dengan Islam.

 

Dengan meneliti ayat-ayat Al-Quran yang turun di Mekah, kita menemukan bahawa sesungguhnya Al-Quran itu telah menentang banyak perkara.

 

  1. Menentang akidah orang-orang musyrik dan membodohkan akal mereka, lalu menjelaskan kebatilan akidah-akidah itu serta pertentangannya. Allah SWT berfirman,

 

“(Setelah kamu – wahai kaum musyrik Mekah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa “Al-Laat” dan “Al-Uzza”. Serta “Manaat” yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)? Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.” [TMQ An-Najm (53): 19—22].

 

Allah SWT menyeru akal mereka, “Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.” [TMQ Al-Anbiyaa’ (21): 22].

 

  1. Menentang para pemimpin Quraisy yang tetap atas kekufurannya dan menyerang mereka dengan serangan yang tidak mengenal kompromi. Allah SWT berfirman, “Maka mengapa mereka (orang-orang kafir) berpaling daripada peringatan (Allah)? Seakan-akan mereka itu keldai liar yang lari terkejut, lari daripada singa.” [TMQ Al-Muddassir: 49—51].

 

Allah juga berfirman, “Binasalah kedua tangan Abu Lahab, dan sungguh dia akan binasa.” [TMQ Al-Lahab (111): 1].

 

Juga firman-Nya, “Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa, yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.” [TMQ Al-Qalam (68): 10-13] Ayat ini turun tentang Walid bin Mughirah.

 

  1. Menentang aktiviti mereka bahawa akal sihat tidak menerimanya serta fitrah manusia menolak dan mencercanya. Allah SWT berfirman, “Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh.” [TMQ At-Takwir (81): 8—9].

 

Allah SWT juga berfirman, “Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami”. Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (boleh memakannya bersama-sama).” [TMQ Al-An’am (6): 139].

 

Juga firman-Nya, “Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, iaitu orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka diminta untuk menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya.” [TMQ Al-Mutaffifin (83): 1—3].

 

  1. Al-Quran menentang orang-orang Yahudi dan Nasrani, iaitu orang-orang yang sentiasa mengganggu dan mempengaruhi fikiran orang Arab tentang Islam dengan pertanyaan-pertanyaan mereka. Kemudian Allah SWT membantah mereka dengan firman-Nya, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakanlah, ‘ruh itu termasuk urusan Tuhan-Ku, dan kamu tidak diberi pengetahuan melainkan sedikit.’” [TMQ Al-Israk (17): 85].

 

Al-Quran juga menjawab mereka tentang para penghuni gua (ashabul kahfi), tentang kisah Musa bersama hamba yang soleh, dan kisah Zulkarnain. Kemudian dalam surah-surah yang lain Al-Quran menjelaskan keadaan orang-orang Yahudi dari Nabi-Nabi mereka secara mendalam dan menyingkap, menyangkal, dan mendustakan keadaan orang-orang Nasrani dari Isa AS.

 

Allah SWT berfirman, “Itulah Isa putera Maryam, (yang mengatakan) perkataan yang benar, yang mereka ragukan kebenarannya. Tidak patut bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia hendak menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya, ‘Jadilah!’ Maka jadilah sesuatu itu.” [TMQ Maryam (19): 34—35].

 

Oleh sebab itu, menjadi kewajipan bagi para pengemban dakwah saat ini untuk menentang segala akidah yang menyalahi atau bertentangan dengan akidah Islam, seperti kapitalisme dan komunisme. Juga wajib menentang pemikiran-pemikiran yang salah, seperti sekularisme, patriotisme, dan nasionalisme, serta pemikiran-pemikiran yang menipu Islam, seperti demokrasi, kesatuan agama, sosialisme, ekstremisme, terorisme, dan lain-lain.

 

Jadi para pengemban dakwah hendaklah menentang dan membantah para pemeluk akidah-akidah itu. Mereka juga perlu menentang para ejen pemikiran-pemikiran tersebut dengan bantahan yang jelas, pasti dan tegas, serta dengan tidak menipu/menjaga air muka (mudaahanah). Mereka hendaklah menggunakan metode (uslub) yang sesuai dengan setiap keadaan sebagaimana Al-Quran telah mengajarkannya.

 

Allah SWT berfirman, “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka.” [TMQ Al-‘Ankabut (29): 46].

 

Katakan kepada orang-orang zalim sebagaimana Allah SWT berkata kepada orang Yahudi, “Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.” [TMQ Al-Maidah (5): 78].

 

Juga sebagaimana firman-Nya, “Perumpamaan orang-orang yang diberi tugas membawa Taurat, kemudian mereka tidak membawanya (tidak mengamalkannya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Sangat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Jumu’ah (62): 5].

 

Ini sebagaimana Allah SWT berfirman kepada orang Nasrani, “Sungguh, telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah adalah salah satu dari yang tiga. Padahal tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa azab yang pedih.” [TMQ Al-Maidah (5): 73].

 

Juga sebagaimana firman Allah SWT kepada kaum Muslim, iaitu orang-orang yang berkasih sayang dengan orang-orang kafir, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kalian), sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Dan siapa saja di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Maidah (5): 51].

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#mafahimislamiyyah #thariqahdakwah #uslubdakwah #metodedakwah #dakwahIslamKaffah

Exit mobile version