Site icon MuslimahHTM News

[Asam Garam Rumah Tangga] Tidak mendidik keluarga dengan ilmu agama

[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 13

Masalah 12 : Tidak mendidik keluarga dengan ilmu agama

Suami tidak mengajarkan ilmu agama kepada isteri, atau bahkan tidak menganggap penting pendidikan agama kepada keluarga. Padahal, ilmu agama merupakan benteng utama yang melindungi keluarga daripada azab api neraka.

Refleksi: 

Allah SWT. berfirman dalam surah at-Tahrim yang bermaksud: 
” Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [TMQ At-Tahriim (66): 6]

Dari perintah ini, setiap lelaki perlu sedar akan tanggungjawab yang mereka wajib pikul apabila membina rumah tangga. Dia sebagai pemimpin bertanggungjawab untuk mendidik dan melindungi isterinya serta anak-anaknya daripada api neraka. Hal ini sudah tentu perlu dilakukan dengan mendidik dan memprasanakan keluarganya dengan ilmu agama.

Rasulullah SAW juga bersabda:
“Setiap orang dari kalian adalah pengembala, dan dia bertanggungjawab atas gembalaannya. Seorang lelaki adalah pengembala di tengah keluarganya dan dia bertanggungjawab atas gembalaannya. Seorang wanita juga adalah pengembala di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas gembalaannya.” [Muttafaq `alayh]

Hadis ini menegaskan peranan kepimpinan suami dan isteri dalam keluarga yang mereka bina bersama. Oleh itu, keduanya perlu saling bekerjasama dan bersinergi untuk membimbing keluarga kecil mereka agar tetap berada di jalan syariat Allah SWT. Demi mewujudkan cita-cita baiti jannati, seorang suami atau ayah berkewajipan mengajarkan isterinya serta anak-anaknya tentang ajaran Islam, dengan menekankan pendidikan tauhid, rukun iman, hukum halal dan haram, ibadah, serta berbagai aspek syariat lainnya. Sebagai pemimpin, dia perlu mengarahkan dan membimbing keluarganya untuk senantiasa taat kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, agar menjadi penyelamat bagi dirinya dan keluarganya dari azab kelak.

Oleh kerana itu, wajar seorang lelaki mula membekalkan dirinya dengan ilmu agama sedari awal sebelum menginjak ke dunia perkahwinan, agar mampu memimpin keluarganya dengan benar. Dari sini juga jelas bahawa Islam memberi perhatian besar terhadap pembinaan kepimpinan soleh yang bermula dari rumah tangga. Nilai kepimpinan yang lahir dari rumah ini juga kelak akan memberi pengaruh positif lebih luas kepada kepimpinan di ranah masyarakat.

Exit mobile version