[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 11/12)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
- Bahagian yang terhasil daripada ketiadaan pengetahuan tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan perubahan.
Sebahagian jemaah Islam telah menggunakan dalil-dalil, menggali hukum-hukum, dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang tiada hubungannya dengan kaedah syarie dalam usaha menegakkan kehidupan Islam, walaupun mereka menyeru kepada perkara tersebut.
Mereka berangan-angan dan memberi angan-angan kepada orang lain bahawa mereka sedang berada di jalan yang benar. Untuk menggambarkan keadaan ini, kami menukil tulisan seorang pendakwah terkenal ketika memberikan nasihat kepada para pemuda berhubung kebangkitan Islam. Beliau berkata, “Saya berwasiat kepada para pemuda agar turun kepada masyarakat di sana dan mengambil bahagian dalam mengajar mereka yang buta huruf sehingga mereka boleh membaca. Demikian juga dalam merawat orang yang sakit sehingga mereka sembuh, menguatkan orang yang jatuh sehingga mereka bangkit, menolong orang yang menganggur sehingga mereka bekerja, membantu orang yang memerlukan sehingga mereka tercukupi, serta menyedarkan orang yang ketinggalan sehingga mereka berkembang.”
Dalam ucapannya itu juga, beliau berkata, “Para pemuda hendaklah membentuk lajnah untuk membasmi buta huruf, mengumpulkan zakat dan mengagihkannya, mendamaikan dua pihak yang berselisih, memerangi penyakit-penyakit masyarakat, mengatasi ketagihan arak, rokok, dadah, menentang tradisi-tradisi berbahaya serta menyebarkan tradisi yang baik sebagai gantinya.”
Beliau turut berkata, “Sesungguhnya menegakkan negara Islam yang berhukum dengan syariat Allah, mengumpulkan kaum Muslimin kepada Islam, serta menyatukan mereka di bawah satu panji adalah suatu kefardhuan atas umat Islam yang wajib kita usahakan.” Kemudian beliau menambah, “Untuk merealisasikan cita-cita ini, sewajarnya kita menyibukkan diri sesuai kemampuan, seperti membina tabung zakat, pusat rawatan rakyat atau hospital sosial, serta pelbagai lagi aktiviti khairiyah.” Beliau lalu menjadikan firman Allah SWT sebagai dalil, “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” [TMQ At-Taghaabun (64): 16]
Sesungguhnya aktiviti-aktiviti ini dilakukan oleh sebahagian jemaah dan parti Islam yang mengambil kata-kata pendakwah tersebut. Ini adalah aktiviti-aktiviti yang syarie dan dituntut—sama ada fardhu atau mandub—daripada negara atau individu, tetapi tidak dituntut secara syarak daripada parti atau jemaah yang beraktiviti untuk menegakkan kehidupan Islam. Hal ini kerana Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana benar-benar telah menetapkan bagi setiap bahagian tanggungjawab tertentu yang perlu ditunaikan.
Rasulullah SAW bersabda, “Kamu semua adalah pemelihara, dan kamu semua akan ditanya tentang yang dipeliharanya. Imam adalah pemelihara dan akan ditanya tentang rakyatnya. Lelaki adalah pemelihara dalam keluarganya dan akan ditanya tentang tanggungannya. Perempuan adalah pemelihara di rumah suaminya dan akan ditanya tentang tanggungannya. Pembantu adalah pemelihara dalam harta tuannya dan akan ditanya tentang tanggungannya. Maka kamu semua adalah pemelihara, dan kamu semua akan ditanya tentang apa yang dipeliharanya.”
Hadis muttafaqun alaihi ini menjelaskan bahawa Allah SWT telah membahagikan peranan para penanggungjawab. Wajib atas setiap penanggungjawab (ra‘in) melaksanakan tanggungjawabnya terhadap orang yang berada di bawah jagaannya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak. Memelihara urusan manusia adalah tanggungjawab pemerintah, yang dilaksanakan oleh lembaga eksekutif negara, dan bukannya tanggungjawab individu atau parti.
Oleh itu, apabila jemaah-jemaah Islam menyibukkan diri dengan urusan yang menjadi tanggungjawab pemerintah, maka itu bererti mereka telah menyibukkan diri dengan perkara yang bukan tanggungjawab mereka. Itu baru dari satu sudut pandang. Dari sudut yang lain, kesibukan tersebut sebenarnya merupakan bentuk membantu pemerintah yang ingin diubah. Kesemuanya itu tergolong dalam urusan memelihara hal ehwal manusia, yang merupakan kewajipan pemerintah, bukan individu atau jemaah.
Sesungguhnya Allah SWT telah memperingatkan tentang aktiviti seperti itu kerana ia boleh menguatkan kekuasaan pemerintah. Rasulullah SAW sebagai uswatun-hasanah bagi kita tidak pernah diriwayatkan bahawa Baginda menyibukkan diri pada fasa Mekah, iaitu fasa melaksanakan dakwah dengan perkara yang menjadi bidang kuasa serta tanggungjawab pemerintah. Ketika baginda melalui keluarga Yasir yang sedang diseksa, baginda hanya bersabda kepada mereka: “Sabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat pertemuan kamu adalah syurga.”
Nabi SAW tidak mengumpulkan harta daripada para sahabat untuk memerdekakan keluarga Yasir, dan baginda juga tidak memerintahkan demikian. Akan tetapi Abu Bakar dan para sahabat yang lain secara peribadi melaksanakan perkara tersebut kerana menganggapnya sebagai amalan sunat untuk mendapatkan pahala daripada Allah Taala. Nabi SAW tidak membentuk lajnah-lajnah untuk menghapuskan kezaliman atau kefakiran manusia, sebaliknya baginda hanya menuntut para sahabat agar tabah menanggung gangguan dan teguh berdakwah. Begitu juga yang dilakukan oleh para pengikut Rasul-Rasul terdahulu sehingga datang pertolongan Allah Taala.
Para sahabat Nabi SAW tetap berpegang teguh dengan kaedah syarie yang telah ditetapkan oleh Rabbul-‘Alamin, tanpa melakukan aktiviti fizikal untuk menolak gangguan terhadap mereka. Namun, sebahagian daripada mereka melaksanakan amalan sunat dengan melakukan beberapa tindakan —secara peribadi—seperti Sa‘ad bin Abi Waqqas yang pernah memukul salah seorang musyrikin ketika pengepungan di lereng Abu Talib, dan seperti Abu Bakar yang membeli Bilal bin Rabah lalu memerdekakannya.
Adapun mengumpulkan zakat serta mengagihkannya kepada golongan yang berhak menerimanya adalah termasuk tanggungjawab negara, bukan tanggungjawab individu atau parti. Jika tiada lembaga yang memikul tanggungjawab ini, iaitu negara Islam maka wajib atas orang Islam yang memiliki nisab zakat untuk menunaikannya secara langsung kepada yang berhak tanpa melalui lajnah-lajnah.
Pembentukan lajnah-lajnah sebegini tidak termasuk dalam kaedah, “Sesuatu yang mana kewajipan tidak sempurna melainkan dengannya, maka perkara itu menjadi wajib.
Zakat tetap boleh ditunaikan dengan sempurna tanpa adanya lajnah. Adapun perkara yang benar-benar masuk dalam kaedah ini, yang berkaitan dengan zakat, adalah kewajipan mendirikan negara Islam.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#mafahimislamiyyah #thariqahdakwah #uslubdakwah #metodesyarie

