Site icon MuslimahHTM News

Bagaimana Sikap Terbaik Menghadapi Kekurangan Pasangan?

Bagaimana Sikap Terbaik Menghadapi Kekurangan Pasangan?

 

Penulis: Ummu Nashir N.S.

 

Perkahwinan menyatukan dua hati, fikiran, bahkan jiwa. Daripada perkahwinan ini, terwujud kehidupan yang dipenuhi dengan ketenangan, ketenteraman, kasih sayang, dan persahabatan. Interaksi yang berlaku di dalamnya terjalin di atas prinsip saling tolong-menolong, saling menyokong, bersahabat, harmoni, serta tidak kaku dan formal. Justeru itu, hubungan suami isteri adalah interaksi yang penuh dengan kehangatan, ketenangan, dan jauh daripada kesuraman.

 

Namun hakikatnya, penyatuan dua hati dan fikiran ini tidak selalu berjalan mudah. Sebaliknya, penuh dengan onak dan duri. Sudah tentu keadaan ini merupakan sesuatu yang wajar. Ada kalanya penyatuan ini tidak mudah untuk direalisasikan, malah terkadang seorang isteri merasa terlalu dikongkong oleh suaminya, atau sebaliknya, si suami merasa tidak dihargai oleh isterinya. Jika keadaan begini berlaku, kehidupan rumah tangga yang tenteram akan sukar untuk dibina.

 

Begitu juga pada awal kehidupan perkahwinan, ada masanya seorang isteri atau suami terkejut dengan sikap pasangannya yang sebelumnya tidak mereka ketahui. Hal ini sering dianggap sebagai kekurangan pasangan sehingga tidak jarang menjadi punca pertengkaran antara mereka. Oleh itu, penting bagi suami isteri untuk bijak mengawal emosi agar tidak menimbulkan perselisihan atau perkara yang lebih besar daripada itu.

 

Tiada Manusia Sempurna

 

Satu perkara yang mesti kita ingat, tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini, termasuk diri kita dan pasangan kita. Hanya Allah Yang Maha Sempurna. Suami isteri adalah pasangan yang memiliki kelemahan dan kekurangan. Para suami hendaklah menyedari bahawa wanita yang dinikahinya adalah wanita biasa yang mempunyai kelemahan dan kekurangan, begitu juga sebaliknya.

 

Oleh sebab itu, Allah SWT mengurniakan pendamping bagi seseorang agar kebaikannya semakin sempurna dan kelemahannya semakin berkurang. Meskipun begitu, kita tidak perlu menunggu diri sendiri atau pasangan menjadi sempurna untuk meraih kebahagiaan. Sudah menjadi sunatullah bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada kesalahan, dosa, dan kekurangan.

 

Rasulullah SAW menegaskan,

التَّوَّابُوْنَ الْخَطَّائِيْنَ وَخَيْرُ خَطَّاءٌ آدَمَ بَنِي كُلُّ

“Setiap anak Adam pasti berbuat salah dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah yang bertaubat.” [HR Tirmidzi].

 

Sikap Terbaik Menghadapi Kekurangan Pasangan

 

Telah difahami bahawa tiada manusia yang sempurna, termasuk kita dan pasangan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik. Nikmatilah setiap prosesnya kerana ia akan membawa kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga. Terdapat beberapa sikap bijaksana yang boleh kita lakukan ketika berhadapan dengan kekurangan pasangan.

  1. Menerima kekurangan pasangan dan sentiasa mengingati kebaikannya.

 

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menerima pelbagai kekurangan pasangan. Namun, belajar menerima kekurangan pasangan serta sentiasa mengingat kebaikannya adalah perkara penting dalam kehidupan rumah tangga. Kita semua mempunyai kelemahan. Ini adalah keadaan yang mesti diterima dengan sepenuh hati. Apabila keadaan ini benar-benar difahami oleh suami isteri, rasa bosan atau jemu terhadap pasangan dapat dielakkan.

 

Setiap suami isteri mesti menyedari bahawa setiap orang mempunyai keterbatasan, sekaligus kelebihan. Oleh itu, suami isteri perlu saling melengkapi dan menguatkan. Berbincang dengan pasangan serta sentiasa mengingat kebaikannya merupakan cara yang tepat bagi menumbuhkan sikap saling memberi semangat. Seterusnya, kekurangan tersebut boleh berubah menjadi kekuatan pada hari-hari yang mendatang.

 

Umar bin al-Khattab pernah mengingatkan seorang suami, apabila terlihat kekurangan atau keburukan pada isterinya, hendaklah dia segera mengingati  kelebihan dan kebaikannya, begitu juga sebaliknya. Tujuannya agar suami isteri tidak terlalu fokus pada kekurangan pasangannya, kerana hal itu boleh membawa kepada penyesalan dan menumbuhkan kebencian.

 

  1. Bersabar mendampingi pasangan dan memberikan kesempatan untuk berubah.

 

Dalam keadaan apa sekali pun, keluarga yang dibina di atas syariat Islam akan mampu melahirkan ketenangan, ketenteraman, keadilan, dan rasa aman. Suami isteri hidup berdampingan dengan penuh kasih sayang dan saling memelihara, serta mengemudi bahtera rumah tangga seperti dua sahabat sejati yang sentiasa berkongsi suka dan duka.

 

Dalam perjalanan berumah tangga, ujian dan rintangan pasti akan hadir, antaranya apabila timbul keresahan akibat pasangan yang kurang menepati harapan kita. Namun, jika suami isteri mengingat tujuan asal perkahwinan adalah untuk meraih keredhaan Allah SWT, mereka akan lebih ikhlas, sabar, dan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan. Inilah perkara utama yang perlu dilakukan bersama pasangan. Langkah pertama ialah menerima dengan ikhlas bahawa keadaan ini datang daripada Allah. Seterusnya, berusaha memberi nasihat, ruang, dan bantuan kepada pasangan untuk berubah menjadi lebih baik.

 

Memang adakalanya sukar untuk menerima kenyataan sebegini, malah boleh menjadi satu beban. Namun, dengan berbekalkan keikhlasan, kesabaran, tawakal, saling menyokong, serta terus berusaha menjadi lebih baik, insya-Allah suami isteri akan mampu melalui keadaan ini dengan baik.

 

  1. Cooling Down.

 

Ada baiknya kita menenangkan diri seketika apabila berdepan dengan situasi yang kurang kondusif. Jangan terus menegur pasangan, tetapi carilah waktu dan suasana yang sesuai agar tidak menyalakan emosi pasangan. Hal ini pernah dicontohkan oleh Umar bin al-Khattab ketika beliau memberi nasihat kepada seorang sahabat yang mengadu kepadanya kerana kecewa melihat kekurangan isterinya.

 

Umar berkata, “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar terhadap sikap isteriku kerana hak-haknya ke atasku. Dialah yang memasakkan makananku, membuatkan rotiku, mencucikan pakaianku, menyusukan anak-anakku, dan hatiku menjadi tenang dengannya daripada perkara yang haram. Maka kerana itu aku bersabar terhadap sikapnya.” Sahabat itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, demikian juga isteriku.” Lalu Umar pun berkata, “Bersabarlah terhadap sikapnya, wahai saudaraku. [Kitab al-Kabāir oleh al-Imam adz-Dzahabi].

 

Sikap diamnya Umar bukan bermakna beliau tidak membela diri, malah sebaliknya. Inilah sikap mulia seorang suami, sekaligus sebagai pemimpin dalam rumah tangga. Umar telah memberikan teladan akhlak yang baik. Beliau bukan membiarkan kesalahan isteri, tetapi pada saat keadaan memanas, suasana sama sekali tidak kondusif untuk menasihati isteri. Lebih-lebih lagi apabila suami segera membalas kemarahan isteri, maka akan tercetuslah perang mulut. Ledakan emosi negatif akan menyebabkan suami isteri terperangkap dalam pertengkaran dan masing-masing cuba memberikan alasan.

 

Ringkasnya, seorang suami yang soleh mesti mampu mengawal diri dan menjaga keadaan tetap stabil agar tidak memberi ruang walau sedikit pun kepada syaitan untuk masuk dan mengacaukan suasana. Nabi SAW bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang paling baik akhlaknya dalam kalangan kamu ialah yang paling baik pergaulannya terhadap isterinya.[HR Imam Ahmad].

 

  1. Berkomunikasi bersama pasangan dengan bahasa yang baik dan ucapan yang tepat.

 

Dalam apa jua situasi yang menimpa keluarga kecil kita, sama ada yang menggembirakan atau sebaliknya, ia perlu dibincangkan bersama pasangan. Usahakan untuk berbicara dalam suasana yang tenang, khususnya apabila ada perkara yang kurang menyenangkan daripada pasangan kita. Pemilihan tempat berbicara yang selesa juga penting. Lakukanlah hanya berdua, bukan di hadapan orang lain, apatah lagi di hadapan anak-anak.

 

Ketika berkomunikasi dengan pasangan, pilihlah kata-kata yang baik serta ungkapan yang tepat. Tidak perlu bersikap menghakimi, kerana nasihat yang disampaikan dengan komunikasi yang lembut tanpa memperbesarkan kekurangan atau kesalahan akan membuat pasangan merasakan ketenangan dan ketenangan ketika menerimanya. Ada kalanya, memberi nasihat dengan cara bertanya terlebih dahulu lebih mudah diterima berbanding menegur secara terus. Mungkin uslub ini boleh dicuba.

 

Nada suara yang halus, lembut, dan perlahan lebih sedap didengar oleh pasangan berbanding jeritan yang kasar. Suami isteri tetap harus saling menghormati dan menghargai, bukan saling menghina atas kekurangan atau kesalahan yang dilakukan. Dengan demikian, kedua-dua pihak tidak akan merasa diperlekehkan. Lebih daripada itu, Islam juga mengajarkan agar suami isteri berbicara dengan lembut, menghindari kata-kata kasar, serta cacian yang boleh menyakiti pasangannya.

 

Nabi Muhammad SAW juga berpesan kepada para suami agar mereka berbuat baik terhadap isterinya, termasuk bersabar dalam menasihatinya serta tidak menyakitinya. Sabda Rasulullah SAW: “Ketahuilah, berwasiatlah tentang kebaikan terhadap para wanita (isteri-isteri), kerana mereka hanyalah tawanan di sisi (di tangan) kamu. Kamu tidak menguasai mereka sedikit pun kecuali hanya itu, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Jika mereka melakukan hal tersebut, asingkanlah mereka di tempat tidurnya dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak meninggalkan bekas. Namun apabila mereka taat kepada kamu, maka tidak ada jalan bagi kamu untuk menyakiti mereka. [HR at-Tirmizi].

 

  1. Terus berusaha belajar dan memperbaiki diri bersama pasangan

 

Dalam keadaan apa sekali pun, menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim. Hal ini boleh dilakukan dengan mempelajari buku-buku keislaman ataupun menghadiri majlis-majlis ilmu. Lebih-lebih lagi, suami isteri semestinya perlu terus meningkatkan kualiti diri dengan menambah tsaqafah serta semakin mengenal hukum-hukum Allah, kemudian memahaminya dan mengamalkannya. Di sinilah letaknya kepentingan membina diri dengan Islam agar pelbagai kekurangan yang kita miliki dapat diperbaiki.

 

Apatah lagi jika aktiviti mempelajari Islam dilakukan bersama pasangan dan keluarga, tentu akan menjadi lebih menyeronokkan. Selain dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam, kita juga boleh berbincang dengan ahli keluarga yang lain sehingga semuanya semakin memahami Islam.

 

Dengan demikian, suami isteri akan memiliki pemahaman yang sama sehingga lebih mudah saling memperbaiki kekurangan masing-masing. Ibu bapa juga akan lebih mudah mengukuhkan pemahaman Islam anak-anak mereka. Malah, menghadiri kajian rutin bersama boleh menjadi medan pembinaan serta mengeratkan hubungan di antara ahli keluarga. Selain itu, jika timbul kesilapan ketika menerapkan pemahaman yang telah dipelajari, pasti akan lebih mudah untuk meluruskannya atau menasihatinya.

 

Khatimah

 

Kehidupan rumah tangga sememangnya penuh dengan liku. Oleh itu, diperlukan pelbagai usaha daripada suami isteri agar bahtera rumah tangga dapat mengharungi kehidupan dengan tenang. Salah satu perkara penting bagi kelestarian perkahwinan ialah bersikap bijaksana dan sabar dalam berinteraksi dengan pasangan, khususnya ketika berdepan dengan kekurangannya.

 

Bagaimanapun, tiada manusia yang sempurna, termasuk kita dan pasangan. Teruslah memperbaiki diri dan memberikan sokongan kepada pasangan agar menjadi lebih baik. Sentiasalah bersandar dan memohon kepada Allah SWT, Sang Khaliq al-Mudabbir, agar persahabatan serta hubungan kita dengan pasangan berkekalan.

 

Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita sehingga rumah tangga kita senantiasa berada dalam kebaikan dan keberkatan. Amin. Wallahu a‘lam bissawab.

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

Exit mobile version