[Kenyataan Media] Mangsa Perang Paling Menderita adalah Kanak-Kanak Kurang Upaya Gaza
(Terjemahan)
Peperangan dahsyat ke atas Gaza, yang bermula pada 7 Oktober 2023, telah menjejaskan setiap aspek kehidupan di sana: manusia, pokok, batu-batu, dan sumber alam. Wanita dan kanak-kanak terutamanya, adalah kelompok yang paling terjejas. Kematian dan kemusnahan tersebar di mana-mana. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, perang ini telah mengorbankan lebih daripada 63,000 nyawa, mencederakan kira-kira 160,000 orang, dan menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal, di tengah-tengah krisis kemanusiaan parah yang merangkumi masalah kekurangan makanan, ubat-ubatan, dan air minum bersih.
Laporan terbaru oleh sebuah jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa 157,114 orang mengalami kecederaan antara 7 Oktober 2023 hingga 21 Ogos tahun ini, di mana 25% daripada mereka berisiko mengalami kecacatan sepanjang hayat. Ia mengumumkan bahawa kira-kira 40,500 kanak-kanak telah mengalami kecederaan berkaitan perang dalam tempoh dua tahun sejak perang meletus, dan lebih separuh daripada mereka kini menanggung kecacatan. Sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak di Gaza telah menjadi orang kurang upaya!!
Jawatankuasa itu turut menyatakan bahawa golongan yang mengalami masalah pendengaran atau penglihatan sering tidak menyedari arahan pemindahan daripada pasukan pendudukan. Situasi ini menjadikannya mustahil bagi mereka untuk menyelamatkan diri. Sebahagian mereka telah syahid tanpa mengetahui apa pun tentang arahan pemindahan tersebut.
Ramai yang terpaksa melarikan diri dalam keadaan tidak selamat dan tidak sempurna (kesopanan dan maruah diri terjejas). Mereka terpaksa menempuh keadaan seperti merangkak menerusi pasir atau lumpur tanpa sebarang bantuan. Mereka juga berdepan dengan masalah kritikal bantuan kemanusiaan yang sangat sedikit, menyebabkan ramai tidak mendapat makanan, air bersih, atau sanitasi, dan bergantung kepada orang lain untuk terus hidup. Lebih-lebih lagi kerana mereka tidak mampu mendapatkannya sendiri.
Kanak-kanak menanggung beban terbesar dari kehilangan keupayaan (kecacatan dan kekurangan) ini. Mereka menjadi sasaran utama entiti pendudukan dalam perang pemusnahan yang berterusan. Setiap serangan udara boleh bermakna pemotongan kaki seorang kanak-kanak, lumpuh seumur hidup, atau kecacatan yang mengubah wajah mereka dan meninggalkan parut kekal. Keadaan ini semua meragut masa depan mereka dalam sekelip mata. Di kem pelarian dan pusat perlindungan, mereka tidak mempunyai akses kepada rawatan perubatan, alat bantuan, atau makanan yang mencukupi.
Dengan kebanyakan hospital musnah dan ubat-ubatan serta peralatan perubatan yang sangat terhad, kanak-kanak kurang upaya adalah paling terdedah kepada pengabaian perubatan. Ramai antara mereka memerlukan sesi fisioterapi berkala, ubat-ubatan berterusan, dan anggota badan palsu. Walau bagaimanapun, tindakan menghentikan sepenuhnya perkhidmatan perubatan telah mengubah keperluan-keperluan asas ini menjadi harapan yang tidak tercapai. Dari sudut psikologi, kanak-kanak ini hidup dalam ketakutan akan serangan udara, kelaparan, dan kehilangan harapan. Hal ini menjadikan kehidupan seharian mereka satu siri penderitaan yang tidak berpenghujung.
Semua ini berlaku di hadapan mata dan telinga seluruh dunia, bersama institusi dan pertubuhan yang mendakwa kononnya berperikemanusiaan dan menjunjung hak asasi manusia. Apa yang mereka lakukan tidak lebih daripada protes rasmi di sana sini, atau mengemukakan laporan, atau cuba menghantar bantuan yang tidak mampu menghilangkan kelaparan sedikit pun!
Sementara itu, para penguasa Muslim sibuk mempertahankan kerusi dan takhta mereka di atas jasad dan darah umat Islam yang sedang menderita, khususnya di Gaza, seolah-olah tidak peduli dengan sabda baginda SAW:
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة
Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkannya Rasulullah SAW bersabda: “Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan membiarkan muslim lain dianiaya. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat”. (HR Bukhari No: 2262)
Sesungguhnya Hari Pembalasan terhadap mereka sudah semakin hampir, insyaAllah.
Bahagian Muslimah
di Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir
#SpeakUpforPalestine #FreePalestine #ArmiestoAqsa #ArmiestoGaza

