Site icon MuslimahHTM News

[Soal Jawab] Apakah Batasan Al-Malakah pada Ahli Fikh dan Mujtahid?

[Soal Jawab] Apakah Batasan Al-Malakah pada Ahli Fikh dan Mujtahid?

 

Soalan:

 

Di dalam Kitab As-Syakhshiyyah al-Islāmiyyah Jilid I mengenai topik Syarat Ijtihad (Syurūṭ al-Ijtihād) halaman 213 disebutkan: “Al-Malakah (keahlian/kepakaran) bererti قوة في الفهم والربط kekuatan dalam memahami dan menghubung kaitkan. Kepakaran ini boleh terlahir daripada tahap kecerdasan yang tinggi disertai dengan pengetahuan terhadap sebahagian ilmu syarak dan bahasa, tanpa perlu kepada penguasaan menyeluruh terhadap semua ilmu syarak dan bahasa.”

 

Namun dalam Soal-Jawab bertarikh 8/8/2017 dinyatakan: “Yang dimaksudkan dengan al-malakah (keahlian/kepakaran) pada seorang ahli fikh bukanlah aspek fitrah semula jadi (an-nāḥiyah al-fiṭriyyah) dan kesediaan bawaan (al-isti‘dād al-fiṭriyyah) yang berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Tetapi yang dimaksudkan ialah kepakaran yang diperoleh melalui proses pembelajaran, pengkajian, pendalaman, dan latihan. Walaupun kesediaan bawaan boleh menyumbang kepada lahirnya kepakaran fikih serta mempercepatkan perkembangannya, namun kesediaan bawaan itu bukanlah malakah yang dimaksudkan.”

 

Persoalannya, adakah yang disebut dalam Soal-Jawab itu bercanggah dengan yang terdapat dalam Kitab As-Syakhshiyyah al-Islāmiyyah Jilid I dari sudut hubungan antara kesediaan bawaan dengan pembentukan malakah? Kitab tersebut menyatakan bahawa asas malakah adalah kekuatan memahami dan menghubung kaitkan, manakala dalam Soal-Jawab dinyatakan asas al-malakah adalah pengetahuan yang diperoleh (ma‘ārif iktisābiyyah)?

 

Jawapan:

 

Al-Malakah (kepakaran) yang dibicarakan dalam Soal-Jawab bertarikh 16 Zulkaedah 1438 H / 8 Ogos 2017 M bukanlah al-malakah secara mutlak, tetapi adalah al-malakah al-fiqhiyyah (kepakaran dalam bidang fikih) secara khusus. Hal ini berkaitan dengan definisi al-faqīh (ahli fikh). Al-Faqīh secara istilah adalah orang yang telah memiliki malakah dalam bidang fikih. Oleh itu, yang dimaksudkan dengan malakah bagi seorang al-faqīh adalah seperti yang disebutkan dalam Soal-Jawab: “Yang dimaksudkan dengan al-malakah (keahlian/kepakaran) pada fikh bukanlah aspek fitrah semula jadi (an-nāḥiyah al-fiṭriyyah) dan kesediaan bawaan (al-isti‘dād al-fiṭriyyah) yang berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Tetapi yang dimaksudkan ialah kepakaran yang diperoleh melalui proses pembelajaran, pengkajian, pendalaman, dan latihan. Walaupun kesediaan bawaan boleh menyumbang kepada lahirnya kepakaran fikih serta mempercepatkan perkembangannya, namun kesediaan bawaan itu bukanlah malakah yang dimaksudkan pada diri seorang faqīh …”

 

Adapun al-malakah yang berkaitan dengan mujtahid maka ia sebagaimana yang dinyatakan dalam Kitab As-Syakhshiyyah al-Islāmiyyah Jilid I halaman 213: “…kerana al-malakah bererti  قوة في الفهم والربط kekuatan dalam memahami dan menghubung kaitkan. Kepakaran ini boleh terlahir daripada tahap kecerdasan yang tinggi disertai dengan pengetahuan terhadap sebahagian ilmu syarak dan bahasa, tanpa perlu kepada penguasaan menyeluruh terhadap semua ilmu syarak dan bahasa.”

 

Ringkasnya, perkara asas bagi seorang faqīh  ialah malakah (kepakaran) yang diperoleh melalui proses pembelajaran, pengkajian, dan penguasaan terhadap ilmu-ilmu syarak. Dalam hal demikian, kesediaan bawaan boleh membantu mempercepatkan pencapaiannya.

Manakala perkara asas bagi seorang mujtahid ialah kekuatan memahami, menghubung kaitkan, kecerdasan yang tinggi, serta kemampuan melakukan istinbāṭ (menggali hukum), di samping memiliki pengetahuan terhadap sebahagian ilmu syarak dan bahasa, tanpa perlu menguasai secara keseluruhan semua ilmu tersebut.

 

Dengan demikian, tiada percanggahan antara malakah yang disebut dalam Soal-Jawab kerana ia berkaitan dengan al-faqīh dan malakah yang disebut dalam Kitab As-Syakhshiyyah al-Islāmiyyah Jilid I—kerana ia berkaitan dengan mujtahid.

 

Semoga perkara ini menjadi jelas.

 

(Dipetik daripada “Soal-Jawab As-Syaikh ‘Aṭā’ bin Khalīl Abu ar-Rasytah” bertarikh 25 Jamadil Akhir 1444 H / 18 Januari 2023 M)

 

Sumber:

https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/86526.html

 

 

#soaljawab #ahlifikh #mujtahid

 

 

Exit mobile version