Site icon MuslimahHTM News

Ketika Doa Isteri Mengiringi Suami Mencari Nafkah, Keberkatan Akan Tercurah

Ketika Doa Isteri Mengiringi Suami Mencari Nafkah, Keberkatan Akan Tercurah

 

Penulis: Najmah Saiidah

 

Kehidupan suami isteri adalah kehidupan yang sarat dengan ketenangan. Pergaulan suami isteri adalah pergaulan penuh persahabatan. Kepimpinan suami terhadap isteri adalah kepimpinan pengaturan (bertanggungjawab), bukan kepimpinan seperti seorang penguasa. Seorang isteri diwajibkan taat kepada suami. Seorang suami diwajibkan memberi nafkah yang layak sesuai dengan standard yang makruf.  [Masyru’u ad-Dustuur, fasal 120].

 

Rumah tangga yang dibina boleh diibaratkan sebagai sebuah bahtera. Suamilah sang nakhoda yang mengendalikan arah bahtera tersebut untuk berlayar. Manakala isteri bertindak sebagai pengemudi arah (navigator), sekaligus pendamping nakhoda. Dia akan membantu mengarahkan bahtera tersebut berlayar. Dia boleh memberi pandangan ataupun cadangan kepada nakhoda berkaitan laluan yang sebaiknya dilalui. Kedua-duanya dengan peranan berbeza, tetapi mesti dijalankan bersama.

 

Nakhoda dan pengemudi arah (navigator) harus saling bekerjasama, membantu, memahami, dan memaklumi antara satu sama lain. Begitu juga suami isteri, kedua-duanya harus seia sekata dalam mengemudi bahtera rumah tangga. Jika tidak akur atau saling bersaing, bahtera itu tidak akan bergerak dengan baik. Bahtera akan mengambil masa lama untuk sampai ke destinasi, malah mungkin tidak akan pernah sampai kerana karam di tengah perjalanan.

 

Dua Hati Menjadi Satu

 

Ketika seorang suami menerima atau menjawab ijab yang disampaikan oleh wali isterinya, sejak saat itu ada tanggungjawab baharu di pundaknya. Dia mesti bertanggungjawab terhadap perempuan yang dinikahinya. Sejak saat itu, dia menggantikan tanggungjawab ayah kepada isterinya. Dia mestilah menjaga isterinya sepenuh hati, berusaha membahagiakannya, mencintainya, mendidiknya, dan mengasihinya. Jika semua itu tidak dilakukannya, bererti dia telah mengkhianati dirinya sendiri, ibu bapa isterinya, dan Allah SWT.

 

Bagaimana pula dengan isteri? Seorang isteri berperanan penting agar bahtera rumah tangga tetap berada pada laluannya. Dia mestilah terus berusaha menjaga rumah tangganya agar kekal utuh, memelihara kesetiaan kepada suaminya, dan murah senyuman. Tidak lupa, isteri berhias rapi ketika suami berada di rumah supaya aura kecantikan tetap terpancar di wajahnya. Tentu dengan niat untuk membahagiakan suami. Kadangkala para isteri pada zaman sekarang tersalah faham. Ketika ingin keluar, mereka berhias secantik mungkin. Namun ketika bersama suami, mereka tampil seadanya, malah ada yang langsung tidak berhias.

 

Suami dan isteri ibarat dua jasad, satu jiwa atau dua hati satu cinta. Mereka hendaklah saling membantu dalam mewujudkan keluarga sakinah mawaddah wa rahmah yang penuh ketenangan dan kasih sayang. Mereka saling menghangatkan saat dingin melanda dan menyejukkan saat panas mengeruhkan suasana. Mereka sentiasa seia sekata dalam menjalankan peranan masing-masing. Ketika suami bekerja, isteri tidak boleh bersantai sahaja. Isteri mestilah mendoakannya. Dengan demikian, akan terwujudlah keluarga yang penuh ketenteraman dan kebahagiaan, keluarga yang diberkati Allah SWT.

 

Mulianya Suami yang Mencari Nafkah untuk Keluarganya

 

Sebagai nakhoda bahtera atau pemimpin rumah tangga, suami juga berkewajipan memberi nafkah kepada seluruh anggota keluarganya, iaitu isteri dan anak-anaknya. Dia melakukannya kerana Allah SWT telah memerintahkannya, juga sebagai tanda cinta kepada isteri dan anak-anaknya. Bukankah seorang pencinta akan sentiasa berkorban untuk orang yang dicintainya? Selain itu, dia bekerja juga sebagai batu loncatan untuk meraih cinta dan pahala daripada Allah SWT. Allah begitu mencintai orang yang bekerja. Rasulullah SAW bersabda,, “Sesungguhnya, Allah mencintai orang yang bekerja.” [HR Al-Baihaqi].

 

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga bersabda, “Ingatlah, jika anak muda itu bekerja untuk kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya, dia berada di jalan Allah. Jika dia bekerja untuk keluarganya, dia berada di jalan Allah. Jika dia bekerja untuk dirinya, dia juga berada di jalan Allah.” [HR Baihaqi]. Bahkan, Imam al-Ghazali mengatakan bahawa orang yang sibuk bekerja mencari rezeki halal untuk keluarganya lebih baik daripada ibadah badaniyah. Namun, sewajarnya ketika bekerja tetap mengingati Allah (berzikir). Betapa besar pahala orang yang bekerja, bukan?

 

Selain itu, ada perkara lain yang juga penting dilakukan oleh isteri. Isteri boleh membantu suami menyiapkan peralatan kerja, menghantarnya hingga ke hadapan rumah, dan mencium lembut tangannya, lalu berkata, “Hati-hati, Abi.” InsyaAllah, jika perkara itu dilakukan, hubungan suami isteri akan sentiasa terasa indah. Cinta juga tidak akan layu, malah semakin subur.

 

Doa Seorang Isteri untuk Suami ketika Bekerja Membawa Keberkatan

 

Untuk kejayaan suami, seorang isteri hendaklah membantunya dengan doa. Panjatkan doa agar suami selamat dalam perjalanan dan berjaya. Juga berdoa agar rumah tangga menjadi jalan untuk meraih syurga. Yakinlah, setiap doa yang dipanjatkan pasti diterima Allah meskipun dengan cara yang berbeza-beza. Rasulullah SAW bersabda, “Doa adalah senjata orang mukmin.” [HR Al-Hakim].

 

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Zat yang Maha Pemalu lagi Maha Mulia. Dia malu terhadap seorang hamba yang mengangkat kedua tangannya lalu mengembalikannya begitu sahaja (atau mengembalikan kedua tangannya dalam keadaan kecewa).” [HR Ibnu Majah].

 

Tidak dinafikan bahawa banyak nas yang menjelaskan bahawa ketaatan dan kesolehan isteri akan membantu kelancaran dan kejayaan suami. Ini kerana isteri yang taat kepada Allah dan suami akan membawa ketenteraman kepada suaminya. Seterusnya, ketaatan ini akan mendatangkan keberkatan dan kemudahan rezeki. InsyaAllah.

 

Selain itu, Islam memerintahkan seorang isteri untuk sentiasa dekat dan berdoa kepada Allah SWT. Peranan isteri dan doanya akan menjadi jambatan emas bagi suami untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Jangan memandang ringan doa seorang isteri untuk suaminya, kerana ia setara dengan doa seorang ibu untuk anaknya.

 

Isteri berperanan besar terhadap kejayaan suami yang sedang berikhtiar mencari nafkah di luar sana melalui doa-doa yang dipanjatkannya. Doa isteri untuk suaminya juga sangat penting bagi keharmonian hubungan rumah tangga. Apabila isteri sentiasa mendoakan kebaikan apa sahaja untuk suaminya, Allah SWT akan mengabulkan doa-doa tersebut. Hal ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau ketika saling berjauhan.” [HR Tirmidzi]. 

 

Daripada hadis ini, kita dapat memahami bahawa doa seorang isteri merupakan salah satu doa yang paling mustajab atau segera dimakbulkan. Oleh itu, jangan sekali-kali mensia-siakan kesempatan yang telah Allah SWT berikan. Wajib bagi kita sebagai isteri untuk sentiasa menghiasi lisan dengan doa-doa agar keluarga kita sentiasa harmonis, memperoleh sakinah dan rahmatNya. Antara doa yang dianjurkan untuk dibaca pada setiap kesempatan adalah,

 

اِمَامًا لِلْمُتَّقِيْنَ وَّاجْعَلْنَا اَعْيُنٍ قُرَّةَ وَذُرِّيّٰتِنَا اَزْوَاجِنَا مِنْ لَنَا هَبْ رَبَّنَا

“Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa [TMQ Al-Furqan (25): 74).

 

Doa seorang isteri bukan sahaja berpengaruh terhadap keharmonian kehidupan rumah tangganya, malah akan mendorong suami melaksanakan pelbagai kewajipan. Suami akan lebih giat mencari nafkah untuk keluarga, menuntut ilmu, dan menggalas tanggungjawab dakwah.

 

Bayangkan, ketika suami pergi berdakwah, lalu isteri melepaskannya dengan lantunan doa, ia akan menjadi sumber tenaga luar biasa bagi kejayaan suami dalam mengajak umat Islam kepada kebaikan. Lisannya akan sentiasa dikuatkan untuk menyampaikan kebenaran di tengah umat. Dia akan sentiasa optimis dan penuh semangat bahawa dakwahnya memberi sumbangan kepada tegaknya Islam kaffah di muka bumi, walaupun jalan yang ditempuh tidaklah mudah.

 

Demikian juga ketika suami hendak berangkat kerja, lalu dengan keikhlasan dan keredhaan, isteri menghantarnya pergi dengan sebait doa. Dengan izin Allah, akan terbukalah pintu-pintu rezeki untuknya pada hari itu dan pada hari-hari berikutnya. Allah SWT juga akan memberikan keselamatan serta memudahkan urusannya dalam bekerja dan berdakwah. Suami akan dipelihara Allah dalam mencari rezeki yang halal sehingga membawa keberkatan kepada keluarga.

 

Salah satu doa yang dianjurkan untuk dibaca agar rezeki suami sentiasa lancar dan dipermudahkan, “Allahumma aktsir maala zauji wa barik lahu fima a’thoitahu wa athil hayatahu ‘ala tho’atika wa ahsin ‘amalahu waghfirlahu.

 

Ertinya, “Ya Allah, perbanyakkanlah harta suamiku, serta berkatilah kurnia yang Engkau anugerahkan kepadanya, panjangkanlah umurnya dalam ketaatan kepadaMu, perelokkanlah amalnya, serta ampunilah dosa-dosanya.[HR Imam Bukhari].

 

Demikianlah, kekuatan dan keajaiban doa seorang isteri solehah turut memberi sumbangan kepada kejayaan suami, baik di dunia mahupun di akhirat. Doa terbaik isteri boleh menjadi penolong suami ketika menghadapi kesulitan. Sangat beruntunglah seorang lelaki yang mendapatkan isteri solehah yang mampu menjadikannya lebih tabah, tekun, sabar, dan kuat menghadapi gelombang kehidupan. Semua ini kerana dahsyatnya doa yang dipanjatkan seorang isteri untuk suaminya tercinta. Wallahua’lam bissawab.

 

Exit mobile version