Jenayah Sindiket Pedofilia: Ancaman Keselamatan Terhadap Anak-Anak
Menurut laporan berita yang dikeluarkan pada 29 Ogos 2025, pihak polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket pedofilia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Jenayah ini dilaporkan berlaku di negeri Johor. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, suspek ditahan selepas polis menemui puluhan video dan ratusan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak dalam telefon bimbitnya.
Berita ini menjadi ‘alarm’ (penggera) kepada masyarakat bahawa pedofilia, iaitu kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak kini semakin serius apabila dilakukan secara terancang melalui sindiket. Situasi ini tidak sama seperti jenayah individu. Jenayah sindiket lebih berbahaya dan kompleks kerana melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak demi kepuasan nafsu dan keuntungan komersial pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Jenayah sindiket pedofilia ini berakar umbi daripada permasalahan sistemik, iaitu akibat kerosakan sistem ekonomi dan sistem sosial. Lebih membimbangkan, sistem ekonomi yang rosak ini juga menjadi faktor kepada kerosakan sistem sosial masyarakat hari ini. Keadaan ini menjadi semakin parah apabila wujud permintaan dan penawaran terhadap penyalahgunaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak. Fenomena ini menggambarkan bagaimana ekonomi berasaskan syahwat terus disediakan secara terbuka kepada masyarakat, kemudian menormalisasikan jenayah terhadap kanak-kanak. Oleh yang demikian, tidak hairan jika terdapat pelajar berumur 12 tahun bersama empat orang rakannya terlibat dalam salah laku seksual dengan menjual gambar bahagian tubuh badan mereka melalui aplikasi WhatsApp. (Berita: Sinar Harian, 19 Ogos 2025).
Islam tidak mengiktiraf sebarang bentuk kezaliman terhadap kanak-kanak. Kehormatan anak-anak adalah amanah besar yang tergolong dalam hifz al-nasl (pemeliharaan keturunan) dan hifz al-‘ird (pemeliharaan maruah), iaitu dua daripada maqasid syariah utama yang wajib dilaksanakan. Islam juga telah memposisikan negara pada kedudukannya sebagai pengatur urusan kehidupan rakyat serta berperanan sebagai pelindung rakyat. Jadi, negara perlu berperanan seperti ‘iron dome’ (sistem pertahanan) dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin, disamping mengawal jaringan informasi agar bersih daripada bahan-bahan pornografi yang berlegar di media sosial seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan digital.
Hakikatnya, jenayah ini tidak dapat dicegah hanya dengan kesedaran moral dan undang-undang sivil sahaja. Sebaliknya, negara bertanggungjawab melaksanakan hukum syarak secara menyeluruh, termasuk menerapkan hukum hudud dan takzir dalam sistem perundangan dan hukuman agar pelaksanaanya memberi kesan pencegahan dan pengajaran. Pelaksanaan hukum Islam inilah yang dapat mencegah dan menyekat sindiket jenayah daripada terus beroperasi dan berkembang lebih luas. Jadi, keselamatan anak-anak kita akan terus terjamin.
Selain itu, masyarakat perlu menolak sebarang bentuk budaya yang boleh merangsang nafsu songsang sama ada melalui hiburan, budaya pornografi secara langsung mahupun tidak langsung, atau pun kebebasan penggunaan media sosial. Setiap individu perlu sentiasa menjaga setiap perbuatan mereka agar tidak menghancurkan kehormatan diri dan manusia lain. Mereka perlu diberikan kefahaman berkaitan setiap perbuatan mereka perlu mengikut standard baik dan buruk, halal dan haram yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Islam juga melarang perbuatan-perbuatan yang mendekati zina dan perbuatan keji yang mencemarkan akhlak. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 32: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”. Ayat ini bukan sekadar larangan zina, tetapi juga semua jalan yang menuju kepadanya, termasuk jenayah pedofilia.
Di samping itu, ibu bapa pula berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan aqidah Islam sejak mereka kecil lagi. Oleh itu, anak-anak akan lebih sedar tentang tanggungjawab mereka untuk menjaga batas pergaulan, menjaga aurat serta hak perlindungan terhadap tubuh mereka.
Kesimpulannya, penyelesaian sebenar kepada jenayah sindiket pedofilia adalah apabila Islam diterapkan secara menyeluruh daripada aspek pendidikan kepada individu, kawalan masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang oleh negara. Jika kita tidak kembali kepada hukum Allah SWT, jenayah ini akan terus berulang. Natijahnya generasi masa depan akan rosak dan keselamatan anak-anak akan sentiasa tergugat.
Wallahu’alam
Ainul @ Aeni Amali
(Lajnah I’lamiyyah MHTM)
Link berita:

