Site icon MuslimahHTM News

Sudan: Kegelapan Perjanjian Rangka Kerja, atau Cahaya Perlembagaan yang Bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya?

Sudan: Kegelapan Perjanjian Rangka Kerja, atau Cahaya Perlembagaan yang Bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya?

(Terjemahan)

 

Bukanlah perkara yang menghairankan bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik di Sudan bahawa perang ini didalangi dan diawasi oleh Amerika Syarikat yang kotor dan berniat jahat demi mencapai agendanya serta mematahkan kekuatan pesaing Eropah, khususnya orang awam yang berafiliasi dengan British. Perang ini ditaja oleh Amerika; ia adalah permainan terkutuk mereka. Bukti paling jelas ialah kenyataan mengenai pemanjangan perang yang datang daripada Setiausaha Negara AS, Blinken. Pemanjangan perang ini bukanlah bertujuan untuk mencari penyelesaian, bukan untuk menjaga darah, dan bukan pula untuk menghentikan kehancuran yang telah membinasakan negara dan rakyatnya; sebaliknya ia hanyalah perebutan berulang dan percubaan untuk memaksakan visi politik yang menjamin serta menjaga kepentingan Amerika di negara itu.

 

Kenyataan Amerika yang terkini yang menyeru kepada perdamaian dan menamatkan perang bukanlah untuk melindungi nyawa, menghentikan pertumpahan darah, ataupun kerana prihatin terhadap Sudan serta kehormatan rakyatnya. Ini adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh penjajah. Sebaliknya, ia bertujuan untuk memaksakan perdamaian melalui kekuasaan demi mencapai dua perkara:

 

Pertama, untuk menegakkan dominasi Amerika dan menegaskan dirinya sebagai kuasa utama dunia, yakni menghentikan perang apabila ia mahu, dan membiarkannya berterusan apabila ia mahu.

 

Kedua, untuk menjaga kepentingan Amerika di seluruh dunia, termasuk di Sudan. Perang yang dicetuskan untuk menghapuskan pengaruh Eropah akan dihentikan sebaik sahaja kepentingan tersebut terjamin melalui visi politik yang dikenakan. Dalam semua senario, hasilnya adalah kehancuran bagi Sudan, penderitaan bagi rakyatnya, pertumpahan darah, pencabulan maruah, dan penjarahan kekayaan.

 

Realiti ini bukanlah sesuatu yang pelik atau mengejutkan, bahkan inilah norma di bawah sistem kapitalis. Dalam dunia hari ini yang berada di bawah ideologi korup ini, negara manakah yang benar-benar menawarkan kehidupan makmur kepada rakyatnya? Negara manakah yang menawarkan kehidupan bermaruah, keselamatan bagi warganya, menjaga kekayaan, kehormatan, agama, dan hak-hak mereka, tanpa sumbernya dijarah oleh Amerika atau pihak lain, tanpa mengalami kesulitan ekonomi? Tetapi, apa yang paling ironis dan menyakitkan ialah sebuah kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar Amerika dinamakan “Kerajaan Harapan,” dengan seorang perdana menteri yang dahulu adalah pegawai PBB!

 

Apakah harapan yang ada, sedangkan kerajaan ini yang konon misinya ialah untuk “mencapai keselamatan, kemakmuran, dan kesejahteraan bagi rakyat” , berhasrat untuk merealisasikan matlamat itu melalui sistem sekular demokratik yang sama yang telah wujud sejak kemasukan pasukan penjajah Kitchener ke Sudan pada tahun 1898 hingga hari ini? Ia telah gagal sama sekali, ia tidak membawa keselamatan, tidak juga kemakmuran, dan tidak juga kesejahteraan. Sebaliknya, ia hanyalah lapisan demi lapisan kegelapan: daripada pemisahan Selatan dan perang berdarah yang berlangsung selama bertahun-tahun di bawah al-Bashir, kepada perang antara al-Burhan dan Hemetti, hinggalah percubaan untuk memisahkan Darfur. Semuanya mengakibatkan penindasan kepada puluhan ribu orang, penjarahan kekayaan negara, serta kemusnahan infrastruktur.

 

Kenyataan politik antara pihak-pihak yang bertelagah hanya berkisar pada pembahagian kerusi dalam kerajaan hibrid, sama ada teknokratik atau sebaliknya, jawatan ataupun kedudukan dalam sebuah kerajaan yang tidak melakukan apa-apa selain melaksanakan arahan Amerika. Pertikaian mereka berlegar pada hak-hak kumpulan yang dipinggirkan atau hak-hak kementerian… Slogan tidak terkira banyaknya, terlalu banyak berbunyi, tetapi tiada sebarang tindakan nyata. Semua menteri dan pemimpin politik, yang dibentuk oleh Amerika ini, hanya mengejar cita-cita peribadi dan kedudukan duniawi. Mereka menyajikan kepada rakyat yang menderita dengan slogan-slogan indah tentang harapan dan kemakmuran, sedangkan tidak seorang pun daripada mereka mempunyai pelan jelas atau projek terperinci untuk mengangkat Sudan, membinanya semula, dan menjaga darah serta maruah rakyatnya.

 

Dalam kalangan parti politik, tidak ada yang seumpama Hizbut Tahrir, yang jujur kepada rakyatnya dan mempunyai projek yang jelas serta terperinci yang bersumber daripada akidah umat yang baik ini. Projek ini mampu mengakhiri konflik berdarah dan menyelamatkan Sudan daripada perebutan politik negara-negara yang rakus, kerana Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik yang matlamatnya ialah melanjutkan kembali kehidupan Islam. Ia dengan jelas mengemukakan ideanya dan projeknya kepada masyarakat umum, serta menyeru umat dan kekuatan aktifnya agar mendukung dan mengangkatnya supaya dapat dilaksanakan, demi membawa kemuliaan kepada Islam dan umatnya.

 

Projek ini dipersembahkan kepada umat dan dibawa oleh mereka yang mengangkat Islam sebagai idea dan sebagai manhaj. Ia sudah dikenali, tidak samar, dan terbuka untuk dibahaskan melalui dalil dan bukti syarak. Parti ini memberikan jaminan kepada umat bahawa dengan melaksanakan projek ini, yang diambil daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, penderitaan umat akan berakhir dan mereka akan dibebaskan daripada penindasan Amerika, Eropah, dan kuasa-kuasa lain. Ia dipimpin oleh lelaki yang mengambil berat tentang kebangkitan umat mereka, bukan kedudukan. Mereka tahu bahawa tanggungjawab mereka terhadap umat dan pelaksanaan syariat Allah adalah kewajipan yang mereka akan dipersoalkan di hadapan Allah, bukan kerusi berprestij di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Majlis Keselamatan.

 

Perbezaan antara “Kerajaan Harapan” dan projek Perjanjian Rangka Kerja (the Framework Agreement), atau apa sahaja pelan lain yang disediakan oleh Amerika untuk Sudan, dengan projek perlembagaan yang disediakan oleh Hizbut Tahrir untuk umat, adalah ibarat perbezaan antara kegelapan dengan cahaya.

 

Rakyat Sudan menginginkan sebuah kerajaan yang menyelesaikan masalah mereka dan mengangkat kehidupan mereka ke tahap martabat manusia, dengan menjamin keperluan asas setiap individu (makanan, pakaian, tempat tinggal), serta menjamin keperluan kolektif asas (keselamatan, pendidikan, kesihatan), di samping air bersih, elektrik, infrastruktur (rangkaian komunikasi, jalan, jambatan, dan sebagainya), serta menghentikan penjarahan sumber negara, mengembalikan semula harta milik negara. Semua ini memerlukan pencabutan pengaruh penjajah kafir dari tanah kita. Inilah yang membawa harapan sebenar kepada rakyat Sudan, sesuatu yang kerajaan Kamal Idris tidak mungkin capai, kerana ia melaksanakan sekularisme yang telah terbukti gagal di seluruh dunia pada semua peringkat.

 

Prinsip ini (sekularisme) berpegang pada akidah pemisahan agama daripada kehidupan, menafikan hak Pencipta untuk membuat undang-undang, dan menjadikan kesenangan serta keinginan individu sebagai matlamat utama dan jalan menuju kebahagiaan. Ia menggalakkan survival of the fittest, di mana kejayaan diukur berdasarkan keuntungan peribadi dengan apa cara sekalipun, walaupun memudaratkan orang lain kerana “undang-undang tidak melindungi yang bodoh.” Ia mengumpulkan kekayaan di tangan segelintir minority elit yang dianggap layak kerana kecerdasan mereka dan kebolehan mereka untuk memperoleh, tanpa menghiraukan yang lemah atau kurang bernasib baik. Perhatian utama negara hanyalah mengekalkan produktiviti tinggi dan dominasi ekonomi untuk melindungi kepentingannya. Ia adalah prinsip di mana individu tidak mempunyai nilai kecuali dalam berkhidmat kepada kelas atasan. Ia membenarkan pencabulan kehormatan rakyat dan penjarahan kekayaan mereka, serta membenarkan jenayah ini atas nama hak asasi manusia dan penyebaran hak kebebasan!

 

Sistem demokrasi melahirkan penjenayah, memupuk jenayah, dan menaja kerosakan akibat hukumannya yang lemah. Mereka menganggap diri mereka lebih penyayang daripada Pencipta mereka, sedangkan setelah kekufuran, tidak ada dosa yang lebih besar lagi.

 

Harapan sebenar bagi Sudan hanya wujud di bawah Islam, yang mana akidah dan sistem hidup yang sempurna inilah yang dianut oleh rakyat Sudan hingga Hari Kiamat. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:

 

﴿الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإسلام دِيناً﴾

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
[TMQ Al-Maaidah (5):3]

 

Islam ini adalah kebenaran, dan harapan hanya boleh lahir di bawah kebenaran. Apabila sistem Khilafah ditegakkan, maka harapan untuk kehidupan bermaruah di bawah Islam akan lahir, atas sebab-sebab berikut:

 

  1. Khalifah akan segera membatalkan perlembagaan ciptaan manusia dan memulakan pelaksanaan perlembagaan Islam yang bersumber daripada al-Quran dan Sunnah, sekali gus memutuskan tangan Barat kafir serta menolak semua campur tangan asing.

 

  1. Khalifah akan segera melantik para wakil dan gabenor, serta mula menyelesaikan masalah rakyat tanpa sebarang pembahagian kuota, kerana kekuasaan menurut syarak, adalah milik umat, bukan milik mereka yang mengangkat senjata atau bersekongkol dengan kuasa asing. Khalifah akan mendekatkan diri dengan orang yang berilmu, bertakwa, dan soleh, lalu melakar identiti sebenar umat.

 

 

  1. Khilafah akan menamatkan semua perjanjian politik atau ekonomi yang batil dengan kuasa asing, menghentikan penjarahan kekayaan Sudan oleh Barat. Ia akan membangunkan kembali sumber intelektual dan material umat untuk bangkit sebagai negara terkemuka dunia, sebagaimana yang pernah berlaku dahulu.

 

  1. Khilafah akan menghapuskan semua sarang perisikan asing. Peranan kedutaan dan misi diplomatik akan terhad kepada menyampaikan mesej antara Khalifah dan negara asing,  bukan campur tangan politik, apatah lagi berkeliaran di negara ini untuk merompak sumbernya. Pada masa yang sama, ia akan menjamin hak-hak warganegara bukan Muslim (ahli dzimmi), tanpa mengira agama atau etnik mereka, sebagaimana hukum Islam, sekaligus mengakhiri isu golongan terpinggir, rasisme, dan sektarianisme. Islam menjamin hak setiap manusia.

 

 

  1. Khalifah akan menyatukan semua pasukan bersenjata di bawah perintahnya, menghentikan kekacauan akibat kewujudan militan baru yang bercambah setiap pagi. Dan lebih buruk lagi, ada yang dilatih di luar negara! Bagaimana mungkin kita boleh mengharapkan harapan dan kehidupan bermaruah di bawah keadaan pasukan bersenjata yang berpecah-belah seperti ini?

 

  1. Khilafah akan menggunakan seluruh kemampuan medianya untuk menyebarkan syiar Islam, keadilan dan kebenarannya, ke seluruh dunia. Ia akan mengangkat budaya Islam, menyokong ilmu pengetahuan sains dan para ulama, serta berusaha menghapuskan sebarang pemikiran atau manifestasi budaya yang dimurkai Allah. Masyarakat akan dibina atas dasar persaudaraan, kasih sayang, dan kerjasama dalam kebaikan serta ketakwaan. Disamping itu, Khilafah akan menjamin penyediaan keperluan asas individu dan masyarakat, mengembalikan harta awam dan milik negara ke tempat yang sewajarnya, serta membelanjakan kekayaan sebagaimana yang diwajibkan Allah, dengan pelaksanaan hukum-hukum Islam yang akan menjamin sebuah masyarakat yang aman, di mana manusia hidup dalam keselamatan, menumpukan pada pembangunan, kemajuan intelektual dan politik, serta mengemban Islam, bukan saling membunuh, menyebarkan kerosakan, dan mencetuskan kekacauan.

 

 

Semua ini hanyalah setitis daripada lautan hukum-hukum Islam. Apabila kami persembahkan hukum-hukum ini sebagai sebuah projek kepada umat, maka ia benar-benar mampu menghidupkan kembali harapan untuk kehidupan yang bermaruah. Dan pada hari ia dilaksanakan, kehidupan kita akan berubah, harapan akan bertukar menjadi tindakan, dan kita akan kembali terangkat ke puncak kemuliaan sebagaimana dahulu. Dan perkara itu tidaklah sukar bagi Allah.

 

Allah Yang Maha Tinggi berfirman:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna;”
[TMQ Al-Anfaal (8):24]

 

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Bayan Jamal

 

 

#Sudan #KrisisSudan #SudanCrisis

Exit mobile version