Site icon MuslimahHTM News

Wahai Isteri, Menjaga Harta Suami Akan Membawa Anda ke Syurga

Wahai Isteri, Menjaga Harta Suami Akan Membawa Anda ke Syurga

 

Penulis: Najmah Saiidah

 

Islam, sebagai agama yang sempurna, menyediakan peraturan yang menyeluruh meliputi semua aspek kehidupan, walaupun sekecil-kecilnya, termasuk pengurusan kewangan dalam keluarga. Perkara ini sering diabaikan oleh keluarga Islam terutamanya pasangan suami isteri. Selain memerintahkan agar keluarga Islam menguruskan kewangan bagi mengelak daripada berbelanja kepada yang haram, Islam juga mengatur bagaimana seorang isteri sepatutnya menjaga dan menguruskan harta suaminya.

 

Pada asasnya, Allah SWT tidak melarang kita untuk menikmati rezeki yang dikurniakanNya. Allah SWT berfirman,

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِيْنَةَ اللّٰهِ الَّتِيْٓ اَخْرَجَ لِعِبَادِهٖ وَالطَّيِّبٰتِ مِنَ الرِّزْقِ

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah Dia keluarkan untuk hamba-hambaNya, juga rezekiNya yang baik-baik?’” [TMQ Al-A’raf (7) : 32].

 

Imam Tirmidzi meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah suka melihat tanda-tanda kenikmatanNya pada hamba-hamba-Nya.”

 

Allah suka apabila hambaNya menikmati nikmat dan rezekinya yang baik yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Sebagai bukti bahawa kita menikmati nikmat dan rezekiNya, maka kita perlu berusaha untuk membelanjakan rezeki yang Allah berikan kepada kita dengan cara yang halal dan sebaik mungkin. Ini tidak akan membebankan suami sekiranya isteri cekap menguruskan wang belanja.

 

Menjaga harta suami adalah satu kewajipan

 

Dalam sesebuah rumahtangga, pasangan suami isteri seharusnya berkonsepkan bahawa membelanjakan harta akan mendapat pahala jika dilakukan untuk perkara yang baik dan mengikut perintah agama. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kamu tidak menafkahkan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah, melainkan kamu mendapat pahala daripadanya.” [Muttafaq ‘Alaih].

 

Selanjutnya Nabi Muhammad SAW juga mengingatkan isteri-isteri tentang peranan mereka sebagai pemegang amanah dalam rumah tangga suaminya, dengan sabdanya, “Kamu semua bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawab kamu. Seorang wanita bertanggungjawab ke atas rumah suaminya dan akan ditanya tentang tanggungjawabnya” [HR Bukhari].

 

Apabila seorang isteri menjadi permaisuri di rumah suaminya, dia bertanggungjawab menjaga harta bendanya, terutama ketika suaminya tiada, walaupun harta itu bukan miliknya. Allah SWT menyatakan ciri-ciri wanita solehah, “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah dan memelihara dirinya ketika suaminya tidak ada untuk sesuatu yang dipelihara Allah.” [TMQ An-Nisa (4) : 34]

 

Ibnu Kathir menyebut mengenai kenyataan mufassir, Imam as-Sudi, bahawa dia menjaga dirinya, kehormatan dan harta suaminya, ketika suaminya tiada di rumah. [Tafsir Ibnu Katsir, 2/293].

 

Salah satu kewajipan seorang isteri, sama ada suaminya berada di rumah atau jauh, adalah menjaga hartanya. Seorang isteri dilarang membelanjakan harta suaminya tanpa izin suaminya. Begitu juga apabila mereka berjauhan atau ketika suaminya dalam perjalanan, isteri juga wajib menjaga harta yang diamanahkan oleh suaminya. Seorang isteri hendaklah membelanjakan harta suaminya dengan cara yang mulia dan tidak secara berlebihan atau melebihi keperluannya.

 

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik wanita ialah jika kamu memandangnya, dia menggembirakan kamu. Jika kamu menyuruhnya, dia mentaatimu. Jika kamu meninggalkannya, dia menjaga kamu dari segi harta dan menjaga dirinya.” [HR Ahmad dan An-Nasa’i].

 

Dalam Mu’jam ath-Thabrani al-Kabiir dan Sahih al-Jaami’, daripada Abdullah bin Salaam RA bahawa Rasulullah bersabda, “Sebaik-baik wanita ialah wanita yang menggembirakan kamu apabila kamu melihatnya, mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, menjaga dirinya (kemaluannya), dan harta kamu semasa kamu tidak ada.” 

 

Membelanjakan Harta Suami Mestilah Mendapat Izinnya

 

Terkait perbelanjaan harta suami yang telah diberikan kepada isteri, memang terdapat banyak hadis yang menjelaskannya. Di satu sisi memang isteri diberi autoriti, tetapi di sisi lain terdapat beberapa hadis yang melarang isteri membelanjakannya tanpa keizinan suami. Di sinilah kita dituntut untuk menyelaraskan nas-nas tersebut selari dengan perintah syariat Islam.

 

“Jika seorang wanita menginfakkan dari pendapatan suaminya tanpa perintah suaminya, maka suaminya mendapat separuh pahala.” [HR Bukhari].

 

“Apabila seorang wanita menafkahkan dari makanan rumahnya tanpa menimbulkan mafsadah (masalah), maka dia mendapatkan pahala dengan apa yang dinafkahkannya dan bagi suaminya mendapatkan pahala dengan apa yang telah diusahakannya. Penanggung jawab gudang juga mendapatkan hal yang sama, masing-masing dari mereka tidak mengurangi pahala sebahagian yang lain sedikitpun”.  [HR Bukhari Muslim].

 

Abu Umamah al-Bahili RA berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda dalam khutbahnya di Haji Wada’, ‘Janganlah seorang wanita menafkahkan sesuatu dari rumah suaminya, kecuali dengan izin suaminya.’ Dia bertanya , ‘Wahai Rasulullah,  makanan pun?’ Baginda menjawab, ‘Itulah sebaik-baik harta kita.’”

 

Daripada Abdullah bin Yahya al-Ansari – salah seorang anak lelaki Ka’ab bin Malik – daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa neneknya, Khairah, isteri Ka’ab bin Malik, datang kepada Rasulullah membawa perhiasannya dan berkata, “Saya mahu bersedekah dengan ini.” Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Seorang wanita tidak boleh memberi apa-apa, kecuali dengan izin suaminya. Sudahkah kamu meminta izin kepada Ka’ab?” Dia menjawab, “Ya.” Kemudian Rasulullah mengutus seseorang kepada Ka’ab untuk bertanya kepadanya, “Adakah kamu mengizinkan Khairah bersedekah dengan perhiasannya?” Dia menjawab, “Ya.” Maka Rasulullah SAW menerima perhiasan daripadanya.

 

Dari Asma’ binti Abu Bakar bahawa dia datang kepada Nabi SAW dan bertanya, “Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai apa-apa untuk bersedekah selain daripada pemberian Zubair kepadaku (untuk perbelanjaan rumah tangga). Berdosakah aku jika wang belanja itu aku sedekahkan ala kadar?” Maka Rasulullah SAW menjawab, “Bersedekahlah ala kadar menurut kemampuanmu.” [HR Muslim].

 

Sementara itu, beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang lain menjelaskan bahawa seorang isteri tidak boleh menggunakannya kecuali dengan izin suaminya. Satu contoh ialah, “Seorang wanita tidak dibenarkan memberi apa-apa kecuali dengan izin suaminya.” [HR Ahmad]. Juga dalam hadis lain, “Janganlah seorang wanita menafkahkan sesuatu dari rumah suaminya, kecuali dengan izinnya.” [HR Tirmidzi].

 

Imam Nawawi menjelaskan bahawa perbezaan makna hadis Nabi adalah disebabkan oleh konteks yang berbeza. Setiap isteri boleh mengambil dan menggunakan harta suaminya untuk tujuan yang biasanya dibenarkan olehnya, seperti keperluan dan perbelanjaan kecil. Apa-apa yang melebihi had biasa ini adalah dilarang. Walau bagaimanapun, untuk perbelanjaan yang besar, kebenaran dan keizinan dari suami, sama ada secara lisan atau bertulis, diperlukan.

 

Kesimpulan ini adalah maksud dari sabda Nabi Muhammad SAW, “Jika isteri menggunakan makanan kepunyaan suaminya dan tidak merosakkannya.” Kemudian an-Nawawi menjelaskan, dalam hadis memberi contoh dengan makanan kerana secara umumnya dibolehkan oleh suami, berbeza dengan dirham dan dinar mengikut kebanyakan individu/keluarga dan keadaan. [Syarh Sahih Muslim].

 

Syeikh Athiyah menjelaskan bahawa apabila terdapat kesepakatan antara suami isteri mengenai penggunaan harta, persetujuan mereka menjadi rujukan. Apabila tiada persetujuan, keizinan dan kebenaran daripada suami diperlukan, kecuali keperluan kecil dan biasa. Apabila seorang suami kedekut dan tidak menyediakan dana yang mencukupi untuk keperluan asas isteri dan anak-anak, isteri boleh menggunakannya, seperti yang dinyatakan dalam hadis Hindun. Mengenai penggunaan hartanya, dia boleh menggunakannya tanpa izin suaminya untuk perkara-perkara yang halal, seperti yang dilakukan oleh Zainab apabila dia membuat sesuatu dengan tangannya sendiri dan bersedekah daripada hasilnya.” [Az-Zarqani ‘ala Mawahib].

 

Menjaga Harta Suami dengan Baik akan Membawa ke Syurga

 

Sebenarnya banyak sekali ibadah dan amal yang boleh membawa seseorang ke syurga Allah SWT. Ibadah yang paling ringan dan paling berat bagi wanita ialah taat dan berbakti kepada imamnya iaitu suami. Walaupun untuk perkara remeh dan kerja, ganjarannya adalah luar biasa bagi seorang isteri yang dapat berbakti kepada suami. Perkara paling mudah adalah menghormati suami, menghargai sokongan yang diberikan, dan pada masa yang sama menjaga harta yang diperoleh suami sama ada dalam bentuk barangan atau wang.

 

Menjaga harta yang diberikan oleh suaminya dan menggunakannya dengan baik dan benar adalah tanda ketaatan seorang isteri kepada suaminya. Pahalanya adalah tiket ke syurga Allah. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata:

 

قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ قَالَ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ

“Pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, ‘Siapakah wanita terbaik?‘ Baginda menjawab, ‘Iaitu orang yang paling menggembirakan suaminya apabila melihatnya, mentaati suaminya apabila menyuruhnya, dan tidak membantah suaminya tentang dirinya dan hartanya sehingga suaminya membencinya.’” [HR An-Nasai dan Ahmad].

 

Menjaga harta suami bukan bergantung pada berapa banyak atau sedikit harta yang diberikan kepadanya. Walaupun nilai harta itu kecil, tetapi jika digunakan untuk keperluan yang menjadi keutamaan, ia sama seperti mengurus pendapatan suami dengan baik. Apa pun, pemberian suami mesti dijaga. Kalau tak cukup, usahakan agar mencukupi. Sebaliknya, jika ada lebih, jagalah dengan menabung untuk keperluan pada masa hadapan.

 

Jika ini dilakukan, suami akan berasa tenang apabila terpaksa meninggalkan isteri. Dia akan berasa aman dan selamat dengan isteri yang tidak mungkin berkelakuan buruk di belakangnya. Dia akan merasa tenteram dan selamat dengan hartanya, yang benar-benar terjaga dan tidak digunakan tanpa izinnya. Dia akan rasa tenteram dan terjamin kerana kerja kerasnya dijaga oleh isteri yang faham syariat Islam. Justeru, seorang suami akan redha dengan tingkah laku isterinya. Keredhaan seorang suami akan membawa isterinya ke syurga. Ummu Salamah (semoga Allah meredhainya) meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,

 

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ

Mana-mana wanita yang meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya akan masuk syurga.” [HR Tirmidzi dan Ibnu Majah].

 

Justeru, jelas sekali bahawa menjaga harta suami akan membawa isteri ke syurga. Namun perlu difahami bahawa menjaga harta suami bererti tidak menggunakannya melainkan dengan izinnya atau atas persetujuan bersama. Walaupun suami sangat bakhil, isteri tetap tidak dibenarkan mengambil hartanya tanpa izinnya, kecuali untuk keperluan asas yang mencukupi untuk dirinya dan anak-anaknya, dalam batas yang munasabah tanpa memudaratkan harta suaminya. Wallahu’alam bissawab.

 

 

#KeluargaMuslimIdeal

#KeluargaTarbiyah

#DakwahBermulaDiRumah

#RumahTaatUmatKuat

#HakSuami #HakIsteri #Amanah

 

 

Exit mobile version