Ketika Kemarahan terhadap Pasangan Menguasai Jiwa, Beginilah Cara Rasulullah SAW Meredakannya
Penulis: Najmah Saiidah
Perselisihan atau pertengkaran antara seseorang dengan orang lain adalah sesuatu yang lumrah. Kebiasaannya, pertengkaran berlaku kerana perbezaan pendapat antara kedua-duanya. Lebih-lebih lagi bagi pasangan suami isteri yang baru berkahwin, hal sebegini biasa terjadi.Perbezaan pendapat sering berlaku kerana perkahwinan adalah proses menyatukan dua insan yang mempunyai pemikiran, cara pandangan dan rutin yang berbeza. Oleh itu, tidak pelik jika salah seorang terkejut dengan tingkah laku pasangannya. Masalah kecil kerap menjadi besar.
Sebenarnya, perkara sebegini adalah sesuatu yang lumrah, malah ada yang berpendapat bahawa pertengkaran merupakan asam garam dalam kehidupan berkeluarga yang menjadikan sesebuah perkahwinan berwarna-warni. Namun, apabila rasa kesal dan emosi terhadap pasangan mula memuncak hingga menbangkitkan kemarahan, ia tidak boleh dibiarkan—perlu segera cari jalan penyelesaiannya.
Mengawal Kemarahan Mengikut Panduan Islam
Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengawal rasa marah. Namun begitu, Islam telah menerangkan keutamaan dalam mengawal kemarahan. Islam juga memberikan panduan yang terperinci tentang cara mengawal amarah yang memuncak.
Nabi Muhammad SAW bertanya kepada para sahabatnya, “Menurut kalian, siapakah orang yang kuat di antaramu?” Beberapa orang sahabat menjawab, “Orang yang kuat adalah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain.” Namun, Rasulullah SAW bersabda, “Bukan. Bukan seperti itu. Orang yang kuat adalah orang yang mampu mengawal dirinya ketika marah.”
Dalam sebuah riwayat hadis daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kalian marah dan dia berada dalam posisi berdiri, hendaknya dia duduk kerana dengan itu marahnya akan hilang. Jika belum juga hilang, hendaklah dia baring.” [HR Ahmad ].
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang yang marah mengucapkan: ‘A’uudzu billah (aku berlindung kepada Allah SWT.)’ nescaya akan reda kemarahannya.” [HR Abu Adi].
Selain itu, Islam juga memerintahkan mengambil wuduk ketika kemarahan menguasai diri, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, ‘Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diperbuat daripada api, dan api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila seorang di antara kamu marah, maka berwuduklah!” [HR Abu Daud].
Demikianlah, Islam dengan sangat terperinci menunjukkan cara mengawal kemarahan, sekaligus memberikan pujian kepada orang yang mampu mengawal diri ketika kemarahan sedang menguasai dirinya. Rasulullah SAW juga memberikan contoh cara mengawal kemarahan terhadap isterinya.
Cara Rasulullah SAW Meredakan Kemarahan kepada Isteri-isterinya
Sungguh, Rasulullah SAW merupakan insan terpilih, contoh teladan terbaik bagi umatnya. Berikut ialah cara Rasulullah mengawal kemarahannya apabila tidak menyukai apa yang dilakukan oleh isteri-isterinya.
Pertama, tidak pernah menyakiti isterinya. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, dia berkata, “Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali memukul sesuatu dengan tangannya, juga tidak pernah memukul wanita (isteri), dan tidak pernah memukul seorang pembantu. Baginda memukul jika berjihad di jalan Allah. Dan tidaklah baginda disakiti dengan sesuatu sama sekali, lalu baginda membalas terhadap pelakunya, kecuali jika ada sesuatu di antara perkara-perkara yang diharamkan Allah dilanggar, maka baginda akan membalas dengan hukuman kerana Allah Azza wa jalla.” [HR Abu Daud, dan Ibnu Majah]. Dalam riwayat yang lain, Aisyah RA. berkata, “Rasulullah SAW tidak pernah memukul isterinya walaupun hanya sekali.” [HR Muslim].
Kedua, menegur dengan tegas. Rasulullah SAW adalah insan yang sangat pandai mengambil hati isterinya dan sangat memahami situasi. Baginda menangani setiap situasi dengan tegas namun penuh kelembutan, sebagaimana saat baginda menasihati Aisyah RA yang pada waktu itu telah berkata sesuatu yang kurang sopan.
Pada ketika itu, Aisyah RA bercakap dengan sedikit jenaka bahawa salah seorang isteri Rasulullah SAW yang bernama Shafiyah memiliki tubuh pendek. Rasulullah SAW yang mendengarnya langsung menegur dengan kalimat yang cukup tegas, “Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia .” [HR Tirmidzi].
Luar biasa. Perkataan yang tegas dan bermakna, terus terbenam ke dalam benak hati, membuat sesiapa yang dinasihati tidak akan pernah mengulangi apa yang telah dilakukannya.
Ketiga, mendiamkan isterinya. Kisah kecemburuan isteri-isteri Rasulullah SAW yang pernah menaikkan kemarahan Rasulullah SAW. Aisyah dan Hafsah pernah cemburu kepada isteri Rasulullah SAW yang lain, iaitu ibunya Ibrahim. Beliau memang seorang wanita berkulit putih yang mempunyai kecantikan yang memukau.
Suatu ketika, Aisyah dan Hafsah pernah berkata bahawa Ibrahim (meninggal di usia 9 bulan) tidak memiliki wajah yang mirip dengan ayahnya (Rasulullah SAW). Mendengar perkataan itu, Rasulullah SAW langsung marah dan mendiamkan kedua-dua isterinya itu.
Tindakan tersebut dibenarkan Allah SWT dengan firmanNya, “yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” [TMQ An-Nisa (4): 34].
Sememangnya begitulah, Rasulullah SAW melaksanakan perintah Allah SWT dengan mendiamkan kedua-dua isterinya yang melupakan nasihatnya. Pendekatan Rasulullah SAW bertujuan memberikan kesan insaf buat kedua-duanya.
Keempat, memeluk isterinya. Dalam sebuah hadis diriwayatkan, suatu ketika Rasullullah SAW sedang mengalami sedikit perselisihan dengan isterinya, Aisyah RA. Baginda marah kerana Aisyah selalu bersikap memendam rasa cemburu terhadap Khadijah RA, walaupun beliau sudah wafat.
Di tengah kemarahannya, Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah RA dan menyuruh isterinya tersebut memejamkan mata. ”Pejamkanlah matamu!” Lalu Rasulullah SAW mendekat ke arah Aisyah RA secara berdiri. Setelah mereka berdekatan, Rasulullah SAW memeluk isterinya tersebut lantas menyebut, ”Ya Humairaku, rasa marahku telah pergi setelah aku memelukmu.” [HR Muslim].
Mampukah kita seperti Rasulullah SAW? Ketika pasangannya merajuk, baginda yang sedang marah lantas memeluk isterinya dengan penuh kasih sayang untuk menghilangkan amarah yang boleh saja merumitkan keadaan. Masyaallah, sangat hebat.
Kelima, menyentuh wajah isteri dengan penuh kasih sayang. Aisyah RA memang terkenal memiliki sifat cemburu. Suatu ketika, tumbuh rasa cemburu Aisyah RA kepada isteri pertama Rasulullah SAW, Khadijah RA. Di antara isteri-isteri Rasulullah SAW, memang Khadijah RA yang sering membuatnya cemburu.
Aisyah RA memang tidak pernah bertemu dengan Khadijah RA, tetapi kerana Rasulullah SAW pada setiap kesempatan seringkali menyebut nama Khadijah, maka timbullah rasa cemburu di hati Aisyah.
Suatu hari, kecemburuan kembali datang. Sehingga beliau mengatakan bahawa Khadijah adalah seorang wanita tua, dan Allah telah memberikan pengganti yang lebih baik untuk Rasulullah SAW.
Mendengar perkataan Aisyah RA, Rasulullah lalu memicit hidung isterinya tersebut, seraya berkata, “Ya Humaira, bacalah doa. Wahai Rabbku, ampuni dosa-dosaku, hilangkan kerasnya hatiku, dan lindungi aku dari fitnah yang menyesatkan.” [HR Ibnu Sunni].
Keenam, menjaga perasaan isteri dan memaafkannya. Dikisahkan dalam sebuah hadis, ketika itu Rasulullah SAW pulang daripada melaksanakan jihad. Aisyah yang telah lama menunggu kepulangan Rasulullah SAW segera menyambut suami yang amat dicintainya itu. Lalu beliau membuatkan segelas minuman manis untuk Rasulullah SAW dan menghidangkannya.
Aisyah duduk menunggu seraya berharap Rasulullah SAW memberikan separuh minuman kepada dirinya, seperti kebiasaan yang sering dilakukan Rasulullah SAW. Namun, setelah lama menunggu, Rasulullah SAW tidak juga memberikan minumannya pada Aisyah. Aisyah pun bertanya mengenai hal tersebut, ”Ya Rasulullah, biasanya engkau memberi sebahagian minuman itu kepadaku, tetapi mengapa hari ini engkau tidak memberikannya?“
Rasulullah SAW meneruskan minum, hingga Aisyah mengulangi pertanyaannya tiga kali. Ketika minuman tinggal sedikit, akhirnya Rasulullah memberikan gelas berisi minuman itu kepada Aisyah. Aisyah segera meneguk airnya, tetapi sesaat kemudian dia memuntahkannya kembali. Aisyah baru menyedari bahawa beliau salah mencampurkan garam pada minuman tersebut sehingga rasanya masin.
Begitu mulia sikap Rasulullah SAW. Sehinggakan dalam keadaan seperti itu, baginda tidak ingin menyakiti hati si isteri yang telah bersemangat menghidangkan minuman untuknya. Meskipun Aisyah salah memasukkan garam, tetapi Rasulullah SAW tetap minum hidangan pemberian isterinya tersebut tanpa menyinggung perasaannya.
Ketujuh, melindungi isterinya. Ayah Aisyah RA, iaitu Abu Bakar RA suatu ketika pernah marah terhadap anak perempuannya kerana mengetahui kecemburuan Aisyah berlebihan terhadap Rasulullah SAW sehingakan Abu Bakar memukul anaknya itu. Rasulullah SAW yang mengetahui hal tersebut lalu menegur sahabat yang juga merupakan bapa mertuanya itu. Baginda berkata, ”Aku tidak menginginkan hal ini darimu!” Selesai menegur Abu Bakar RA, Rasulullah SAW berkata kepada isterinya,”Tidakkah engkau melihat bagaimana aku telah menyelamatkan engkau dari kemarahan ayahmu?” [HR Muslim].
Demikianlah, Islam mengajarkan kepada kita bahawa seorang muslim mesti tahu mengendalikan emosi dan mengawal kemarahannya. Bahkan Rasulullah SAW telah memberikan teladan yang luar biasa ketika beliau meredakan kemarahan terhadap pasangannya.
Semoga kita dapat meneladani Rasulullah SAW, semoga keharmonian rumah tangga dan keluarga kita tetap terjaga. Amin. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat

