Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyyah] Hukum Dharar (Bahagian 5/5)

[Mafahim Islamiyyah] Hukum Dharar (Bahagian 5/5)

 

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

 

(Sambungan dari Bahagian 4/5)

 

Bahaya yang Dihasilkan dari Aktiviti-Aktiviti Mubah

 

Kami telah menuturkan bahawa menimpakan bahaya terhadap diri manusia sendiri adakala hukumnya mandub (sunnah), makruh, atau haram berdasarkan pada realiti bahaya dan dalil-dalil syarak yang diterapkan terhadap realiti ini.

 

Sedangkan bahaya yang dihasilkan dari perbuatan-perbuatan yang dibolehkan syarak, seperti berjalan atau memakan sebahagian makanan yang mubah, maka bahaya ini apabila tidak mendatangkan kepada kematian dan tidak menghalang pelakunya daripada melaksanakan fardhu-fardhu, maka bahaya ini hukumnya mubah.

 

Bahaya ini tidak menghalang daripada melaksanakan perbuatan-perbuatan yang disyariatkan dan memakan zat-zat yang mubah. Dengan demikian, walaupun puasa mendatangkan sakit kepala yang tidak menghalang dari melaksanakan kefardhuan-kefardhuan, maka tetap dianjurkan. Solat malam walaupun mendatangkan kepada lenguhnya kedua kaki, tetap disunnahkan. Meminum kopi dan teh walaupun mendatangkan kepada kesukaran untuk tidur yang tidak mencegah seseorang dari melaksanakan kefardhuan-kefardhuan, maka hukumnya tetap mubah.

 

Namun apabila adanya aktiviti-aktiviti di atas dan memakan atau minum sesuatu dari yang mubah-mubah itu boleh saja mendatangkan—hanya pada individu tersebut— kepada bahaya yang mematikan, atau bahaya yang menyebabkan kepada kematian, atau mendatangkan kepada bahaya yang mencegah pelakunya dari melaksanakan kefardhuan yang dituntut darinya secara syarak, —maka aktiviti atau sesuatu seperti itu adalah diharamkan ke atas individu terbabit, tetapi mubah untuk individu-individu yang lain.

 

Ketika bahaya yang dihasilkan dari sebahagian kefardhuan, seperti puasa Ramadhan boleh mendatangkan kepada tidak adanya kemampuan melaksanakan amalan fardhu yang lain, seperti jihad, maka ketika itu diperlukan penelitian terhadap dalil syarak untuk mengutamakan pelaksanaan dengan salah satu dari keduanya.

 

Rasulullah SAW benar-benar telah menuntut kaum muslim dalam salah satu peperangan agar mereka minum dan makan pada siang hari ketika Ramadhan agar mereka mampu menyambut musuh.

 

Ijtihad-ijtihad yang Jauh dari Kebenaran dalam Masalah Bahaya

 

Sesungguhnya sebahagian ulama kaum muslim kontemporer telah mengambil rokok (dukhan), lalu mereka berijtihad tentang rokok tersebut. Mereka mengharamkannya kerana rokok itu menyebabkan bahaya. Mereka tidak faham bahawa sesungguhnya rokok itu termasuk sesuatu (benda-benda), maka rokok itu termasuk di bawah dalil-dalil umum yang memubahkan segala sesuatu (benda-benda). Ini kerana sesungguhnya hukum asal dalam segala sesuatu adalah mubah, selagi tidak datang dalil yang mengharamkan.

 

Dalil syarak yang mengharamkan rokok memang tidak ada. Rokok tidak boleh masuk keumuman sabda Nabi SAW kerana hadis ini khusus dengan perbuatan. Sedangkan sesuatu yang halal, seperti rokok, apabila mendatangkan bahaya pada seseorang, maka diharamkan atas individu yang terkena bahaya tersebut, tetapi tetap mubah bagi lainnya.

 

Para doktor telah menerangkan tentang rokok, bahawasanya terdapat sebahagian kejadian penyakit kanser yang berakibat daripada perbuatan mengkonsumsi rokok. Mereka (para doktor) tidak mengatakan bahawa menghisap rokok dapat menimbulkan—dari sudut perubatan—penyakit kanser. Para doktor tidak menyatakan bahawa rokok boleh menyebabkan kanser dengan pasti. Kanser itu menyerang para perokok sebagaimana menyerang orang-orang yang tidak merokok, jadi sama-sama diserang. Ini dilihat dari satu sisi.

 

Adapun dari sisi lain, sesungguhnya merokok itu tidak pasti boleh mendatangkan kematian atau mendatangkan ketidakmampuan perokok dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan syarak, maka hukumnya tetap mubah. Tidak boleh dikatakan bahawa menghisap rokok adalah sia-sia, tidak berguna, dan mensia-siakan harta. Ini kerana orang yang menghisap rokok itu menemukan kesenangan dan kelazatan yang melebihi makanan dan minuman.

 

Tidak boleh menjadikan hawa nafsu kita sebagai standard bagi hukum syarak. Akan tetapi, standard itu hanyalah sesuatu yang dibawa oleh dalil-dalil syarak, seperti halal dan haram. Kalau kita memperhatikan berbagai makanan dan minuman yang dimubahkan, nescaya kita menemukan bahawa reaksi tubuh kepada berbagai makanan dan minuman itu berbeza-beza dari satu individu ke individu yang lain.

 

Kadang-kadang salah seorang di antara mereka terkena musibah sakit perut kerana memakan daging lembu. Sebahagian yang lain tertimpa musibah gelisah atau susah tidur kerana meminum teh atau kopi. Sedangkan sebahagian yang lain tertimpa pening dan sakit kepala sebagai akibat meminum teh dan kopi. Apakah segala sesuatu (benda-benda) yang mubah ini boleh menjadi haram ke atas mereka sebab bahaya yang menimpa diri mereka akibat mengkonsumsinya?

 

Dengan merujuk kepada kaedah yang telah dikeluarkan dari dalil-dalil syarak, di tafshil, “Apabila bahaya yang timbul dari penggunaan segala benda yang mubah bagi sebahagian individu dapat mendatangkan kepada kematian atau ketidakmampuan dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan syarak, maka segala sesuatu itu diharamkan atas mereka dan tetap menjadi mubah bagi selain mereka.”

 

Namun apabila bahaya yang timbul dari segala sesuatu yang mubah itu tidak sampai kepada batas-batas di atas, maka segala sesuatu itu (hukumnya) tetap mubah bagi mereka dan bagi selain mereka.

 

Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.

 

#MafahimIslamiyyah #Dharar #HukumSyarak

 

Exit mobile version