Hukum Membeli Jongkong Emas Secara Tempahan (Indent)
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Assalāmu‘alaikum Ustaz. Mohon jelaskan apakah hukum membeli jongkong emas secara tempahan (indent)? Jazakallāh khairan.
Jawapan:
Wa‘alaikumussalām wa rahmatullāhi wa barakātuh.
Pembelian jongkong emas secara tempahan (indent) adalah tidak dibolehkan, bahkan ditegaskan sebagai haram menurut syariah Islam. Hal ini kerana tidak berlaku serah terima secara tunai dalam majlis akad jual beli (al-taqābudh fī majlis al-‘aqad) yang menjadi syarat dalam jual beli emas. Sedangkan syarat serah terima secara tunai ini wajib dipenuhi bagi menghindarkan diri daripada riba. Dengan kata lain, jual beli emas secara tempahan (indent) bukan sahaja haram, tetapi juga mengandungi unsur riba yang termasuk dalam dosa besar (al-kabā`ir). Na‘ūzubillāhi min dzālik.
Penjelasan lebih terperinci adalah sebagai berikut. Mekanisme pembelian jongkong emas secara tempahan (indent), atau pesanan di muka, pada umumnya melibatkan 4 (empat) langkah/tahapan berikut:
Pertama, anda perlu memilih tempat untuk membeli emas terlebih dahulu. Mungkin anda akan pergi ke kedai pajak gadai, atau kedai-kedai emas yang menawarkan sistem tempahan (indent).
Kedua, anda mengisi borang tempahan dan memberikan maklumat peribadi serta butiran pembelian yang dikehendaki (jenis, saiz, dan jumlah emas).
Ketiga, anda membuat pembayaran mengikut harga yang tertakluk pada waktu tempahan dibuat.
Keempat, anda perlu menunggu dalam tempoh yang ditentukan bilakah emas itu siap untuk diambil atau dihantar ke alamat anda.
Dengan memperhatikan langkah-langkah tersebut, jelas bahawa dalam pembelian jongkong emas secara tempahan (indent), berlaku pembayaran terlebih dahulu oleh pembeli kepada penjual, sedangkan penyerahan emas daripada penjual kepada pembeli ditangguhkan (al-ta’khīr/al-nasā`/delay) untuk beberapa waktu kemudian, mungkin seminggu, sebulan, atau tempoh lain mengikut persetujuan antara penjual dan pembeli.
Sedangkan syariah Islam telah mengharamkan jual beli emas dengan emas, kecuali dilakukan secara tunai, iaitu berlaku serah terima dalam majlis akad (al-taqābudh fī majlis al-‘aqad). Mata wang kertas pada masa kini (al-nuqūd al-waraqiyyah/fiat money), seperti rupiah, riyal (Arab Saudi), dolar AS, ringgit Malaysia, dan sebagainya, dihukumkan sama seperti emas, kerana kedua-duanya berfungsi sebagai nilai harga (al-tsamaniyyah) dan sebagai alat tukar (an-naqdiyyah).
Dalil pengharamannya adalah hadis daripada ‘Ubadah bin Al-Shamit RA, sebagai berikut:
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالِمِلْحُ بِالْمِلْحِ، مِثْلًا بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَدًا بِيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ فَبِيْعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ
Daripada ‘Ubādah bin Al-Shāmit RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Emas ditukar (diperjual belikan) dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, bijirin dengan bijiran, kurma dengan kurma, garam dengan garam; mestilah sama dan seimbang (takaran atau timbangannya) (mitslan bi-mitslin sawāan bi-sawāin), dan hendaklah dilakukan secara tunai (yadan biyadin). Jika barang yang dipertukarkan itu berbeza jenisnya, maka juallah sesuka kamu, asalkan tetap dilakukan secara tunai (yadan biyadin).” (HR. Muslim, no. 1587).
Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa apabila emas diperjualbelikan dengan emas, atau apabila emas diperjual belikan dengan wang kertas (fiat money) yang dihukumkan sama seperti emas, maka wajib dilakukan secara tunai (yadan biyadin). Dalam istilah para fuqahā’, wajib berlaku serah terima dalam majlis akad (al-taqābudh fī majlis al-‘aqad). Dengan kata lain, tidak dibenarkan berlaku penangguhan sama ada dalam penyerahan emasnya, atau pembayaran wangnya, ataupun penangguhan kedua-duanya (emas dan wang). (Rujuk: ‘Athā’ Abū Rasytah, Jawāb Su’āl Haulā Al-Ashnāf Al-Ribāwiyyah Al-Sittah, 21 Muharram 1437 / 3 November 2015; Ali Ahmad As-Sālūs, Mausū‘ah Al-Qadhāyā Al-Fiqhiyyah Al-Mu‘āshirah wa Al-Iqtishād Al-Islāmī, Qatar: Dār al-Tsaqāfah, cetakan ke-9, 2006, hlm. 331).
Berdasarkan penjelasan di atas, jelaslah bahawa pembelian jongkong emas secara tempahan (indent) adalah haram menurut syariah Islam, kerana tidak berlaku serah terima secara tunai dalam majlis akad jual beli (al-taqābudh fī majlis al-‘aqad) yang menjadi syarat bagi jual beli emas.
Perlu juga ditambahkan bahawa Islam sememangnya membolehkan jual beli secara tempahan (indent) yang dalam fiqh Islam disebut sebagai bai’ as-salam. Dalam jual beli pesanan ini, pembeli membayar penuh di hadapan ketika akad jual beli, manakala barang akan diserahkan oleh penjual secara tertangguh pada masa yang akan datang. Namun, para ulama menjelaskan bahawa jika barang yang diperjual belikan dalam jual beli secara pesanan ini adalah emas, maka hukumnya tetap haram.
Dalam laman fatwa www.islamqa.info ditegaskan bahawa:
.. (بَيْعُ السَّلَمِ) لَا تَصِحُّ فِي بَيْعِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْعُمُلَاتِ، لِأَنَّ شَرْطَ الِاتِّجَارِ فِي هَذِهِ الْأُمُورِ: حُصُولُ الْقَبْضِ الْفَوْرِيِّ، فَلَا يَجُوزُ بَيْعُهَا مُؤَجَّلًا، أَوْ بِالتَّقْسِيطِ.
“Jual beli pesanan (bai’ as-salam) tidak boleh dilakukan terhadap emas, perak atau wang (pertukaran mata wang), kerana syarat dalam memperjual belikan benda-benda ini (emas, perak dan wang) adalah adanya serah terima secara segera di majlis akad. Jadi, tidak dibenarkan hukumnya menjual belikan benda-benda tersebut secara tertangguh atau secara ansuran.” (https://islamqa.info/ar/answers/175364/)
Kesimpulannya, tidak dibolehkan atau haram hukumnya jual beli jongkong emas dengan sistem tempahan (indent), kerana berlaku penangguhan penyerahan emasnya, atau dengan kata lain kerana tidak berlaku serah terima emas secara segera/kontan di majlis akad (al-taqābudh fī majlis al-‘aqad). Inilah pendapat yang kami rajihkan (kami anggap kuat). Wallāhu a’lam.
Sumber: https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/701
#soaljawab #jualbeli #emas #fikhmuamalat #jongkongemas

